NH Khairuddin: Wa Caya Lu… ROCK!
sebelum apa-apa, Ricecooker note dulu: petang tadi si Hakim sms aku. “Doh guane dalam metro hari ini isu punk pulok? hahaha..” aku tak boleh nak balas, phone takdak kredit. Aku pergi Ampang, ada member buat christmas dinner, and on the way kami singgah kat kedai around the Nan Corner and I bought myself sekeping Harian Metro; dimana terpanpang gambar si pemain bass Devil Dolls dan juga tiga bebudak ber-mohawk. Tajuk besarnya, “PUNK TULEN LWN PUNK TIRUAN”.
And all the way to our friends’ house, aku belek baca, tergelak, terguling, terbahak-bahak dengan gendangan sensasi bernada saspen drama-drama “Gerak Khas” oleh “penulis-penulis” Harian Metro yang kawan aku NH kemudian gelarkan sebagai “kelompok yang buta kajian budaya”. Ketika sibuk meratah sedap daging kambing bakar yang disediakan oleh kawan kami, aku mula merancang untuk mengarang satu artikel panjang lebar untuk mengulas-kupas tulisan lembu-lembu Harian Metro yang begitu menjengkelkan kercerdasan otak mereka yang punyai otak dan mempergunakan otak.
Tetapi malang. Setibanya aku kerumah, email terbaru NH terpampang. WA CAYA LU… ROCK! Aku baca, aku gelak, aku terhangguk-hangguk bersetuju. Nampaknya tak perlu aku bersusah-payah mengarang, si NH dengan baik hati dah sediakan segala kupasan untuk aku dan juga semua anda yang sedang membaca.
Ianya sebuah “review” mendalam tentang filem baru Mamat Khalid, yang baru sahaja bermula tayangannya di-panggung-panggung serata ibukota, Aku masih belum ada masa untuk pergi tengok, tapi nampaknya filem ini mengandungi segala jawapan-jawapan yang masih terkial-kial dicari-gali oleh mereka yang mengangkat diri sebagai “penyelamat moral nusa dan bangsa”
This review (and the movie) adalah satu tamparan hebat untuk golongan “majoriti moral” yang sentiasa meletak-diri mereka jauh tinggi dari apa saja yang mereka tidak pahami dan tidak mahu selami; tapi, aku masih ragu-ragu tentang tahap kercerdasan otak mereka untuk terasa bahangnya. lebih lagi untuk mereka menerima ikhtibar yang tersirat. Kebiasaannya, kalau dah singkat, agak payah untuk di nyah-bebal-kan.
Read on…
=================
WA CAYA LU…ROCK!!!
Meski menyorot sekelumit dari sejarah sosio-hiburan silam (15 tahun lampau) yang berkecamuk dan tercerai-cerai, ROCK membawa kita kembali menjengah keberadaan ‘pop culture’ dan ‘pesta muda-mudi’ di dekad 80an. Penuh nostalgia, padat dengan lagak dan imej realistik disulami beberapa babak kelakar, Mamat Khalid memaparkan secebis sahsiah dan siasah popular (asalnya sub-kultural jua) pemuda Melayu generasi ‘x’ khusus yang membesar di akhir 80an, tahun-tahun yang menyaksikan pemodenan pesat negara Malaysia. Zaman bila mana rock, terutama berentak pop, slow, heavy, melodik, progresif dan glam, merangka detik-detik legasi keemasannya, menjadi genre pop komersial yang paling berpengaruh; kegemilangannya sekaligus mengundang seribu satu macam pemerhatian songsang dan pertelagahan sosial, politik, budaya, agama: terutama dari aspek jatidiri kebangsaan, kebangkitan Islam serta kesucian dan kemurniaan muzik tradisional asli, keroncong, ghazal.
ROCK cerita yang kecil tentang ‘sebuah band yang hampir terkenal’; namun serentak ia merangka sebuah kisah yang terlebih besar natijahnya. ROCK bukan setakat mengimbas kembali kenangan kepada kebangkitan fenomena rock ‘kangkang’ alias rock ‘kapak’ yang bercambah dari kelongsong ‘budaya kutu’, budaya bawah/rendah dokongan ‘cultural outsiders’ yang terlahir dari aspirasi dan imaginasi berontakan, dari sikap berahi anak-anak muda cuba menggarap ciri-ciri keseronokan ke dalam memaknakan hidup, tanpa retorik, tanpa munafik, tanpa politik. Tetapi ROCK turut mengajak kita merenung semula pengalaman-pengalaman yang dikutip dan teladan-teladan yang dititip suatu waktu dahulu seputar revolusi rock. Kisah budaya popular remaja, meski bersolekkan kegilaan dan kesewelan dari kacamata orang tua dan kelompok yang buta kajian budaya, sesungguhnya adalah sebuah naratif yang besar pengaruhnya kepada iklim penghidupan masyarakat: alam remaja sedikit sebanyak mencerakin dunia dewasa.
ROCK mengalunkan kembali irama-irama dentam-dentum Loudness, Iron Maiden, Def Leppard, Judas Priest, Dio, Scorpion, AC/DC, Whitesnake, Poison, Cinderella, Motley Crue, Sweet Charity, Search, Lefthanded, BPR, SYJ, May, Wings, Rockers, Rusty Blade, Godbless. Menonton ROCK mengimbas kembali lagak heroik Man Kidal menggoreng ‘riff’ dengan gigi, lenggok feminin Ella, jeritan tinggi ‘key e’ si Amy, dayuan lagu-lagu ‘jiwang’ diringi ratusan kilauan ‘lighter’, anggukan ‘headbanging’ dan tarian ‘air-guitaring’ di depan pentas seraya lambang jemari ‘tanduk setan’ ditujah ke langit malam. ROCK mengulangtayang imej-imej ‘jeans’ cabuk ketat terkoyak di lutut dan kelangkang disendat gumpalan kertas, talipinggang dan ‘wristband’ bertata ‘stud’, ‘buckle’ besi sebesar penumbuk bergambar helang mengepak sayap, seluar ‘bundle’ merah-jingga-cokelat-hijau-biru menyala tersulam batik di hujung kaki, baju-t ‘rising sun’ tanpa lengan, jeket biru ‘denim’ dan jeket hitam ‘pvc’ terlukis logo-logo band idola, ‘key’ dan ‘bandana’, ‘sneaker’ adidas-reebok-aliph dan kanvas warrior-pallas, celak ‘mascara’, kacamata hitam ‘rayban’. Menonton ROCK memalitkan nostalgia kepada kehendak-kehendak mentah yang terlintas semasa jiwa masih muda, yang melukiskan identiti-identiti yang menjadi aspirasi dan inspirasi generasi muda.
Selepas beberapa siri ‘battle of the bands’ dan ‘tour’ menjelajah pelusuk negara, selepas klon-klon Search dan Lefthanded memadati studio ‘jamming’ memainkan lagu-lagu klasik ‘Smoke On the Water’, ‘Stairway to Heaven’, ‘You Really Got Me’, selepas beberapa ratus sesi konsert raksaksa mahupun mini menggegari Panggung Anniversary, Hard Rock, Piccadily, Kota Raya, Bier Keller, stadium negeri, funfair dan tapak ekspo, selepas tauke-tauke mengaut untung dari keset-keset cetak rompak yang dilambak di pasar malam, dari ceruk felda ke tengah bandar rock menggerakkan secorak gerakan budaya remaja. Sebelum lagi mat-mat ‘alternatif-underground’ ligat melolongkan irama-irama dari genre punk ke numetal, sebelum lagi demam Nirvana menerjahkan ‘keselekehan’ grunge ke dewan perhimpunan sekolah menengah, sebelum lagi editor-editor lincah menitipkan zine-zine ‘bawahtanah’, sebelum lagi cacakan mohican dan mohawk bebas berarak ke dataran merdeka, sebelum lagi ‘blackdeath metallers’ teruja meminum darah kambing dan bertafakur di jirat cina, rock telah pun membenihkan ejen-ejen dan elemen-elemen estetika baru di kalangan budak-budak muda Melayu, di kota mahu pun di kampung. Rock muncul sebelum lagi balada nusantara dan nasyid jadi sepopular sekarang.
Fenomena rock, yang merangkum citarasa dari balada ‘jiwang tangkap leleh’ ke ‘brutal speedeathrash metal’, yang mula terletus dan berkembang sekitar 20 tahun lalu, yang malangnya merangsang kritik-kritik sosiobudaya berat-sebelah di dada akhbar, tivi dan tesis PhD (kisah sensasi basi yang sampai sekarang masih dinyanyikan penuh sumbang: ajaran sesat punk dan black metal sesesat kerajaan langit si Ayah Pin), sehingga mat-mat berambut panjang mengerbang bertempiaran lari dari stesyen bas dikejar polis dan lagu-lagu berat mereka digam di corong radio dan kaca tivi, adalah kesinambungan sejarah hidup remaja malaya dengan muzik dan segala gayahidup anti-sosial ‘tribalisme’nya. Sebelum itu pop yeh-yeh, hippies, blues, breakdance, brit new wave, ‘saturday night fever’; selepasnya punk, hardcore, grind, oi, rapcore, street, hiphop, ‘saturday night heroes’. Dan rock duduk di tengah-tengah; menjadi umpama tali penyambung kisah remaja nakal bergelumang menyakat rasa estetika dan lagak etika masyarakat umum; bukan apa sangat, sekadar ‘for the fun of it’.
Dekad itu, siapa yang tidak marahkan rockers? siapa yang tidak mencemuh rockers? siapa yang tidak mengecam rockers yang serupa ‘Malaikat Maut’ dengan pelbagai fitnah dan tuduhan liar? Di sebalik kesukarannya ‘bernafas dalam lumpur’ keperdanaan dan kelaziman sosial, rock berkembang menjadi sebuah dunia ‘pop culture’ yang besar, gagah. Bukan hanya dari segi industri dan fesyen. Tetapi juga kesan pengaruhnya ke atas jiwaraga anak-anak muda yang mengamuk mahu keluar dari kelangkang ‘belia 4b’, dari kepompong politik budaya tradisi, yang bercita-cita menggendong gitar karan/kapok dari kampung ke ibukota, cari rezeki dan cari cinta. Kini, artis rock yang ‘otai-otai’ sudah punyai nama besar, setengah jadi ikon dan idola, jadi contoh masyarakat, jadi dewa dan diva. Rock telah melalui zaman ‘fitnah besar’ yang menyaksikan pertelagahan generasi dan pertembungan nilai yang hampir membantut evolusinya. Sebelum Mayhem, bapak black metal Norway, diharamkan menjijak kaki ke Malaysia di 2006 nanti, Scorpion sudahpun menerima larangan itu di pertengahan 80an (ironinya Kreator dan Napalm Death mudah mendapat ‘permit’ tidak berapa lama dulu – semestinya selepas genre rock dianggap tidak lagi sesat, bahaya, subversif). Rock telah pun melangkaui era marginal dan pernah lama terjelepuk di pinggir mekanisme sosial. Rock telah pun pernah (dan masih) diterima di arena ‘mainstream’ yang punyai harga komersial waimma harga intelektual; hinggakan imej dan gayahidup keras-liar-bebas rock dulu-dulu seakan tiada makna besar lagi dalam kancah wacana ideologi budaya muda-jalanan-subkultural. Tempatnya kini diganti pula oleh punk dan black metal. Ini zaman fitnah besar kepada ‘pejuang-pejuang’ kedua-dua genre tersebut.
Meskipun sekadar garapan fiksyen wayang perihal Rimba Bara dan Zack dari Trong, Taiping, sekumpulan budak kampung yang ingin jadi ‘superstar’ sehebat Search dan Lefthanded, ia menyeret kenangan pada segala kerenah, sukaduka, pahitmanis, gelaktawa, segala pancaroba dan kesukaran, segala pekiklolong orang tua, orang politik, orang agama, penjaga budaya. Ia menarik akal kita menyusuri semula warnawarni dan hingarbingar yang terzahir semasa usia belasan dan duapuluhan tahun, zaman sekolah, zaman lepas spm, zaman mengaji di universiti, zaman ‘menanam anggur’, zaman mamat-minah karan, zaman keremajaan hidup dibudayakan dengan ghairah mengikut naluri sendiri walau disumpahseranah dan dimakihamun di ruang-ruang rumah, media, parlimen dan masjid; kerana kebaratannya, keberukannya, kelepakannya, keterukannya. Kepada rockers yang sudah ‘tua’, sudah ‘insaf’ dan kebanyakan dari mereka sudah pun bertahun ‘potong nama, tutup buku’ sebagaimana Zack, ROCK melampirkan persoalan semula: wajarkah segenap kritikan dulu yang dilontar seolah-olah rock dan rockers tidak punyai ‘masa depan’ cemerlang, gemilang, terbilang? ROCK mengingatkan kita bahawa zaman budaya pop seperti jua zaman rock, semata-mata merupakan masa emas buat anak-anak remaja mencuba membina hidup dengan segenap ruang-ruang keraian dan keramaiannya, meski semata-mata mengikut ‘magnetisme binatang’ dan ‘naluri jalanan’ keremajaan sahaja.
Dan kita ingat kembali bagaimana kita tidak perlu pening-pening mahu ambil peduli sangat tentang semua itu: gondrong, rampa, kutu, lepak, rayau, dam, dunhill, awek, balak, rempat. Kerana itulah ‘zeitgeist’ zaman, semangat yang ada ketika itu yang memantulkan kehendak keremajaan. Bukan sebab ‘murtad’ pada warisan atau ‘mungkar’ pada ajaran atau ‘derhaka’ pada nenekmoyang; cuma ia berkebetulan serasi dengan rasa keremajaan. Remajalah saat anak-anak muda mencuba hidup; dan hidup mereka sekitar tahun 80an dipertaruhkan pada rock dan segenap lapisan maknanya. Pada usia 15 tahun hingga awal 20an, anak-anak remaja ingin nampak ‘cool’, timbul nafsu ‘exhibitionism’ diri, mahu dikenali, jadi popular, mahu ‘tackle’ awek/balak, mahu cari glamor macam artis-artis yang terpapar di URTV dan masuk Muzik-muzik di TV3 (meski rambut panjang kena ikat atau terpaksa dipandakkan). Setidak-tidaknya anak-anak muda mahu mengikut serta arus selera baru yang mengalir di celah-celah sungai masyarakat. Kerana tidak mahu melongo terpinggir seorangan bagai kera sumbang di kalangan member-member, mereka merangkul budaya yang mampu mengungkap keremajaan itu. Ketika itu rocklah pengungkap alam muda. Mengambil sikap ‘nihilistik’, mana ada masa untuk difikirkan masalah rumahtangga, masalah kewangan keluarga, masalah warisan budaya lama, masalah politik negara? Itu zaman mereka mengenal hidup seadanya, seghairahnya, berbekalkan semangat waja untuk meraikan hidup yang penuh bosan, dan likat kejumudannya. Lagu rock menjadi ‘anthem’ kehidupan, liriknya menjadi intim dengan jiwa muda, konsert di tapak ekspo dan funfair menjadi luang masa merayakan pesta, fesyen pakaian dan lenggok tubuhnya menjadi ukuran kepada keberanian merentangi ‘sahsiah’ massa. Rock adalah pernyataan emosi-libido dunia remaja, dunia keseronokan sebelum dibelenggu serba-serbi kekalutan dunia dewasa, dunia kematangan. Rock tempat luahan adrenalin amarah-dendam-kekaguman persepsi mereka terhadap dunia sekeliling, yang mempunyai norma-norma dan putarbelit ideologi yang kurang mereka fahami.
ROCK mengimbau kenangan itu. Dan ia mengimbau cinta dan cita-cita rapuh yang diukir di dada remaja yang malangnya hilang dan terhakis sesudah usia makin menua dan karier makin mendesak dan tanggungjawab makin membeban. Seperti Zack, cinta untuk meraikan hidup seringkali terhalang oleh cinta demi menghidupkan hidup. Malangnya kedua-dua cinta itu acapkali tumbuh selari. Tambah menyedihkan lagi, mereka sendiri sering keliru ditipu keadaan ‘percintaan’ itu. Seperti Zack yang sudah dewasa dan berwatak ‘skima’, jauh di sudut hati kecil, mungkin kadang kala disesali nasib kini yang menimpa dengan seluruh kemualan dan kerutinannya. Kelangsungan hidup dan kehendak budaya perdana sudah banyak kali mematikan semangat muda kita; semangat untuk jadi ‘hebat’. Bukan sekadar jadi ‘gitar hero’ seperti Zack yang ingin mencapai tahap idolistik Man Kidal dan Hillary Ang, atau menjuarai ‘battle of the bands’ seperti harapan Jijo. Tetapi semangat untuk memenuhi misi dan wawasan yang digarap di dangau desa, wakaf tepi sungai atau di kakilima kompleks belibelah. Jadi Osman Tikus? Pyan Habib? Akhil Rawa? Korporat? Teknokrat? Artis rakaman? Semestinya bukan ‘jerangkung dalam almari’ yang terlanjur menyusup ke ‘syurga di hujung jarum’!
Jadinya sampai akhir hayat, dalam diri kita terus bergejolak inti ‚Äòpop culture‚Äô yang sesungguhnya menyimpan pertembungan hasrat sebenar kita mahu hidup. ‚ÄòSuci dalam debu‚Äô. Antara minat dan rezeki, antara kebebasan dan kekeluargaan, antara awek/balak dan isteri/suami, antara gila-gila remaja dan serius orang dewasa, antara rayau merayapi kakilima-studio-funfair-stesyen dan sasau mengecop rutin ofis-kilang-rumah—kubur!.
Kisah budaya pop dan cerita ‘bawahtanah’ kelompok muzikal anak-anak muda tidak banyak diangkat ke dalam wayang Melayu secara serius dan kritikal. Ia sebuah genre yang terlalu ‘niche’, tidak klise macam drama-drama trajik, purbawara, komedi, cinta remaja. Yang adapun setakat menggunakan budaya, imej dan ikon pop sebagai semata-mata elemen pelaris. ‘Azura’ ada Jamal Abdillah, ‘Fenomena’ dan ‘Isabella’ ada Amy dan Search, ‘Suci Dalam Debu’ ada Saleem dan Iklim, ‘Sembilu’ ada Awie Wings. Antara beberapa kerat yang betul-betul mendalami, kalau pun belum sampai ke tahap menjiwai, budaya pop/sub hanyalah tiga setakat ini: ‘Kembara Seniman Jalanan’ (1986), ‘Gedebe’ (2002), ‘Rock’ (2005). Ketika estetika rock riuh melanda batang tubuh dan akal anak-anak muda di pertengahan 80an, Nasir Jani (bapa pemodenan wayang Melayu, umum Loloq dalam ROCK) merakamkan suasana itu dalam ‘KSJ’. Ia sebuah filem kult yang tersirat sindiran dan kecaman sosiopolitik yang mere! kod pencarian makna hidup oleh seniman-seniman jalanan kota Kuala Lumpur (penyanyi, pelakon, penyajak). Pada tahun 2002, Namron menghasilkan ejekan politik yang keras dari kacamata ‘scene riot’ punk dan skinhead melalui ‘Gedebe’. Di antara ketiga-tiganya, dirasakan ROCK Mamat Khalid lebih menjiwai ‘zeitgeist’ zamannya.
ROCK mengembalikan bukan hanya kenangan visual secarik budaya pop yang kian lupus diganti corak-corak budaya remaja berwajah baru (kadang-kadang cuma ‘retro’). Tetapi yang lebih penting, ROCK mengungkit kembali gagasan hidup keremajaan yang kian hangus berdikit-dikit dibakar pancaroba kehendak-kehendak dan tuntutan-tuntutan kedewasaan. Senyap-senyap rockers yang sudah dewasa, beranakpinak dan punyai kerja tetap ada juga sekali-dua menyiulkan ‘long live rock ‘n’ roll!’ dan ‘rock terus rock!’ Atau mungkin barangkali di sebalik keriuhan hidup, mereka sesungguhnya masih dahagakan jeritan ‘dirgahayu jiwa muda!’
Walaupun imej animasi burung belatuk bertarung skil dengan Zack (terbayang kekakuan gerombolan lebah ‘Lang Buana’) memunculkan suasana sinematik yang surreal habis dan sepatutnya diedit buang, walaupun seafdalnya diselitkan sebijik-dua lagu-lagu dendangan May (mengenangkan filem ini mengisari, meski bukan sepenuhnya mewakili ‘rock scene’ di Perak dan May adalah antara idola rockers Perak), walaupun fesyen pakaian minah-minah rock zaman akhir 80an lebih memperlihatkan pengaruh Cindy Lauper atau ‘material girl’ Madonna bergaya ala-ala ‘diskang’ dari pengaruh new wave Duran Duran dan Wham, walaupun apa walaupun…tetap, wa caya sama lu…ROCK!!!
NH Khairuddin 10 Disember 2005
haaaaa…aku sudah pon menonton filem ini sewaktu pra-tayangannya di fakulti aku 2 minggu yang lepas…dan terus-terang aku terhibur dengan filem ini dari awal hingga akhir….aku tidak reti review filem tapi cukuplah aku kata filem ini tersangatlah kelakar….pergilah tengok sendiri kalau tak percaya… tapi tidak pastilah kalau filem ini sesuai ditonton oleh mamat/minah urban yang amatlah benci dengan rocker-rocker kangkang. Bagi pengemar muzik rock atau seorang rockers yang mempunyai minded kampung seperti aku nih…sudah pastinya akan ketawa nak mampos sampai terkeluar anak perut. Tapi entahlah mungkin juga aku salah..
Mengenai scene burung belatuk yang sungguh tidak real dari segi 3D tu..mamat khalid kata sewaktu sesi soal jawab hari tu, dia mahu dapatkan feel 80an dgn menggunakan peralatan zaman 80an…dan… aku tidak paham dengan penjelasan tu… ape-ape pon…ROCK UUUUU!!! (ikut slang que haidar masa dia tengah jahit seluar kulit untuk band rimbabara)
NH Khairuddin ni sapa ah joe? beh gak artikel dia? Whoa, lama aku x reply, lupa password, dish! dushum!!!
doh guaner? bile nok ator cerite-ceritut-tahit-mate-beso-lutut? anok-anok murid nok bace nih cik gu!!
Kak Hanim ke yang tulis ni Joe?
Selain rockers mainstream Tanahair seperti Amy, Awie, Man Kidal etc. yang masih rock lagi sampai skang. Aku jugak nak salute to Joe, Fendi, Aru, Oz, Fathul, Kombat dan semua ‘otais’ sebab depa still rock n roll sampai skang!!
Rock u like a hurricane!!! http://www.lagendarock.com
dendam cinta seusia dunia
ROck ker?
heheeeeheee…