Johan Tan: Budi Bahasa Dalam Kebersihan Nusa
Budi Bahasa Dalam Kebersihan Nusa
Johan Tan
Satu peristiwa yang paling saya sukar lupakan berlaku pada suatu hari…
Saya sedang memandu di sebatang jalan di kawasan sekitar Kuala Lumpur, mengekori sebuah bas kuning untuk kanak-kanak sekolah rendah. Kerana ianya agak perlahan, saya memandu berhati-hati. Kelihatan ramai kanak-kanak ini di belakang bas sedang berhibur sesama sendiri sambil bergelak ketawa. Saya hanya menyedari yang mereka bukan hanya bersenda gurau apabila sehelai plastik mula hinggap di cermin kereta saya dan satu demi satu sampah sarap dibuang dari belakang bas tersebut tanpa berhenti-henti. Ia berlarutan selama beberapa minit sehinggalah saya sudah memotong bas sekolah berkenaan untuk ke simpang yang lain. Kertas, bungkusan makanan, kotak air yang kosong malahan berbagai lagi sampah-sarap terbiar di jalanan, dan Malaysia pun semakin kotor kerana sikap yang tidak disemai dengan baik ini.
Walaupun mereka hanyalah kanak-kanak dan tidak harus/boleh dipersalahkan, sebenarnya kita harus mempersalahkan diri kita sendiri kerana kita mampu membendung sikap buruk ini dari akar umbinya. Kita harus memulakan dan menguatkan sikap ini dalam diri kita sendiri dahulu dan barulah ia efektif kepada persekitaran.
Seperti juga sikap berbudi-bahasa, sikap mementingkan kebersihan harus dibentuk ketika masih kecil lagi, tetapi masih belum terlambat untuk memulakan sikap ini di setiap mana pun peringkat umur kita. Kalau kita lihat dalam masyarakat Malaysia, kebersihan bukanlah salah satu nilai yang diutamakan juga. Kita boleh melihat orang ramai suka membuang sampah di merata-rata tempat, mengotorkan kawasan-kawasan kediaman malahan dalam di tempat tinggal sendiri!
Kenapa ini berlaku? Walaupun faktor-faktor ini amat subjektif, saya akan huraikan dalam bentuk butiran mengikut kaca mata saya. Sebenarnya ia bukanlah satu isu moral (yang besar: mungkin) tetapi ia bisa menjadi satu jenayah jika bahan kotoran itu ialah toksik dan membahayakan nyawa orang lain. Jadi, ini bukan isu kecil sebenarnya kerana kebersihan akan menjamin satu suasana yang sihat dan lebih mesra.
Tiga faktor kurangnya sikap mementingkan kebersihan di kalangan kita:
1. Cara kita dibesarkan
Kehidupan dan cara kita dibesarkan sememangnya dipengaruhi oleh keadaan sekeliling. Nilai-nilai positif budi bahasa dan sopan santun sememangnya tertanam kuat dalam budaya orang Timur tetapi nilai kebersihan semacam diabaikan. Supaya memastikan dunia masa depan Malaysia senantiasa bersih, kita mesti bertekad untuk memulakan dan mengembangkan nilai ini demi menjadi contoh dan teladan kepada keturunan kita dan pembangun nusa di masa depan. Nilai ini juga kurang diterapkan dengan agresif di sekolah-sekolah oleh guru-guru malahan di rumah oleh ibu-bapa.
Kempen kebersihan oleh kerajaan secara besar-besaran dan berulang-ulang tanpa henti di media juga akan menandakan yang sikap ini terus tersemai di dalam masyarakat kita. Sememangnya sukar untuk menggerakkan sikap satu generasi berjumlah lebih 26 juta orang dengan keluasan negara sebesar 329,750 kilometer persegi dengan kempen yang bernilai jutaan ringgit, yang akan selalu dibandingkan dengan ‘antara negara paling bersih di dunia’, Singapura yang berkeluasan hanya 683 kilometer persegi. Sikap ini sendiri bukanlah mengambil masa yang singkat untuk diperkemaskan tetapi mesa tetap satu isu utama. Oleh itu, yang terbaik dan termurah sekali: sikap mementingkan kebersihan WAJIB dimulakan di rumah lalu anak-anak kita dibesarkan dengan nilai-nilai kebersihan yang tinggi.
2. Mengharapkan usaha orang lain
Kita selalu sahaja menunggu pihak lain untuk membersihkan ‘kekotoran’ yang kita lakukan. Sikap ini sememangnya telah lama menjadi tabiat kerana kerajaan telah menyediakan perkhidmatan kebersihan oleh majlis-majlis bandaran dan kota. Kebersihan secara amnya dijaga oleh badan-badan ini yang digerakkan oleh dana dari cukai-cukai orang awam. Sikap lebih suka menunggu bantuan kebersihan dari pihak atau individu lain ini melemahkan jatidiri dalam mengekalkan kebersihan dengan tangan kita sendiri. Tidak semestinya kita perlu memberi bantuan secara peribadi tetapi pergerakan secara bersama atau gotong-royong lebih praktikal dan amat baik dalam memantapkan kesatuan sesuatu masyarakat.
Boleh dikatakan yang usaha gotong-royong dalam kerja-kerja pembersihan sesuatu kawasan atau komuniti semakin kurang dilakukan kerana dunia semakin moden dan kebersihan sudah boleh dibeli dengan wang ringgit sahaja. Tetapi bagaimana mahu membeli nilai kebersihan dalam setiap individu? Jadi, sebelum kita mengharapkan orang lain membersihkan bilik tidur kita, kita harus membersihkannya terlebih dahulu.
3. Lebih selesa dengan kekotoran!
Ada individu yang yang lebih sukakan kekotoran berbanding kebersihan! Ini ialah sikap dan kenyataan yang amat ekstrim tetapi ia adalah satu kenyataan jika itu adalah keadaannya. Bagaimana mahu membayangkan situasi sebegini lagi? Setiap orang yang telah mengotorkan suatu kawasan perlu bertanggungjawab dalam membersihkannya. Ini harus dimandatorikan sebagai satu undang-undang yang keras dalam setiap peringkat masyarakat, lebih-lebih lagi anak-anak kita. Tanamkan sikap jauhi kekotoran dan sayangi kebersihan, dan secara automatik usaha untuk menjaga suasana yang sihat dan bersih akan menjadi kenyataan.
Isu kebersihan hampir menjadi isu minor kerana dibayangi isu politik, sosial (sebenarnya ia sebahagian dari isu ini) dan ekonomi. Padahal kebersihan ialah kunci kepada banyak cabang dalam keharmonian politik, sosial serta ekonomi. Ia harus diperbincangkan secara agresif di peringkat tertinggi dan terbawah supaya generasi kita yang akan datang membesarkan anak-anak mereka dengan nilai-nilai anti-kekotoran, tidak mengharapkan orang lain lagi dan yang paling penting, lebih selesa hidup dalam suasana yang bersih.
Menurut aneki.com, ini adalah antara 10 negara ‘terbersih’ di dalam dunia.
1. Finland
2. Norway
3. Canada
4. Sweden
5. Switzerland
6. New Zealand
7. Australia
8. Austria
9. Iceland
10. Denmark
END.
contact Johan Tan here