Hishamuddin Rais: Zionis Israel & Amerika
ZIONIS ISRAEL DAN AMERIKA
oleh Hishamuddin Rais
Ketika saya menulis ini tentera Zionis Israel sedang menyerang Lebanon. Serangan ini akan memasuki minggu ke tiga. Dunia difahamkan, Israel telah melancarkan serangan ini kerana dua orang soldadu mereka telah diculik. Ini sebenarnya tidak betul. Apa yang telah berlaku ialah satu pasukan soldadu Israel telah menceroboh masuk ke kawasan selatan Lebanon. Pencerobohan ini telah ditangkis oleh gerila Hisbullah, berlaku bentrokan dan dua soldadu Israel telah ditawan.
Media dan agensi berita antarabangsa pada awalnya telah membuat laporan tentang apa yang sebenarnya berlaku. Tetapi beberapa jam sesudah melaporkan bentrokan ini, berita ini telah diubah. Kini dilaporkan bahawa gerila Hisbullah pula yang telah menceroboh ke dalam wilayah Israel. Perubahan berita ini terjadi kerana Israel dan Amerika sedang merealisasikan satu pelan induk terhadap Lebanon dan Timur Tengah.
Media dan agensi berita yang dimiliki oleh kabal-kabal Zionis dan kaum pemodal antarabangsa kini sedang bersekongkol untuk mengolah persetujuan rakyat dunia agar agenda Amerika/Israel ini dapat dilaksanakan. Apakah dia agenda ini ?
Dalam strategi Israel, Hisbullah sebuah parti politik yang memiliki dua menteri kabinet dalam kerajaan campuran Lebanon wajib dikembiri. Hisbullah sebuah pertubuhan politik yang mewakili 40% rakyat Lebanon dari mazhab Syiah juga memiliki satu pasukan gerila yang tidak di tertakluk di bawah kuat kuasa kerajaan. Kumpulan gerila Hisbullah inilah yang dianggap sebagai satu “ancaman besar” terhadap rejim Zionis Israel.
Mari kita ingati kembali pada hari kedua sesudah soldadu Israel itu ditawan. Kerajaan Zionis Israel telah membuat fitnah mengatakan bahawa soldadu yang “diculik” ini akan dibawa ke Iran. Bayangkan betapa tidak masuk akal tuduhan ini. Hendak membawa tawanan perang ini ke Iran? Kalau dengan kapal, tawanan ini wajib melintasi terusan Suez. Mengambil jalan darat pasti tidak mungkin. Mungkin kerana ada rancangan untuk diterbangkan tawanan ini ke Iran? Hasilnya satu justifikasi untuk Israel mengebom lapangan terbang Beirut.
Ini adalah contoh bagaimana kaum Zionis berfikir dan bagaimana media antarabangsa telah digunakan untuk melaksanakan projek Israel ini. Dalam masa yang sama berita berbentuk sedemikian hanyalah propaganda Zionis dalam usaha untuk mengaitkan Iran dalam konflik ini. Ini bertujuan untuk menyediakan dan mengolah persetujuan rakyat Amerika dan rakyat dunia agar apabila Iran diserang maka semua alasan telah disediakan.
Ramai di antara kita tidak terlatih dalam bidang ketenteraan. Tetapi adalah tidak munasabah untuk menerima hakikat bahawa serangan balas Israel itu hanya datang dengan tiba-tiba sahaja. Kini telah mula terbocor berita bahawa pelan untuk menyerang Lebanon dan Beirut telah di rancangan lima tahun dahulu. Israel hanya menunggu masa dan ketika untuk melancarkannya. Tertawannya dua soldadu itu hanyalah alasan yang terbaik untuk Israel.
Dalam perancangan Israel, perang Timur Tengah ini wajib diperluaskan ke Syria dan juga ke Iran. Dua negara ini telah pun di takrifan sebagai negara “sarang pengganas” oleh Amerika. Di dalam perhitungan Israel, jika Syria dan Iran dapat dikaitkan dengan Hisbullah maka tidak dapat tidak Amerika akan mempercepatkan lagi serangan ke atas Iran.
Kedua-dua negara ini adalah penyokong Hisbullah. Syria dan Iran bukan sahaja memberi sokongan dana tetapi Hisbullah juga telah diberi kelengkapan persenjataan. Harus juga di sedari walau pun Hisbullah mendapat sokongan moral dan material dari Syria dan Iran ini tidak semestinya Hisbullah itu akan menjadi “budak suruhan”. Jika diperhatikan dengan rapi kelihatan Hisbullah telah bergerak menjalan dasar-dasar yang kadangkala jelas bertentangan dengan kepentingan Syria adan Iran. Menuduh Hisbullah sebagai budak suruhan Syria dan Iran samalah seperti menuduh Hugo Chavez sebagai budak suruhan Cuba.
Kaum Zionis dan Israel telah tidak sabar menunggu kata putus dari Rumah Putih untuk menyerang Iran. Kabal-kabal Zionis yang bersarang di Rumah Putih telah lama mencadangkan agar Iran di serang. Kabal-kabal Zionis dan kumpulan neocon memang telah lama merancang untuk membuka apa yang mereka panggil satu “suasana baru di Timur Tengah”.
Dengan menjajakan apa yang dipanggil era baru “pembangunan demokrasi”, kabal Zionis dan neocon ini berharap tidak akan wujud satu kuasa yang berkemungkinan untuk menandingi atau mengancam Israel. Era baru di Timur Tengah ini bertujuan untuk menundukkan semua negara atau kumpulan-kumpulan yang berpotensi untuk bangun menentang Israel. Strategi dan taktik kaum Zionis ini sebahagiannya telah berjaya apabila Iraq di lumpuhkan, PLO kini hanya tinggal nama, Mesir, Jordan, Saudi Arabia semuanya telah masuk ke dalam poket Amerika.
Apa yang tinggal hanyalah Syria dan Iran masih gah berdiri. Jika Syria dan Iran dapat ditundukkan maka hegemoni Israel terhadap negara-negara Arab di Timur Tengah ini akan dapat dilaksanakan. Jangka panjang strategi ini akan boleh membantu Amerika Syarikat untuk menjadi kuasa hegemoni unggul di mana Rusia dan China juga akan dapat di tundukkan sama. Jika ini berlaku maka lahirlah satu kuasa uni polar yang amat di idam-idamkan oleh kaum Zionis dan kumpulan neocon.
Pada ketika ini kepentingan kaum Zionis antarabangsa dan kepentingan kaum pemodal multinasional adalah satu. Apa yang termimpi-mimpi oleh kaum Zionis ialah sebuah negara Israel tanpa sempadan di mana negara-negara Arab dan di sekitarnya menjadi negara satelit. Negara satelit ini akan penyumbang tenaga buruh murah kepada kilang-kilang Israel. Warga di negara satelit ini juga akan menjadi konsumer/pembeli untuk produk/barangan keluaran Israel.
Manakala untuk kuasa uni polar Amerika Syarikat pula, para kaum pemodal antarabangsa dan syarikat minyak multinasional akan memiliki kesemua loji-loji dan telaga-telaga minyak dan gas dari Laut Capsian, Tanah Semenanjung Arab, Afghanistan, Iran dan negara kawasan-kawasan bekas satelit USSR. Jika telaga-telaga minyak dan gas ini telah dimiliki atau dapat jatuh ke dalam kawalan Amerika ini bermakna semua negara dan anak semua bangsa akan tunduk menyembah Rumah Putih tanpa mengira agama dan kepercayaan.
Sayangnya kaum Zionis, kaum pemodal multinasional tidak membaca Al-Quran, Bhagavad Gita, Injil, Marx, Lenin dan Mao, Castro dan Guevera. Semua kitab-kitab ini dan tulisan-tulisan dari pemikir agung ini telah ada menunjukkan hukum alam – bahawa jika ada penindasan pasti akan ada perlawanan. Hukum alam ini juga menunjukkan – sejauh mana penindasan dilakukan maka sebanyak itu juga perlawanan akan datang.
Memang betul Israel dan kaum Zionis telah berjaya mematahkan dan merasuah pucuk pimpinan PLO dan pasukan gerila Al-Fattah. Hasil pembelotan Fatah dan PLO ini akhirnya mereka ditolak oleh rakyat Palestin. Apa yang lahir ialah Hamas – sebuah organisasi politik rakyat Palestin yang mengajukan garis politik untuk terus mengangkat senjata untuk menentang Zionis Israel.
Pada tahun 1982 Israel telah menghancurkan setia kawan rakyat Palestin dengan rakyat Lebanon. PLO dan kumpulan gerila Palestin telah disingkirkan dari bumi Lebanon. Ada kumpulan rakyat Lebanon yang di rasuah untuk menyebelahi Israel. Tetapi lihat apa yang muncul “Hisbullah”; satu lagi organisasi yang lebih tersusun dari segi taktik dan strategi untuk bangun melawan kaum Zionis Israel.
Hamas dan Hisbullah pada masa ini adalah dua contoh organisasi massa yang sedang menggunakan parlimen dan dalam masa yang sama mengangkat senjata. Mereka pasti telah mengkaji segala bentuk teori dan pengalaman perang gerila dari Guevarist, dari Vietnam dan dari Mao. Mereka juga pasti telah memperbaiki taktik dan strategi PLO yang lama untuk menyesuaikan diri dalam politik hari ini.
Serangan yang berterusan ke atas Beirut dan Lebanon dengan tujuan untuk mencabut akar umbi dan pengaruh Hisbollah kelihatan menemui kegagalan. Kaum Zionis Israel juga akan gagal untuk menumpaskan Hamas dan kumpulan kumpulan gerila Palestin yang lain yang masih setia terhadap konsep parlimen dan perjuangan bersenjata.
Justeru, dua perkara akan berlaku di Lebanon. Pertama, Israel akan mengundur diri kerana telah terlalu ramai soldadu dan rakyatnya tewas. Jika ini berlaku maka Hisbullah akan menjadi contoh sebagai satu pasukan gerila politik yang unggul bukan hanya untuk rakyat Arab, tetapi untuk semua rakyat tertindas. Kedua, perang ini akan merebak ke Syria dan Iran. Jika ini berlaku maka bersedialah kerana harga minyak akan melambung tinggi.
Pada ketika ini kaum Zionis, kaum pemodal dan para neocon sedang memerhatikan apa yang sedang berlaku di Lebanon. Dalam perkiraan mereka tidak dipedulikan kehancuran kota Beirut atau kemusnahan Lebanon atau kesengsaraan warga Arab – mereka sedang menghitung untung rugi pelaburan mereka. Mereka sedang merancang bagaimana cara terbaik untuk memiliki dan mengawal semua telaga-telaga minyak yang bersepah-sepah di wilayah ini.
Kita sebagai pembaca mungkin merasakan jauh dari wilayah ini wajib berwaspada kerana rintik-rintik kemungkinan Amerika Syarikat meledakkan bom nuklear terhadap Iran semakin dekat. Jika ini berlaku maka satu perkembangan baru akan timbul bukan hanya di Timur Tengah atau hanya di kalangan negara-negara yang penduduknya beragama Islam tetapi di seluruh dunia. Marx, Lenin dan Mao telah menunjukkan dengan tepat – selagi kaum Zionis dan kaum pemodal antarabangsa wujud manusia dalam dunia ini akan diancam dengan perang. Perang bererti keuntungan untuk kaum kapitalis dan kaum pemodal.
END.
betol…
satu huraian penuh dengan kesedaran.
ayuh kita bangkit, sedarlah bahawa kita ini sedang ditindas oleh kaum zionis and neocon. apa yang berlaku di lebanon, adalah seperti yang berlaku di negara kita. usah kita berfikir untuk diri sendiri.
luangkan masa untuk berfikir sejenak, buruk padah yang akan timbul dalam masa mendatang. yang tertulis itu sudah tentu satu kepastian bg kita namun, usaha berterusan harus direalisasi agar kita lebih mampan dan bersatu menentang kuasa jahat dr kaum2 kapitalis ini.
sayang sarawak sungainya sempit, bilangan kaum muda malaysia yang cukup urban serba serbi masih x sedar akan pelan jangka panjang zionis dan us. Mereka fikir semua ini fiksyen semata-mata. Mana mungkin us nak hancurkan dunia! Semuanya sibuk nak mengikut mahzab “Americana”. Ada nak jadi “next tarantino” , “next the strokes”, “next mtv vj”, tapi bila tanya pasal sheikh hassan nasrallah, seekor pun tak kenal! ( ayat “seekor” lebih tepat dari “seorang” untuk kebanyakkan remaja Malaysia;sebab cara mereka berfikir mcm binatang…)
p/s:komen ini dari seorang remaja yang berada di lingkungan luar remaja tipikal Malaysia!
tak beralsan dan terlalu di buat2. Gbu