Hishamuddin Rais: Selamat Tahun Baru
SELAMAT DATANG TAHUN BARU
oleh Hishamuddin Rais
Bila saya menulis ini president Iraq, Saddam Hussein telah digantung di Baghdad. Saya mengenali kota Baghdad kerana saya tinggal agak lama disana. Malah saya mengetahui sebanyak sadikit politik Saddam dan Parti Baath-nya. Malah saya bersimpati dan menyokong beberapa garis politik parti ini yang saya anggap berhaluan sosialis dan nasionalis.
Untuk saya presiden Iraq yang telah menjadi arwah ini bukanlah seorang malaikat tetapi jika dibandingkan dengan Bush atau Blair, saya rasa susuk yang bernama Saddam Hussein ini berjuta-juta kali lebih baik. Disini saya bukan ingin menjadi seoarang “apologist” untuk Saddam. Saya hanya ingin menyatakan kebenaran.
Ketika saya berada di kota Baghdad pada tahun 1975 saya mendapati kota ini agak “ulu” berbanding dengan Kuala Lumpur atau Beirut. Ketika itu Baghdad sebuah kota kuno sedang diduduki olih hampir 2 juta orang. Pada hari pertama saya disana saya telah gagal mencari bateri kering untuk radio dan tape recorder kecil saya. Untuk seorang konsumer dari kota kapitalis pasti banyak kutukan yang terkeluar dari mulut saya.
Tetapi apabila saya tinggal lama dalam kota ini maka saya mula sedar, mungkin penduduk kota ini tidak memiliki bateri kering tetapi mereka memiliki “produk-produk halimunan” yang tidak dapat dipegang. Contohnya – sekolah, kolej, universiti dan khidmat perubatan semuanya percuma. Malah ada ribuan pelajar-pelajar dari Afrika dan negara Arab yang datang belajar secara percuma dan diberi pula biasiswa olih kerajaan Iraq. Dari Asia Tenggara ada puluhan pelajar dari Indonesia dan Petani yang belajar dalam pelbagai ilmu; dari bidang kejuteraan, sains hinggalah ke ilmu kedoktoran.
Saya masih ingat lagi pada musim daun gugur tahun 1975, saya berada di dataran Al-medan kawasan tengah kota. Saya turun ke jalan raya bersama-sama beribu-ribu penduduk kota Baghdad untuk menunjuk perasaan kerana menyokong dasar memiliknegarakan semua syarikat minyak Iraq. Iraq Petrolium Company (IPC) yang dimiliki olih modal British telah di milik negarakan pada hari itu. Kami menyambut dengan demontrasi besar-besaran. Untuk saya ini membuktikan dasar pro rakyat yang dijalankan oleh Arab Baath Sosialis Parti. Hari ini saya merasa bagitu bangga kerana berada dalam detik sejarah di Al Medan pada petang itu.
Kali kedua saya sampai ke sana pada tahun 1977, kerajaan Iraq telah meluluskan dasar bahawa setiap warga Arab tidak mengira dari negara mana pun boleh datang ke Iraq tanpa visa sama ada untuk belajar atau bekerja. Beribu-ribu warga Arab dari Moroko, Mauritania, Sudan, Mesir, Aljeria, Tunisia, Yamen telah sampai ke Iraq. Ada yang masuk universiti dan ada yang mencari pekerjaan. Kota Banghdad pada tahun 1977 walau pun tidak sekosmopolitan London tetapi adalah sebuah kota budaya yang hidup dan bernyawa.
Hampir di setiap pelusuk kota Baghdad saya bertemu dengan museum, ukiran, tugu, bilik pamiran, panggung wayang, dewan musik dan teater. Ada musium kaca, museum tingkap, museum tenun, ada museum teko – ini tidak termasuk dengan Museum Nasional Negara yang telah di rompak khazahnya olih soldadu Amerika empat tahun dahulu. Baghdad adalah kota ilmu dan kota budaya.
Untuk pembaca yang tidak tahu, universiti tertua dalam dunia ini ialah Universiti Baghdad, yang asalnya terletak dipinggir tebing sungai Dajlah, kini telah beralih. Tradisi memakai jubah dan motar di Oxford , Cambridge atau di Universiti Malaya itu bermula dari Universiti Baghdad. Jubah hitam itu adalah jubah Arab. Di kota Baghdadlah bermulanya tradisi mengumpul ilmu secara tersusun pada ketika Eropah sedang nazak dalam Zaman Gelap. Ilmu yang dikumpulkan dalam kota Baghdadlah yang membuka zaman Pencerahan untuk Eropah.
Pada 12 Jun 2006 yang lalu angka soldadu yang telah gugur ialah 2500. Pada ketika ituTony Snow jurucakap Rumah Putih telah berkata ” ini hanyalah angka “this is just number”. Pada 31 December 2006 angka soldadu Amerika yang telah gugur di Iraq ialah 3002 orang. Bayangkan – inilah sikap yang diambil olih Bush dan Rumah Putih. Mereka tidak memiliki apa-apa perasaan kemanusiaan. Hampir 700,000 rakyat Iraq yang terkorban dan 3000 soldadu America maut – untuk Bush dan sekutunya itu hanyalah angka statistik.
Semenjak tentera Anglo-Amerika menceroboh dan menawan Iraq empat tahun dahulu rakyat negara ini tidak lagi dapat merasa keselesaan. Perlu dingatkan kembali “agar kita jangan mudah lupa “bahawa tujuan Iraq diserang ialah kerana Saddam Hussein ada memiliki “weapons of mass destruction”. Hingga ke hari ini “senjata” ini tidak ditemui. Bila soalan kenapa “senjata ” ini tidak ditemui maka Bush dan Blair telah bersilat lidah. Bush berkata ” dia ingin membawa demokrasi” kepada rakyat Iraq. Manakala Blair pula berkata ” dia ingin menyelamatkan” rakyat Iraq dari kezaliman Saddam.
Mari kita sama-masa bertenang, berapa ramai agaknya rakyat Iraq yang telah dibunuh olih regim Saddam? Berapa ramai agaknya rakyat Iraq yang telah diseksa dalam penjara kerana menentang Saddam? Sepuluh ribu, seratus ribu? Jawabnya pasti mengecewakan kerana hari ini hampir 700,000 rakyat Iraq yang tewas akibat serangan tentera Anglo-Amerika. Dua tahun kebelakangan pukul rata setiap hari hampir 50 mayat rakyat Iraq ditemui.
Jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan olih Saddam dengan apa yang dilakukan olih Bush dan Blair maka tidak dapat tidak kita akan menganggap Saddam Husssein ini sebagai malaikat di dunia. Hari ini di Iraq api leterik hanya datang untuk beberapa jam sehari. Bekalan air terputus-putus. Minyak api untuk memasak semakin susah atau hampir tidak dapat ditemui. Ketika saya di Iraq pada tahun 1977 satu Dinar Iraqi bernilai tiga dollar Amerika. Pada April 2006 dahulu satu dolar sama dengan 1500 dinar. Kini dinar Iraq telah sama tarafnya dengan “duit pisang Jepun”.
Rakyat Iraq hari ini sentiasa dalam ketakutan. Mereka tidak tahu dari mana datangnya musuh. Jika dia Sunni mungkin kumpulan Shia yang akan datang membunuh. Jika dia Shia, kumpulan Sunni yang akan datang menyerang. Tidak dikenali lagi yang mana pegawai polis dan yang mana pembunuh upahan. Mana soldadu Iraq dan yang mana soldadu upahan Amerika. Ajenda pecah perintah yang di rancang olih Bush dan Blair kini sedang menjadi malaikat maut yang menendang pintu rumah tanpa dijemput.
Perlembagaan baru Iraq yang disusun olih Paul Bremer prokounsul yang dihantar olih Bush pada tahun pertama dahulu adalah satu perlembagaan yang dimimpi-mimpikan olih para lanun dan para kapitalis. Semua cukai dimansuhkan. Semua harta khazanah negara “leterik, air, talipon “yang dahulunya adalah milik negara kini di swastakan untuk dimiliki olih syarikat multinasional. Keuntungan pelaboran di Iraq tidak akan dicukai. Undang-undang pro buruh kerajaan Saddam dimansuhkan. Paling penting – semua wilayah yang berpotensi dengan minyak boleh dimiliki olih syarikat antarabangsa. Memiliknegarakan harta negara untuk kepentingan orang ramai tidak dibenarkan.
Bila Saddan Hussein digantung, kita di Malaysia sedang bersedia untuk menyambut hari Raya Haji. Saya yakin tarikh dan masa pembunuhan Saddam ini telah dipilih untuk memastikan perang dan huru hara di Iraq akan berterusan. Melaga-lagakan umat Islam ini adalah ajenda utama yang telah dirancang dengan bagitu licik dan rapi olih kabal-kabal zionis dan para neocon di Rumah Putih.
Ketika saya di Iraq dahulu tidak pun saya mendengar apa-apa perbezaaan hakiki diantara Sunni dan Shia. Memang betul ada perbezaaan tetapi tidak seperti apa yang berlaku hari ini. Saya juga sedar pada ketika itu ada kumpulan masyarakat Kurdish yang telah mengangkat senjata melawan regim Saddam. Tetapi saya juga menyedari dibelakang gerakan Kurdish ini ialah Shah Reza Pahlevi dan CIA.
Saya masih ingat lagi dalam kabinet patriotik Saddam pada tahun 1977 ada dua menteri dari Parti Komunis Iraq, ada dua orang dari parti Kurdish. Manakala dari Arab Baath Sosialis Parti mereka bercampur aduk; ada sunni, ada shia dan ada kristian. Parti Baath bukan parti sunni atau parti shia, ianya ialah sebuah parti sosialis. Dasar siosialis tidak berasakan mazhab agama dan dasarnya tidak akan mengadukan dombakan rakyat.
Pecah perintah shia dan sunni bukan agenda Parti Baath. Apa yang diperjuangan olih Baath ialah keadilan dan nasionalisma Arab. Malah apakah kita semua terlupa tentang Ayatollah Khomenei yang telah diburu olih Shah Reza Pahlevi. Pada tahun 1964 Ayatollah Khomenei telah mendapat suaka politik di Iraq dan tinggal di Najaf selama 14 tahun. Selama 14 tahun ini adalah 14 tahun dibawah kerajaan Baath yang dipimpin olih Saddam. Ayatollah Khomenei bermahzab shia tetapi masih diberi perlindungan di Iraq.
Saya pernah melintasi Takrit wilayah perkampungan Saddam dalam perjalanan saya ke Mosul di utara Iraq pada tahun 1977. Perkampungan yang subur dipinggir sungai Dajlah kini menjadi wilayah pemakaman Saddam Hussein. Rakyat dunia terutama umat Arab dan Islam merasa bagitu tercabar dengan tingkah laku dan keangkuhan bala tentera Anglo-Amerika. Kini rakyat Iraq hanya menunggu hari pembalasan.
Perang di Iraq akan berterusan. Tentera Anglo-Amerika pasti akan kalah. Sejarah telah menunjukkan bahawa naga dari luar yang mundar mandir akan dapat dikalahkan olih ular lidi tempatan. Hukum ini tidak akan berubah. Vietnam, Indonesia, Tanah Melayu, Kenya, Aljeria, Cuba adalah contoh-contoh dimana bala tentera kuasa imperial akhirnya menemui maut.
Untuk saya Saddam Hussein adalah seorang nasionalis pan Arab. seorang patriot, seorang warga dunia yang anti imperialis. Saya amat pasti dalam masa yang tidak lama akan muncul shaer dan sajak yang akan menjadi cerita-cerita rakyat di bumi Arab. Buku-buku akan ditulis tentang Saddam dan perjuangan pan Arabnya. Filem-filem akan dibuat tentang susuk yang bernama Saddam. Untuk Bush dan Blair mereka akan ditenggelami olih air ludah sumpah seranah rakyat dunia, jika semua air ludah ini dapat dikumpulkan.
END
macam title lagu hujan. ‘ludah amerika’
pegi la jenguk pameran sains&teknologi islam kat klcc. kita blh lihat how baghdad at one time, mjadi pusat intelek, ilmuan kat dunia ni.
tengok….semua kemudahan intelek free kat sane….kos tak bape tinggi….tapi kita kat sini bayar sikit merengus2 nye lebey….blaja pun tak bape nak pandai….org lain guna pensil kayu siap sambung2 bila dah patah.tak da pengasah(dr cerita bapak aku la)….bejaya dalam idup …tapi tak bepeluang masuk ‘U’ sebab kewangan tak mengizinkan..kita? pensil kayu patah sikit terus buang…..”pikir2kan”
spit for amerika
‘Tradisi memakai jubah dan motar di Oxford , Cambridge atau di Universiti Malaya itu bermula dari Universiti Baghdad. Jubah hitam itu adalah jubah Arab.’
sdg buat kajian tntng sejarah robe/gown graduation.. cuma jumpa satu site yg mengatakan kemungkinan berasal drpd Islam, khususnya sistem madarasah… ada kaitan dgn islam..boleh tlg share rujukan…
‘Tradisi memakai jubah dan motar di Oxford , Cambridge atau di Universiti Malaya itu bermula dari Universiti Baghdad. Jubah hitam itu adalah jubah Arab.’
sdg buat kajian tntng sejarah robe/gown graduation.. ada kaitan dgn islam…cuma jumpa satu site yg mengatakan kemungkinan berasal drpd Islam, khususnya sistem madarasah… ..boleh tlg share rujukan…