Hishamuddin Rais: Najib, Minyak & Senjata
NAJIB, MINYAK DAN SENJATA
oleh Hishamuddin Rais
“Finnish ambassador to Malaysia, Lauri Korpinen, last week announced that his government was eager to step up dealings with Malaysia. Right now the Finns are aiming for defence contracts and to help promote Finnish companies, Defence Minister Dr Seppo Kaariainen is scheduled to arrive sometime this month, at the invitation of Malaysian Deputy Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak.”
“Duta Finland ke Malaysia, Lauri Korpinen, telah membuat pengumuman minggu lepas yang kerajaan beliau cukup bersedia untuk meningkatkan lagi hubungan dengan Malaysia. Ketika ini negara Finland sedang merancang untuk memborong kontrek-kontrek persenjataan dan untuk mempromosi syarikat-syarikat Finland. Menteri Pertahanan Finland Dr. Seppo Kaarianen dijangkakan akan membuat lawatan ke Malaysia pada bulan ini. Lawatan ini adalah di atas jemputan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.” ( Terjemahan dari laporan asal)
‚Äì Laporan Jakob Holm dari ScanAsia.com – 6 March 2006
Dalam tulisan saya pada akhir tahun lalu, saya telah membuat ramalan bahawa harga bahan bakar minyak akan naik tiga kali pada tahun 2006 ini. Ramalan harga minyak naik telah tepat. Untuk ramalan 3 kali naik, saya salah. Ini disebabkan kerana kerajaan telah menaikkan 30 sen untuk satu liter, justeru pada tahun ini harga bahan bakar minyak tidak akan naik lagi.
Saya juga telah menulis tiga tahun dahulu bahawa negara kita perlu melakukan perubahan gaya hidup. Apabila Najib Razak yang saya lihat duduk mengereng di kerusi dalam kaca tv mula menyebut perkataan “gaya hidup” ketika diwawancara dalam usaha untuk menerangkan kepada rakyat kenapa harga naik 30, saya hanya tersenyum. Esoknya pula semua akhbar membawa induk berita untuk menyambut saranan “MENGUBAH CARA HIDUP” saya tersenyum lagi.
Saya tersenyum kerana, di sini ada satu perbezaan mutlak di antara pandangan yang disarankan oleh Najib dengan konsep, falsafah dan pentakrifan makna gaya hidup yang saya ajukan. Walau pun bunyinya sama tetapi ada perbezaannya yang cukup luas seperti sanggul Rosmah dengan fesyen rambut Ziana Zain.
Pada hemat saya gaya hidup yang disarankan oleh Najib hanyalah meminta rakyat jangan berbelanja secara boros. Menggunakan duit secara berhemah. Membeli apa yang perlu sahaja. Gunakan khidmat pengangkutan awam. Dan dan dan kazak kazak kazak et cetera et cetera et cetera bla bla bla…….
Sekali dengar memang tepat saranan ini untuk mereka yang tinggal di Bukit Tengku, di Country Heights atau di Bukit Putrajaya. Saranan ini pasti akan dapat menenteramkan roh mereka untuk terus merasa selesa sambil bersyukur kerana tuhan telah membuka pintu kontrak dan melambakkan rezeki bertimbun-timbun. Sebagai tanda pengorbanan mereka, pada tahun ini mereka hanya akan ke Umrah sekali sahaja dan tidak lagi empat kali setahun seperti biasa dilakukan.
Untuk terus membuktikan kesetiaan mereka terhadap saranan Najib lalu mereka membatalkan percutian membeli belah ke London atau Paris dan hanya menempah tiket ke Hong Kong dan Jakarta. Mereka juga akan membatalkan pesanan jam Rolex dan kasut Prada yang telah mereka tempah dari Star Hill. Mereka secara ikhlas sanggup berkorban apa sahaja untuk negara, bangsa dan Najib kerana harga minyak telah naik 30 sen. Sebagai gantian Prada mereka menempah beg Louis Vuitton dan jaket Armani.
Kereta mereka yang berbelas-belas telah dipindahkan untuk disimpan ke pekarangan rumah ke dua. Manakala cita-cita untuk menghadiahkan sebuah Lexus dan sebuah penthouse baru kepada si Minah Genit yang membantu kerja di pejabat telah dibatalkan. Ini diganti dengan hadiah sebuah kereta Honda dan sebuah kondo. Sedarlah, bahawa mereka ini adalah warga misali yang taat setia dengan perintah Najib. Mereka berbelanja secara berhemah dan menyahut seruan untuk mengubah cara hidup.
Bagaimana agaknya pengorbanan Mak Cik dan Pak Cik yang tinggal di flet Sri Pahang dan flet KTM di Bangsar Utama. Bagaimana cara mereka berkorban untuk membuktikan kesetiaan mereka terhadap Najib apabila minyak dinaikkan 30 sen seliter. Pendapatan mereka di bawah 2000 ringgit sebulan. Dua atau tiga orang anak masih bersekolah. Mungkin mereka juga telah membatalkan cita-cita mereka untuk membeli Mercedes mata belalang dan kini hanya menyimpan angan-angan untuk memiliki sebuah Kancil atau Proton.
Tetapi, permintaan Najib agar mereka menggunakan pengangkutan awam memang tidak masuk akal, kerana selama ini merekalah orangnya yang amat setia menggunakan LRT dan bergerak dengan bas. Untuk pulang ke kampung ketika berhari raya mereka juga menaiki bas jarak jauh. Najib seharusnya tidak perlu menyeru dan meminta mereka berkorban agar menggunakan pengangkutan awam. Atau Najib mahu mereka menapak berjalan kaki pergi memburuh?
Atau si Najib ini meminta mereka mengurangkan perbelanjaan dapur? Saya ingin bertanya kepada Najib – apa lagi yang patut mereka kurangkan. Mereka tidak pernah memesan keju dari Perancis atau hati angsa dari Switzerland. Mereka hanya makan ikan kembung, ayam pencen dan jika membeli daging mereka membeli daging kotak.
Demi yang Maha Esa, walau pun flet mereka tidak sampai satu kilometer dari Talawi, mereka belum pernah memasuki La Bodega, Talawi Bistro atau Coffee Beans. Mereka makan di rumah dan minum kopi bungkus cap ayam. Paling mahal mereka berbelanja apabila membeli ayam goreng yang berselaput dengan aji-no-moto dari KFC atau berbelanja makan di kedai Mamak.
Barang-barang keperluan dapur mereka dibeli dari kedai di bawah flet atau dari pasar malam. Mereka tidak pernah memasuki Bangsar Shopping Complex atau ke Bangsar Village, walau pun mereka tinggal di Bangsar. Kesemua yang mereka beli hanyalah keperluan asas untuk hidup. Tidak ada barangan “lux” yang mereka beli.
Untuk menghias badan, mereka membeli pakaian di Jalan Masjid India. Sesekali, jika ada modal sedikit mereka mengelencong ke Jalan Tengku Abdul Rahman untuk ke Kamdar bukan ke Sogo. Mereka tidak arif tentang Gucci, Donna Karan atau Estee Lauder. Jangan silap anggap jika ternampak anak-anak mereka memakai baju DKNY atau seluar Levis, semua ini dibeli dari Petaling Street buatan Golok.
Atau apakah Najib mahu mereka berkorban dan berhenti dari membeli beras, garam, gula, minyak, kelapa, ikan, telur dan sayur. Atau Najib mahu mereka menjimatkan duit tanpa keluar ke mana-mana, hanya terperlesok dalam rumah. Atau Najib mahu mereka jangan beli minyak motosikal lagi dan mula berjoging untuk ke tempat kerja.
Saya rasa Najib dan isterinya Rosmah tidak pernah membeli apa-apa di pasar malam atau membeli bahan dapur dari kedai runcit. Saya ingin memberi mereka tahu bahawa kenaikan 30 sen harga bahan bakar minyak ini telah mengakibatkan kenaikan kesemua harga barang-barang keperluan asas. Ini bukan satu propaganda kosong.
Saya mengetahui semua harga barang-barang asas telah naik harganya. Ini bukan kerana saya sedang membuat kajian ilmiah tesis Phd. Saya tahu harga barang-barang seperti bawang, sawi, lada, bayam, ikan, telur, gula, susu, kopi, kubis, pisang, gas memasak “semuanya naik” Saya tahu kerana saya membeli barang-barang ini untuk keperluan asas hidup saya.
Saya arif tentang berapa sen tambang bas naik di Kuala Lumpur. Jangan lupa tambang bulanan bas sekolah untuk anak-anak telah naik awal lagi. Saya juga tahu berapa ringgit pula tambang bas jarak jauh telah naik. Meter teksi yang dipercepatkan semakin melonjak agar harganya tambangnya naik. Orang-orang seperti Mak Cik dan Pak Cik di flet Sri Pahang pada hemat saya tidak perlu berkorban. Tidak ada apa-apa yang perlu mereka korbankan. Kami bukan seperti Najib yang mampu berkorban berpuluh-puluh ekor lembu di Pekan pada setiap hari raya haji. Saya juga tidak sanggup berkorban kerana saya hanya ada memelihara seekor kucing jantan yang mungkin tidak akan diterima oleh pegawai masjid sebagai amalan korban.
Lagi pun saya sendiri tidak berani meminta sesiapa pun untuk berkorban. Saya tidak meminta Najib mengurangkan pembelian solekan untuk Rosmah. Atau meminta Rosmah mengurangkan pembelian intan berlian. Saya juga tidak akan meminta Najib mengurang kilo emas yang diminta sebagai hantaran perkahwinan anak mereka. Saya juga tidak meminta Najib mengurangkan koleksi CD lagu-lagu nyanyian Ziana Zain. Jika saya meminta mereka membuat pengorbanan sedemikian maka saya pasti akan dianggap tidak sopan, kurang ajar dan tidak Melayu.
Tetapi, seyogia diingati dan awas bahawa saya berhak mempersoalkan kenapa Najib terus menerus membeli senjata dari Poland atau dari Perancis ? Apa gunanya kereta kebal dari Poland itu? Siapa musuh kita yang akan menyerang? Apa gunanya kapal selam yang di beli dari Perancis itu? Siapa yang hendak kita tembak?
Minggu lalu ketika saya berlegar di alam siber saya terserempak dengan berita tentang menteri pertahanan Finland yang akan datang melawat Malaysia atas jemputan Najib. Dari berita yang saya baca si Mamat Finland ini juga ingin datang menjual senjata. Senjata bentuk apa pula yang akan di beli oleh Najib ini? Apakah kita masih belum cukup senjata lagi. Dalam hal pembelian senjata ini saya ingin bertanya siapa agaknya yang menjadi orang tengah dan akan mendapat komisen? Berapa peratus agaknya komisen yang diperoleh hasil jual beli senjata ini. Apa yang pasti bukan Mak Cik dari flet Sri Pahang atau Tok Bilal dari Felda Taib Andak yang menguruskan jual beli ini. Ini semua kerja Najib sebagai menteri senjata.
Untuk saya pembelian senjata ini adalah persoalan gaya hidup. Kita wajib mengubah struktur gaya hidup negara kita yang berselirat dengan senjata. Negara kita tidak memerlukan senjata seperti kapal selam, kereta perisai atau kapal terbang. Semua ini hanyalah alatan perang yang terus dicipta oleh peniaga industri perang dari Amerika Syarikat dan Eropah. Tujuan menjual senjata ini ialah untuk mendapat keuntungan. Manakala di dalam negara kita akan muncul kumpulan pelobi atau syarikat perunding yang akan meraih berjuta-juta dolar sebagai duit kopi kerana dapat meluluskan kontrak jual beli senjata ini.
Mak Cik Felda dan Mak Cik dari flet Sri Pahang sedang merungut marah kerana harga barang-barang asas naik. Mereka marah kerana duit mereka makin kurang nilainya berbanding dengan dua minggu dahulu. Tup tup ketika kita semua susah payah mencari makan tiba-tiba si Najib ini telah menggunakan duit negara “duit kita semua” untuk membeli senjata. Pastilah kita semua jadi bengang dan bertempik marah.
Dari data yang saya temui Najib telah berbelanja hampir 4 bilion ringgit untuk membeli pelbagai jenis senjata dari Poland, Rusia, Perancis dan Britain. Ini belum termasuk belanja pelbagai projek senjata yang gagal. Kereta kebal DRB HICOM yang berkarat. Bangunan tentera yang runtuh. Kapal perang yang dibuat di Lumut tidak pernah siap.
Keadaan bertambah sewel apabila semua senjata dari luar negara ini semuanya senjata sudah terpakai “tangan kedua” second hand. Kapal terbang perang MIG Rusia tangan kedua, kapal selam Perancis tangan kedua, kereta kebal Poland tangan ke dua. Nasib baik Malaysia tidak jadi beli kapal selam Belanda yang sampai sekarang tersadai berkarat di Lumut. Kapal selam Belanda ini pun dulu sampai kerana sudah ada malaun yang melobi untuk menjualnya kepada si Najib.
Empat bilion ringgit ini bukan kecik anak. Jika dikumpulkan duit-duit ini pasti ianya boleh digunakan untuk menghantar semua orang Melayu di Malaysia ini untuk pergi naik haji. Malah kita juga boleh mengangkut sama mamak-mamak dan saudara-saudara baru kita seperti Sangkaran Pillay aka Chandra Muzzafar untuk sama ke Mekah.
Gaya hidup membeli senjata ini yang wajib kita sama-sama ubah. Membeli senjata adalah kerja membazir. Dalam zaman nuklear ini negara dari dunia ketiga seperti Malaysia ini tidak perlu kapal selam atau kereta kebal. Kalau musuh hendak menyerang dan menawan Malaysia, kita ada senjata yang lebih kuat. Senjata ini ialah rakyat Malaysia sendiri. Contohnya, sila baca kembali apa yang telah terjadi kepada Amerika di Vietnam pada tahun 70an dahulu. Satu bala tentera yang terkuat dalam dunia ini akhirnya tunduk kalah. Dan hari ini rakyat Iraq telah menunjukkan kepada kita semua cara mempertahankan diri dari ditawan musuh. Mereka menggunakan periuk api buatan sendiri.
Rasa saya si Rosmah perlu menasihatkan si Najib agar mengubah gaya hidup untuk berhenti berbelanja membeli senjata dengan menggunakan duit orang ramai. Atau si Najib perlu menasihatkan si Rosmah untuk mengubah gaya hidup agar jangan lagi membawa pelobi-pelobi penjual senjata. Jika pengantin dua sekapal ini mengubah gaya hidup mereka pasti subsidi minyak masih dapat diberikan kepada orang ramai.
END
betul2 membuka mata.. tak pernah terfikir masalah ni seberat ni.. asyik depend kat mak bapak sampai tak terpk kesusahan diorang..
betul juga….tetapi saya agak tidak bersetuju dengan pandangan bahawa negara kita tidak memerlukan senjata.pada pandangan saya,memang perlu senjata.tetapi saya tidak setuju dengan polisi senjata menteri pertahanan kita ini.senjata second hand dan peprojek senjata negara kita ini saya berasa semuanya tidak berguna jika terdapat situasi genting dalam negara di mana senjata diperlukan.senjata tangan kedua negara kita mestilah akan dikalahkan senjata pertama yang dimiliki negara lain.apalah gunanya jika senjata tersebut tidak berguna???samalah seperti kita balik ke segiempat pertama(go back to square one).senjata yang sudah makan lapuk ini mungkin tidak berupaya berfungsi dengan baik.tetapi dengan mengatakan negara kita tidak memerlukan senjata juga salah.dengan keganasan sesetengah negara dewasa ini,tiada kita boleh menjangka siapa yang akan menyerang kita pada esok hari atau esok esok yang lainnya….sebenarnya membeli senjata tangan kedua ini juga ada kebaikannya.tetapi tidaklah dengan harga empat billion.beli dengan empat million sudahlah…….mentang-mentang suatu hari nanti kita diserang,bolehlah diwujudkan kumpulan kamikaze seperti yang diwujudkan oleh orang Jepun dahulu.bolehlah mereka menyerang dengan tidak mempedulikan kerosakan pada kapal terbang ataupun kapal perang.bolehlah pemimpin mengarahkan serangan dengan lebih senang hati dan tidak memakan perbelanjaan peperangan yang besar……..fikirkan practicality juga.jika tidak mahu kehilangan nyawa,boleh juga kita meremotkontrolkan kekapal perang untuk dijahanamkan pada alat perang musuh.boleh dikawal di berek dan di kawasan perlindungan.kan ideal dengan kewujudan senjata sebegini???saya kira,kalau senjata begitu diguna,tidak begitu sakit hati orang kita sendiri dalam masa peperangan…..
Jaga¬?lah Pak Lah… Orang Disekeliling mu bukan boleh dipercayai…. Coba Pak Lah tengok bila depa nak kena kan Anwar… semua pakat puji dan sokong Che Det …. La ni Pak Lah tengok la sendiri orang yang dok sokong Che Det tu pakat nak jatuhkan Che Det pulak…. Mungkin satu hari nanti Menteri Senjata ni Nak ‘Kenakan’ Pak Lah Pulak…. Jaga¬? Nooo….. “Your worst enemy could be your best friend, and your best friend your worse enemy” -Kitab BoB Marley- Hijau,Kuning,Merah….