Hishamuddin Rais: Matinya Seorang Pejuang Siber
MATINYA SEORANG PEJUANG SIBER
oleh Hishamuddin Rais
Berita kematian MGG Pillai sampai kepada saya melalui Sistem Pesanan Ringkas, pada hari Jumaat 28 April yang lalu. Ketika itu saya berada di luar Kuala Lumpur. Banyak pesanan yang sama sampai ke dalam talipon bimbit saya. Malah saya juga ada menerima panggilan talipon untuk memberitahu tentang kematian MGG Pillai. Esoknya apabila jenazah MGG Pillai di makamkan saya masih lagi berada juah dari Kuala Lumpur.
Pada ketika saya mula mengenal MGG Pillai sistem talipon bimbit, Sistem Pesanan Ringkas, internet, semuanya belum wujud. Apa yang wujud pada ketika itu hanya sistem talipon berdawai, telegram, teleks dan mesin mengetik huruf. Surat khabar masih lagi dicetak dengan dakwat hitam melalui huruf-huruf yang dibuat dari timah bakar. Alam siber pula masih belum terbuka dan sedang dikawal rapi oleh perwira Perang Dingin di Pentagon Amerika Syarikat.
Pertama kali saya ternampak susuk MGG – nama yang sering digunakan oleh kenalan rapat – dalam tahun 1973/74. Saya tidak tahu latar belakang MGG pada ketika itu. Saya hanyalah seorang aktivis mahasiswa dari Universiti Malaya. Bila saya menjadi Setiausaha Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, salah satu dari tugas saya ialah untuk menyebarkan kenyataan akhbar dan memanggil sidang akhbar untuk menerangkan dasar persatuan. Dengan tugas ini saya sering berhubung rapat dengan wartawan-wartawan akhbar tempatan dan juga wakil agensi berita dari luar negara. Maka, saya difahamkan ketika ini MGG adalah wakil agensi Reuters.
Pada ketika itu saya menganggap para wartawan-wartawan akhbar tempatan dan wakil agensi berita luar negara ini pastilah manusia yang ‘gah’ kerana keupayaan penulisan mereka. Saya juga berpendapat pada ketika itu, pastilah susuk-susuk yang bekerja dengan media ini hebat-hebat keilmuan mereka. Pandangan ini timbul kerana pada ketika itu saya baru 21 kali membeli kasut raya. Perjalanan belum panjang dan kail belum diukur.
Saya masih ingat lagi pada satu ketika pada tahun 1974, nama MGG Pillai timbul di kalangan kami. Kami di sini ialah pelajar gulungan kiri dan kawan-kawan saya dari Kelab Sosialis. Ini berpunca apabila Abu Yacob wakil Al-Fatah di Malaysia telah menimbulkan rasa kurang puas hati dengan MGG. Ini berikutan dengan laporan MGG yang dianggap ‘kanan dan reaksioner’ pada ketika itu. Suasana politik 70’an mewajibkan kami terus berwaspada terhadap kumpulan-kumpulan kanan yang datang menjalankan kerja-kerja intipan dalam pelbagai bentuk – termasuk menyamar sebagai wartawan.
Pada pagi 3 Disember hingga 7 Disember 1974 para mahasiswa dari Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan telah bertempur dengan FRU. Bentrokan ini bermula di pagi hari hingga ke jauh malam di Jalan Pantai dan di Lebuh Persekutuan. Tindakan para pelajar ini adalah tanda setia kawan dan tanda sokongan anak-anak muda kepada berpuluh-puluh ribu kaum tani dan warga miskin yang turun berdemo ke jalan raya dari Sik, Tikam Batu, Kupang dan kawasan-kawasan sekitar Baling. Berita warga miskin Baling mengepung pejabat pentadbiran kerajaan di Baling telah menggegarkan Kuala Lumpur.
Ketika tunjuk perasaan para mahasiswa ini berlaku, saya ternampak susuk MGG ke hulu ke hilir memungut berita di sekitar Masjid dan di pintu utama UM di mana mahasiswa dari UM dan UKM sedang bertempur dengan FRU. Tunjuk perasaan anak muda, mahasiswa dan pelajar ini telah mendapat laporan media yang luas melalui kerja wartawan agensi berita luar negara seperti MGG Pillai.
Apabila FRU, Polis dan Tentera menceroboh ke dalam kampus Uiversiti Malaya pada jam 3.00 pagi 8 Disember 1974, saya telah melarikan diri dari ditangkap. Satu bulan kemudian saya berpeluang membaca satu laporan tentang Gerakan Baling 3 Disember oleh MGG Pillai dalam majalah Far Eastern Economic Review. Majalah ini telah lewat sampai kepada saya kerana pada ketika ini saya telah memulakan hidup baru – di bawah tanah.
Dari majalah ini, saya telah membaca bagaimana MGG sebagai wartawan telah duduk dari tengah hari hingga ke jauh malam di warung Amjal di hadapan pintu utama UM. Dia memerhatikan apa yang berlaku di hadapan matanya. Menurut tulisan MGG, beliau telah mengira lebih dari 80 das tembakan gas pemedih mata yang diarahkan ke pintu utama UM. Tembakan ini di lakukan oleh FRU untuk menghalang para mahasiswa dari berkumpul dan berarak masuk ke dalam kota Kuala Lumpur.
Bila saya membaca laporan MGG ini saya melihat ada rasa simpati yang cuba dinyatakan oleh si penulis. Tetapi keadaan dan suasana telah berubah. Saya bukan lagi seorang mahasiswa yang memerlukan agensi berita untuk membuat laporan tentang persatuan kami. Saya sedang memulakan ‘babak kedua’ dalam hidup saya.
Bila sampai ke kota London pada tahun 80’an, sekali lagi saya terbaca berita laporan yang ditulis oleh MGG Pillai. Kali ini tentang laporan ekonomi/politik Malaysia di Financial Times, harian kota London untuk kaum kapitalis Eropah. Saya terbaca secara tidak sengaja kerana ini bukan akhbar harian saya. Bila saya terbaca laporan ini, saya teringat kembali kepada seorang lelaki India tiga puluhan, berwajah serius dengan susuknya yang agak gempal. Lelaki ini sedang memakai fesyen a la Tun Razak – bush jacket – seluar dan baju berwarna kelabu. Fesyen inilah yang dianggap chic dan trendy pada tahun-tahun 70’an.
Bila saya pulang ke Malaysia 20 tahun kemudian, saya menetap tidak jauh dari Brickfields. Pada satu petang Ahad, sembilan tahun yang lalu, tanpa dirancang saya telah duduk minum kopi di sebuah kedai di Brickfields. Saya terserempak dengan MGG Pillai yang sedang minum petang. Saya berpindah kerusi. Inilah kali pertama saya duduk semeja dengan wartawan yang pernah membuat liputan berita tentang gerakan mahasiswa satu ketika dahulu.
Lelaki muda yang berbush jacket dan segak yang tergambar dalam ingatan saya ketika di kota London dahulu telah jauh berubah. Perutnya telah boroi. Dia tidak lagi bercelana tetapi memakai dhoti. Rambutnya telah berkurangan. Tetapi buah fikirannya masih segar. Pada petang itu kami bertukar angka talipon.
Kemudian pada pertengahan tahun 1996, saya mendapat jemputan untuk ‘satu pertemuan’ tidak resmi di Restoran Lotus di Petaling Jaya. Di pertemuan ini MGG sedang cuba melahirkan satu gerakan siber. MGG di keliling oleh enam atau tujuh orang anak muda yang sedang cuba bersimpati dengan dunia penulisan. Ramai anak-anak muda – bakal wartawan termasuk yang kini sedang aktif dalam MalaysiaKini – datang pada petang itu. Ada yang merasakan dunia media di Malaysia masih belum diteroka jauh. Menurut mereka kita hanya berjaya melahirkan Juwie dan Zainuddin Maidin.
Di petang Ahad itu, kami telah sama-sama sedar bahawa dengan terbukanya ruang siber maka dunia media dan penulisan tidak lagi akan dimonopoli oleh pemerintah/kerajaan dan daulah. Sistem internet akan melahirkan segala bentuk kemungkinan-kemungkinan baru. Hegemoni daulah terhadap media akan pecah terbarai. Pada petang itu MGG menyatakan bahawa beliau telah memulakan satu mailing-list yang diberi nama SangKancil.
Pemilihan nama ini cukup tepat. Kancil bersusuk kecil tetapi bergeliga pemikirannya. Apabila Gerakan Reformasi bermula SangKancil adalah mailing-list terawal yang mula menggodam kerajaan United Malay National Organisations dan Mahathir Muhamad. Beratus-ratus nama e-mel masuk ke dalam senarai SangKancil hingga menjadikan SangKancil mailing-list yang terbesar di Malaysia.
Saya menganggap Sang Kancil adalah gerakan pemula yang menerbitkan pelbagai bentuk berita siber di era Reformasi. Melalui SangKancil terdapat laporan mata pandangan Sabri Zain, ada laporan berita desas desus, ada berita tohmahan, berita fitnah dan pelbagai bentuk genre kerenah berita siber yang sebelum ini tidak mungkin timbul untuk dapat dibaca oleh awam.
Rasa saya MGG Pillai dan SangKancil bertanggungjawab memulakan gerakan genre gerila siber yang melahirkan Mahazalim, Mahafiraun, Reformasi Nasional dan beratus ribu laman-laman siber yang telah berjaya menggodam Mahathir Muhamad dan memesongkan keyakinan rakyat terhadap media arus perdana.
Gerila-gerila dan pahlawan siber yang dimulakan oleh MGG Pillai ini adalah satu titik sejarah yang amat penting di Malaysia dari segi bentuk genre penulisan siber. Tulisan-tulisan tanpa diedit, tanpa ditapis telah dapat meloroh masuk ke alam siber untuk bacaan awam. Pada kemuncak gerakan untuk menghumbankan Mahathir Muhamad, peranan gerila siber ini cukup penting dan cukup menjanjikan.
Mungkin ada pembaca yang akan cuba memperkecilkan dan memperlekehkan peranan mailing-list SangKancil dan laman gerila siber yang lain. Ini kerana ada banyak berita-berita dari laman-laman siber yang disadur dengan fitnah dan tohmah. Ada laporan-laporan berita yang tidak bertanggung jawab. Sebenarnya, jika kita berupaya berfikir dengan tenang maka kita akan mendapati bahawa laporan berita dari gerila-gerila siber ini tidak jauh bezanya dari laporan berita media arus perdana yang ditulis oleh wartawan yang bergaji bulan dan memiliki number KWSP.
Di era Reformasi ini tulisan MGG di SangKancil sentiasa dinanti-nantikan. Tulisan ini bukan hanya untuk gerila-gerila siber tetapi untuk rakyat Malaysia yang telah hilang kepercayaan terhadap semua bentuk media arus perdana. Pandangan dan analisa MGG akan dilihat sebagai rujukan garis politik. SangKancil dibaca dan diteliti oleh mereka yang berkuasa dan oleh mereka yang cuba mendapatkan kuasa.
MGG akan menulis tentang si anu dan si anu telah bertemu dan berbual. Atau diplomat negara itu berkata begini atau diplomat yang itu cakapnya macam ini. Semua ini dilaporkan untuk menjadi berita dalam SangKancil. Dari SangKancil, berita ini akan beranak pinak bercucu cicit dalam ruang siber tanpa gangguan lesen, surat kebenaran, permit atau watikah dari Yang Berdaulat.
Ketika Reformasi rancak bergerak saya selalu bertemu dan berbual dengan MGG Pillai. Biasanya kami keluar makan di Brickfields. Saya perhatikan lelaki India yang berdhoti ini tidak memiliki banyak pantang larang dalam hal makan minum. Pernah satu malam dia memesan dua tin minuman coca. Saya agak terperanjat kerana dengan badan yang agak berat pasti air tin dari jenis apa pun adalah tidak baik untuk kesihatan. Tetapi selera makan MGG Pillai cukup menggiurkan.
MGG akan datang dengan membawa sebuah buku nota besar yang agak tebal. Dia juga akan membawa sebatang pena. Saya perhatikan yang dia tidak pernah menulis dengan menggunakan pen dakwat kering. Nota-notanya ditulis dengan ayat-ayat yang betul – bukan tulisan pendek. Semuanya ditulis dengan rapi dan nama-nama diejanya dengan betul. Saya tidak tahu berapa ratus keping buku-buku nota seperti ini telah terkumpul di bilik kerja MGG Pillai. Pasti bertimbun. Saya anggap inilah bentuk dan sifat manusia wartawan jenis Seymour Hersh, John Pilger atau Robert Fisk. Memiliki disiplin yang teratur dari segi fakta dan penulisan.
Kami selalu bertukar-tukar ‘cerita’. Saya ingin mengetahui ‘gosip politik’ yang terbaharu. Manakala MGG Pillai pula ingin mendapat ‘cerita’ untuk diadun sebagai komentar politiknya dalam Sang Kancil. Walau pun kami bertukar-tukar ‘cerita’ tetapi saya akan menapis semua ‘cerita’ yang saya dengar dari MGG. Saya lakukan ini kerana kali ini saya telah berpengalaman membeli lebih dari 40 pasang kasut raya.
Sesekala terdapat juga ‘cerita’ yang saya dengar dari MGG Pillai ini tidak boleh dipakai. Saya tidak tahu di mana sumbernya. Saya merasakan mungkin ‘cerita’ ini sengaja ‘dihantar/dipasang’ kepada MGG untuk tujuan ‘misinformation’. Saya cukup sedar pada ketika Reformasi sedang bergerak memang ada wujud kumpulan yang bertugas khusus untuk menabur ‘berita’ dengan tujuan untuk mengalihkan kiblat gerila-gerila siber.
Apa yang mengagumkan saya ialah MGG Pillai memiliki banyak sumber berita. MGG mendapat ‘cerita/berita’ dari pelbagai sumber jaringan. Ada dari wartawan kawan lama, ahli diplomat, bekas pegawai kerajaan, ahli politik dari semua parti. Malah ada juga insan yang memasukkan berita dan laporan ke dalam peti surat MGG Pillai sendiri secara rahsia.
Apabila MalaysiaKini muncul sebagai sebuah lagi benteng kewartawanan siber, MGG telah turut sama menyumbang. Kemunculan MalaysiaKini telah memulakan satu lagi genre penulisan siber yang amat berbeza. MK adalah media bebas dari hegemoni daulah, bergerak tanpa lesen tetapi bertanggung jawab dengan berita yang dilaporkan. Pada ketika ini saya juga telah turut sama mencampuri secara aktif dunia penulisan siber.
Tetapi apabila saya ditahan pada April 2001, dunia saya siber terputus. Dua tahun kemudian apabila saya bebas kembali, alam siber telah jauh berubah. Banyak laman-laman yang saya ikuti dahulu telah menjadi arwah. Saya tidak lagi melanggan mailing list SangKancil kerana mailing list kini telah dianggap sebagai bentuk siber yang kuno. Dalam masa dua tahun saya di Kamunting, telah muncul siber berbentuk baru – blog dan friendster – yang peranannya semakin berpengaruh dan semakin mencabar dunia berita. MGG sendiri pula telah memulakan sebuah laman khusus di mana beliau sendiri telah menjadi sauh pembuat berita.
Tulisan-tulisan MGG Pillai kini bukan hanya dapat dibaca dalam dunia siber. MGG juga telah menjadi penyumbang buah fikiran ke dalam Harakah dan Berita Keadilan. Saya mengakui 100 tahun dari hari ini, jika kita melihat kembali dunia penulisan kewartawanan Malaysia di penghujung alaf yang lalu, maka nama MGG Pillai pasti akan muncul.
Kali akhir saya bertemu MGG Pillai ialah satu bulan yang lalu di satu pertemuan para wartawan dalam dan luar negara dengan Anwar Ibrahim. Saya melihat MGG telah datang dengan bertongkat – ertinya kesihatan beliau telah merosot. Lalu saya bertanya tentang kesihatan beliau. Sambil melawak saya juga bertanya apakah dia masih suka minum Coca Cola. MGG Pillai menjawab dengan positif bahawa dia tidak lagi minum Coca Cola. Itulah perbualan pendek saya dengan MGG yang terakhir.
Hari ini MGG tidak akan menulis lagi. Saya yakin ramai di antara kita yang akan merasa kehilangan satu genre bahan bacaan. Saya juga sedar apabila MGG meninggalkan dunia ini, ada juga orang yang gembira kerana sebatang pena yang tajam kini tidak lagi akan menikam. Saya sendiri merasakan bahawa dunia siber telah kehilangan seorang gerilanya. Seorang pejuang siber telah gugur. Ketika ini batu nisan MGG Pillai sedang bergemerlapan bertaburan di alam siber. Jika tidak yakin dengan apa yang saya tulis ini sila bertanya kepada pemimpin agung kepala gerila siber yang bernama Abu Google.
END
ricecooker note:
original picture of MGG PIllai from meijoon.fotopages.com