Hishamuddin Rais: Ketagih & Gian
KETAGIH DAN GIAN
oleh Hishamuddin Rais
Warga di negara ini selalu terlihat berita di kaca tv atau terbaca tentang penangkapan Mat Gian. Kita juga terbaca sesekali dimana pegawai kastam, pasukan anti narkotik dan pihak polis telah berjaya menumpaskan sindiket penyludupan dadah. Kita juga telah diberitahu bahawa lebih dari 90% penagih dadah dalam negara ini adalah lelaki yang majoritinya anak muda Melayu. Umum juga mengetahui tentang kewujudan pusat serenti. Malah ramai diantara kita telah ternampak pusat-pusat ini yang terletak berdekatan dengan kampong atau daerah kita sendiri.
Ini semua adalah tindakan/langkah pihak kerjaan dalam usaha untuk menumpaskan penyakit gian dadah. Tetapi ada lagi satu gian yang saya anggap lebih besar dan lebih bahaya dari dadah. Gian yang saya maksudkan ini ialah gian kuasa. Gian kuasa ini sedang merebak dengan meluas sekali dalam negara kita ini.
Kesedaran melihat gian kuasa sebagai bahaya besar masih belum timbul kerana pandangan mata orang ramai telah dijulingkan. Apa yang sebenarnya berlaku, mereka yang gian kuasa ini telah berjaya mengalihkan pandangan orang ramai untuk hanya bertumpu kepada gian dadah. Orang ramai dan warga telah di tarbiah dengan propaganda tentang bahaya yang akan dibawa oleh dadah. Anak-anak muda telah dijadikan musuh utama dalam kempen membasmi gian dadah. Bila anak muda dijadikan musuh maka dengan serta merta ibu bapa menjadi risau dan takut.
Mat Gian dan Mat Feed selalu menjadi mangsa dalam kempen membasmi gian dadah. Mereka dipanggil bangkai bernyawa, doktor inject, penghisap racun tikus, sampah masyarakat dan pelbagai nama yang cuba memperlekehkan mereka. Kawasan-kawasan dan pot Mat Gian biasanya di kawasan-kawasan murah lagi kotor dalam kota Kuala Lumpur. Gambaran lorong-lorong belakang ini akan ditayangkan melalui kaca tv untuk tatapan orang ramai. Jalan Chow Kit dan Lorong Haji Taib kini telah di sinonimkan sebagai ‘sarang’ Mat Gian dan Mat Feed.
Mereka sering dilihatkan mabuk terhuyung hayang berjalan ke hulu ke hilir dengan pakaian compang camping. Mereka kelihatan kotor, hapak dan busuk. Imej-imej ini cuba menakut dan mengingatkan kita agar menjauhkan diri dari mereka yang gian dadah. Hari ini anak-anak kecil bukan hanya ditakut-takutkan dengan hantu tetapi kini Mat Gian dan Mat Feed juga telah dijadikan subjek untuk menakut-nakutkan anak-anak.
Lihatlah bagaimna pelbagai rancangan telah dijalankan untuk menumpaskan gian dadah sehinggakan ada percubaan untuk meletakkan perkataan ‘najis’ sebelum menyebut perkataan dadah. Semua ini sebenarnya usaha-usaha lawak yang tidak masuk akal. Untuk mereka yang tidak berdengong kempen-kempen ini mungkin menakut dan menjijikkan. Tetapi dari segi kajian telah terbukti bahawa kempen-kempen dan rancangan/pendekatan pembasmian dadah cara ini kelihatan gagal. Jumlah anak-anak muda di pusat-pusat serenti tidak pernah berkurangan. Kemasukan dadah tidak pernah putus. Dadah dari pelbagai jenis terus dapat menerbus masuk ke pasaran negara.
Untuk saya apabila warga dan orang ramai menjadi takut dengan bahaya dadah lalu mereka terlupa tentang satu lagi gian yang lebih merbahaya – gian kuasa. Gian ini sedang membawa porak peranda yang lebih dashat dari bencana dadah. Gian kuasa ini sedang merebak dengan amat meluas sekali. Wabak gian kuasa ini telah menular hinggga ke akar umbi masyarakat Melayu di kampung-kampung. Pengedar dan tokan utama wabak ini ialah United Malay National Organisations dan sekutu-sekutunya.
Dari pengamatan saya, gian kuasa ini sedang mempengaruhi pelbagai lapisan masyarakat. Lapisan terbawah yang sedang gian kuasa ini ialah gerombolan apa yang di kenali sebagai geng Jawatan Kuasa Kampung (JKK). Para pengkaji sosial wajib memberi perhatian untuk memahami bagaimana gian kuasa ini sedang mengharu birukan penduduk kampung. Jangan terperanjat bila saya nyatakan bahawa ada geng JKK yang bercita-cita untuk menjadi tokan besar. Mereka telah berjaya membuka pasaran baru sehinggakan disetengah-setengah kariah telah terdapat ahli-ahli Jawatan Kuasa Masjid juga yang telah menjadi gian.
Bayangkan, jika orang masjid pun gian kuasa dari siapa agaknya anak-anak muda yang gian dadah hendak mendapat nasihat dan tunjuk ajar. Akan dilihat sebagai satu jenaka apabila Tok Imam yang gian kuasa cuba berkhutubah tentang bahaya gian dadah. Orang yang tidak pernah khayal pun jika menyedari hakikat ini akan ketawa kerana kedua-dua pihak sebenarnya sedang ‘berdengong’ – satu dengan heroin dan satu lagi dengan kuasa. Kepala mereka sedang ‘stone’, ‘high’ dan khayal. Mereka bukan lagi duduk dibumi yang nyata. Kuasa dan dadah heroin sedang menguruskan cara mereka berfikir.
Baru-baru ini kita terbaca tentang bagaimana ‘dua orang tua’ yang telah cuba untuk terus menjadi pemimpin persatuan anak-anak muda. Ada diantara orang-orang tua ini yang telah botak kepala tetapi masih bermati-matian ingin mempertahankan kedudukan dalam persatuan anak-anak muda. Mereka sanggup bertelagah untuk membuktikan bahawa mereka masih lagi muda. Melihat berita orang-orang tua yang hampir nyanyok ini berkelakuan sedemikian memang lawak. Tetapi kita wajib faham mereka bukan melawak. Mereka berperangai sang badut kerana mereka sedang dalam keadaan ketagih.
Warga terbaca tentang bagaimana orang-orang tua ini sanggup mengatakan bahawa dia masih belum tua kerana dia masih lagi belajar di universiti, walau pun dia telah bercucu. Ada pula orang tua yang mengakui bahawa ibunya tersalah lapor ketika membuat tarikh kelahiran. Mereka ketagih kuasa, justeru, mereka akan sanggup melakukan apa sahaja termasuk melaporkan diri untuk masuk ke tingkatan empat di Sekolah Menengah Pantai Dalam. Untuk saya semua ini cukup jelas, ini adalah tanda-tanda ‘withdrawal symptom’ ketika diserang ketagihan kuasa. Mereka wajib mendapat suntikan kuasa barulah mereka merasa diri mereka wujud sebagai seorang insan. Tanpa kuasa mereka lebih lentok dan lok lak dari Mat Gian dan Mat Ganja.
Apakah kita terlupa tentang seorang pemimpin parti United Malay National Organisations yang telah didapati mengamalkan rasuah a.k.a politik wang. Si Mamat ini telah terbukti terang-terang kesnya dalam pembelian kertas undi. Tetapi lihat apa yang dilakukan oleh si Mamat ini. Dia bukan main liat untuk melepaskan jawatan. Orang ramai mengharapkan dia akan meletakkan jawatan. Suara-suara kedengan disana sini menuntut agar dia meletakkan jawatan. Tetapi manusia yang gian kuasa tidak akan melakukan sedemikian. Si Mamat ini berdulak dalik ke hulu ke hilir kerana ingin terus mempertahankan kedudukan. Dia menyembah dan merayu, ini adalah satu lagi tanda bahawa si mamat ini ketagih kuasa.
Wabak ketagih kuasa ini telah menjangkiti banyak badan dan pertubuhan. Ketagih kuasa yang disebarkan oleh United Malay National Organisations ini telah menjangkiti gerombolan parti sekutunya. Baru-baru ini kita lihat bagaimana seorang pemimpin sebuah organisasi parti sekutu United Malay National Organistions telah bermati-matian cuba mempertahan kerusi yang didudukinya. Jika dia botak maka dia akan memakai tupee – rambut palsu – untuk membuktikan bahawa dia masih boleh duduk di kerusi yang sama. Jika dia telah menjalani operasi jantung, dia akan menunjukkan kepada orang ramai bahawa dia masih boleh memanjat pokok kelapa. Jika dia diserang angin ahmar dan menjadi tepok, dia akan berkata dia sehat walafiat walau pun apabila bercakap air liurnya menjejeh-jejeh. Ini adalah symptom ketagih kuasa.
Untuk saya jika diberi pilihan antara ganja dengan kuasa saya akan memilih ganja. Menghisap ganja adalah lebih sehat dari ketagih kuasa. Menghisap ganja dan heroin hari ini telah terbukti ada memiliki unsur-unsur perubatan. Ganja tidak mengharu birukan orang ramai. Ganja tidak memporak perandakan undang-undang kehakiman negara. Orang yang khayal ganja tidak memasukkan warga ke dalam penjara tanpa pembicaraan. Ganja tidak akan membuat kita memadamkan lampu dewan untuk mengalih jumlah undi.
Pada ketika ini, sayangnya, masih belum ramai warga yang dapat menilai betapa bahayanya ketagih kuasa berbanding dengan ketagih dadah. Memang betul orang-orang yang ketagih kuasa dilihat bertali leher, berkot dan menaiki kereta yang mewah. Mat Gian Kuasa ini selalunya duduk di kawasan-kawasan yang lumayan dan sempurna. Mereka pula cukup bijak dalam menyurukan tabiat ketagihanan mereka.
Justeru, saya hanya ingin memberi peringatan jika ternampak Mat Gian atau Mat Feed terhuyung hayang jangan risau kerana mereka ini tidak merbahaya. Mereka sedang berdengong, jika ditolak dengan satu jari pun mereka akan terjatuh. Tetapi, waspada terhadap mereka yang ketagih kuasa – mereka sentiasa berpakain kemas, teratur dan membawa dompet yang penuh dengan kad kredit. Tidak mungkin mereka akan jatuh dengan sekali tolak. Disepak dan diterajang pun belum tentu mereka akan jatuh.
Ketagihan kuasa inilah yang sentiasa menggangu dan menyusahkan perjalanan hidup kita. Pergi tersepak pulang terlanggar. Petang menjadi nyamuk. Senja menjadi agas. Malam menjadi pijat. Ke bukit menjadi pacat. Ke air menjadi lintah. Di warong menjadi lipas. Dalam komputer menjadi virus. Mereka sentiasa menunjukan muka seperti tahi terapung yang tidak dapat ditelan air.
Contoh withdrawl symptom seorang Mamat Gian Kuasa kini sedang berlaku dihadapan mata kita. Saya tidak perlu berselindung di belakang tembok untuk menyatakan nama Mamat ini. Dia ialah Mahathir Muhamad a.k.a Mahazalim a.k.a Mahafiraun a.k.a Ayah Mukris a.k.a Ayah Mirzan dan bukan Ayah Pin.
END.
Bak Kata Bob Marley “So Much Trouble In The World”
Talking Blues gian Bob Marley.