Hishamuddin Rais: Dacing & Timbang
DACING DAN TIMBANG
oleh Hishamuddin Rais
Ketika ini saya sedang merasa takut. Ini kerana saya sedang memerhatikan keruntuhan nilai-nilai yang memisahkan nilai salah dengan nilai betul. Garis pemisah di antara yang baik dengan yang salah semakin menjadi kabur. Hari demi hari saya perhatikan keruntuhan ini semakin jelas. Saya hanya berani berkata tentang manusia Melayu sahaja. Ini kerana saya tidak mengetahui apakah perkara yang sama juga sedang melanda budaya nilai warga bangsa lain dalam negara kita ini.
Pada anggapan saya apa yang saya perhatikan ini hanyalah manifestasi-manifestasi dari keseluruhan tamadun yang sedang kita sama-sama dirikan. Penghakisan nilai-nilai ini kalau sekali pandang kelihatan tidak membawa apa-apa masalah. Malah jika kita pandang sambil lewa mungkin manifestasi ini tidak akan dapat dilihat.
Saya adalah pengguna setia pasar Chow Kit. Ini kerana pasar Chow Kit adalah satu-satunya pasar dalam kota Kuala Lumpur yang bermula pada awal malam dan dibuka hingga ke awal pagi. Ini bermakna saya boleh datang ke sini untuk membeli barang keperluan rumah tanpa diganggu oleh kesesakan lalu lintas. Juga saya boleh membeli belah di waktu malam dalam cuaca yang lebih selesa.
Di pasar ini ada satu perkara yang saya perhatikan di mana manifestasi bentuk nilai betul dan nilai salah semakin merudum. Ini bersangkutan dengan dacing timbangan barang. Saya perhatikan rata-rata di pasar sayur, pasar ikan atau di pasar buah ada kelihatan dacing. Tetapi yang amat pelik lagi menghairankan kesemua dacing timbangan di pasar ini diletakan mengereng. Dacing-dacing ini tidak diletakkan untuk berhadapan dengan mata para pembeli.
Saya sebagai pembeli merasa amat payah untuk melihat timbangan ikan atau sayur yang saya beli. Mata dacing ini hanya jelas untuk dilihat oleh si penjual. Tetapi bukankah dacing ini bertujuan untuk membuktikan timbangan kepada si pembeli. Dalam masa yang sama dacing moden hari ini memiliki dua mata. Satu untuk dilihat pembeli dan satu lagi untuk si penjual. Kalau pun dacing ini hanya memiliki satu mata seharusnya si pembelilah yang wajib diberi keutamaan untuk melihat berat barang yang ingin dibelinya.
Saya masih ingat pada tahun 70an dahulu pihak kerajaan telah menyediakan satu dacing khusus di pinggir pasar Chow Kit. Dacing ini disediakan kerana para pembeli merasa was was terhadap timbangan barang-barang yang telah dibeli. Ini terjadi kerana banyak pembeli merasa diri mereka telah tertipu. Kerana sungutan orang ramai maka kerajaan telah mengambil jalan pintas untuk menyelesaikan masalah ini. Untuk saya ini hanya penyelesaian berjangka pendek.
Saya pernah tinggal bertahun-tahun di negara kafir seperti di Belgium dan di England. Saya perhatikan perkara seperti dacing dan timbangan ini tidak pernah timbul. Para penjual di negara kafir ini mungkin ada beragama dan ramai pula yang tidak beragama tetapi dalam hal jual beli ini nilai mereka cukup telus. Mereka melakukan hal jual beli dengan telus bukan kerana takut dibakar api neraka atau takut tidak masuk ke syurga. Mereka menjadi telus kerana telus itu adalah nilai yang baik.
Saya pernah juga melawat Eropah Timur. Saya melawat daerah ini sesudah runtuhnya blok USSR. Di kota Praque Republik Czech, saya perhatikan apabila saya ingin memesan makanan dalam restoran – ikan, roti atau daging – yang saya pesan akan ditimbang lebih dahulu. Berapa berat makanan yang saya minta semuanya akan ditimbang di hadapan mata saya sebelum dibakar, dimasak atau di goreng. Saya yang ketika itu datang dari kota London pun merasa kagum di atas kejujuran cara berniaga negara-negara ini. Bayangkan negara-negara ini semuanya bekas negara sosialis yang sering ditohmah sebagi negara ateis yang tidak percaya kepada tuhan. Walau pun negara ini negara ateis tetapi hubungan antara si penjual dengan si pembeli cukup telus.
Mungkin ada warga yang berpendapat apa yang sedang berlaku ini adalah satu perkara yang amat kecil lagi remeh. Ini mungkin betul. Tetapi untuk saya apa yang sedang berlaku ini memerlukan penganalisisan yang mendalam. Pada hemat saya ini adalah satu manifestasi kemerosotan garis pemisah di antara nilai betul dengan nilai salah.
Satu lagi perkara yang saya amati sedang berlaku di pasar Chow Kit ialah kegagalan tuan empunya kedai untuk meletakkan tanda harga barang. Di pasar ikan , sayur dan pasar ayam, hampir kesemua pasar ini tidak meletakan tanda harga barang. Saya merasa hairan kenapa ini berlaku. Apakah si penjual ini seorang yang buta huruf sehinggakan tidak tahu hendak menuliskan tanda harga di barang jualannya. Anggapan saya ini pasti salah kerana hampir semua pekedai ini tahu pula mengira duit dengan betul lagi rakus.
Pernah satu ketika saya telah melawat kota Kabul. Dalam kota ini saya telah dihampiri oleh seorang anak muda yang ingin menjual pisau lipat sebagai simbol kota Kabul. Anak muda ini telah meminta 50,000 Afghani sebagai harga pisau ini. Saya memang tidak berminat dan terus mendiamkan diri. Dengan serta merta harga pisau ini turun menjadi 25,000. Saya terus mendiamkan diri. Anak muda ini terus menurunkan lagi harga pisau ini turun ke 8,000. Akhirnya anak muda ini menawarkan 12 Afghani untuk sebilah pisau. Saya ketawa terbahak-bahak. Kenapa tidak. Bayangkan dari 50,000 Afghani ianya turun ke 12 Afghani.
Saya hairan pekara-pekara yang tidak telus ini semuanya berlaku di negara-negara yang warganya dikatakan kuat pegangan agama. Dan rakyat negara ini semuanya percayakan kepada azab sesudah mati. Ini amat jauh berbanding dengan cara jual beli pasar-pasar di negara-negara kafir dan ateis yang pernah saya lawati. Ketelusan warganya cukup meyakinkan diri saya.
Apa yang saya ceritakan di sini sebenarnya adalah tanda-tanda kesakitan yang sedang melanda nilai budaya kita. Memang betul apa yang saya nyatakan ini agak kecil dan tidak penting. Tetapi jika dihalusi akan kita didapati bahawa pekara-pekara kecilan muncul dari satu nilai budaya yang lebih besar dan luas.
Nilai baik dengan nilai salah yang semakin kabur dalam urusan kecil-kecilan ini adalah juga satu manifestasi kekaburan nilai dalam budaya sosio politik kita yang lebih besar. Pekara-pekara seperti tanda harga, tipu timbang ini hanya tempelan-tempelan. Untuk saya pekara-pekara remeh ini adalah juga tanda-tanda kesakitan nilai yang sedang melanda budaya kita, terutama orang Melayu.
Masyarakat Melayu ketika ini sedang menghadapi krisis nilai yang amat parah. Manusia Melayu ketika ini seolah-olah telah dibawa ke satu tahap di mana mereka tidak lagi dapat mengenal nilai salah benar. Krisis nilai yang sedang melanda manusia Melayu ini amat menakutkan. Ini kerana dalam negara berbilang bangsa ini, Melayu adalah bangsa yang dominan. Jika masyarakat yang dominan ini telah rosak nilainya maka ianya akan membawa padah buruk untuk kesemua budaya bangsa dalam negara kita ini.
Dacing yang diletakkan mengereng serong yang saya temui di pasar Chow Kit itu hanyalah satu metafora. Kini manusia Melayu semakin mengereng serong dalam nilai-nilai budaya kehidupan harian mereka. Nilai-nilai salah benar kelihatan semakin jauh mengundur. Keserongan nilai ini lahir dari satu sistem dan struktur budaya. Struktur budaya ini sedang memberi pengiktirafan dan penghormatan terhadap pekara-pekara yang salah. Nilai kita telah menjadi simpang siur dan kacau bilau. Saya rasa barah kemerosotan nilai ini sedang merebak luas. Barah ini tidak mungkin dapat dipotong dengan pisau walau pun pisau ini dibuat oleh besi Khursani yang datang dari Kabul.
END