Hishamuddin Rais: Borang dan Isinya
BORANG DAN ISINYA
oleh Hishamuddin Rais
Saya adalah manusia yang paling segan untuk mengisi borang. Atau lebih tepat lagi saya malas mengisi borang. Saya tidak tahu dari mana perangai malas mengisi borang ini muncul. Seingat saya dari zaman bersekolah rendah lagi saya cukup tidak suka mengisi borang. Saya tidak tahu apakah ada lagi orang-orang lain dalam dunia ini yang semalas saya dalam hal mengisi borang.
Kerana perangai malas hendak mengisi borang ini maka saya tidak pernah cuba memasuki apa-apa jenis pertandingan. Saya tidak pernah memohon apa-apa projek. Tidak pernah ingin melamar kerja. Kerana selalunya dalam pertandingan, minta projek atau melamar kerja kita diwajibkan mengisi borang yang berjela-jela. Apa tujuan mengumpul data ini tidak pula saya ketahui. Nama, tarikh lahir, tempat kelahiran, nama ibu, nama ayah, tinggi, jentina, warna rambut dan pelbagai macam maklumat yang dikhendaki diisi ke dalam borang.
Kali terakhir saya mengisi borang dengan agak serious ialah semasa saya mendaftar diri untuk masuk ke Universiti Malaya. Macam-macam yang dikhendaki – bukan sahaja keputusan Higher School Certificate, tarikh saya bersunat pun dikhendaki sama. Semenjak dari itu saya berjanji saya tidak akan ambil ‘pot’ lagi dalam hal ehwal mengisi borang ini.
Semasa saya tinggal di Belgium dan berulang alik ke London saya cukup bosan mengisi borang kad – Embarkation dan Disembarkation – semasa melintasi pelabuhan Dover atau Ostend. Nama, jentina, alamat, tarikah lahir daan warga negara – semua perlu diisi ke dalam borang visa. Satu ketika kerana terlalu bosan mengisi borang yang telah berpuluh-puluh kali diisi, lalu saya menulis – Not enough of it – diruang SEX dalam borang visa ini. Pegawai imigrisen British di Dover tidak melihat ini sebagai lawak. Tetapi in berlaku ditahun 80’an bukan di era Osama. Kalau sekarang saya lakukan mungkin saya akan ditendang keluar atau ditahan sebagai penjenayah sex. Pegawai imigrisen itu dengan serious menyuruh saya mengisi satu lagi borang yang baru.
Mari kita fikirkan – apakah betul-betul ada gunanya borang-borang yang telah diisi ini. Rasa saya ini kerja yang sia-sia. Jika orang Indon ingin masuk ke Malaysia secara haram pasti ada cara lain. Tidak ada borang yang akan dapat menahan kesampian mereka. Atau jika seorang Amoi dari Xian Cina yang telah dijual sebagai pelacur di Bukit Bintang, tidak mungkin Minah ini akan dapat diselamatkan melalui borang yang telah diisinya di KLIA.
Tiga tahun dahulu Japan Foundation telah menjemput saya untuk melamar satu menjadi felo di sebuah universiti di Tokyo. Sebenarnya saya tertarik juga untuk bertandang ke Tokyo tetapi apabila saya melihat borang yang wajib diisi hati saya menjadi tawar. Selain dari tarikh lahir dan jantina, saya juga perlu membutirkan tulisan-tulisan, diploma dan ijazah yang saya miliki. Tahun berapa, universiti mana dan pangkat berapa. Kerana malas mengisi borang lalu saya tuliskan – sila google Hishamuddin Rais – semuanya data tersimpan lengkap. Japan Foundation ini pun tidak ada sense of humour – old school. Hasilnya, saya tidak mendapat biasiswa tersebut.
Kerana pengalaman ini saya terfikir untuk membuat satu CD tentang biodata saya. Apabila diminta mengisi borang maka saya akan serahkan CD ini tanpa perlu mengisi borang. Rasa saya cara ini lebih selamat dan tidak membuang masa.
Ketika saya ditahan di Kamunting dahulu adalah zaman yang paling banyak saya mengisi borang. Borang pertama di Balai Polis Sentul, borang kedua di tempat tahanan sulit – kemudian saya terus menerus mengisi borang tidak berhenti-henti. Pindah ke bilik yang lain saya wajib mengisi borang baru. Pindah ke penjara yang baru satu lagi borang wajib diisi. Banyangkan berapa banyak pokok yang telah tumbang untuk dijadikan kertas agar saya dapat mengisi borang.
Apa jadinya dengan semua borang-borang yang telah diisi ini ? Berapa tahun agaknya borang ini akan disimpan. Saya akui jika borang ini di United Kingdom atau di Australia mungkin ianya akan tersimpan lama. Ini terbukti kerana keputusan peperiksaan Tony Blair semasa dia dalam darjah lima pun masih ada dalam simpanan sekolah lamanya. Ini budaya barat yang bersalut dengan sejarah. Tetapi di Malaysia – negara yang tidak memiliki nilai sejarah – rasa saya dalam dua tiga bulan borang- borang ini akan hilang lesap.
Tidak percaya? Buktinya – saya telah mendengar banyak cerita tentang borang hilang. Borang ini hilang bukan kerana telah lama disimpan. Borang yang baru dihantar pun bolih lesap entah ke mana. Tanyalah sahabat handai dan kenalan kita, pasti mereka akan becerita tentang kes-kes borang hilang setelah dihantar ke pejabat. Bila saya mendengar kesah borang hilang saya merasa cukup kasihan kepada si Mamat yang terpaksa bersusah payah mengulang mengisi borang sekali lagi.
Kadang-kadang borang ini perlu dilengkapkan dengan satu gambar kecil. Nah bayangkan siapa agaknya yang akan melihat gambar ini. Mengisi borang dengan gambar ini sering dijadikan syarat apabila melamar kerja. Borang melamar kerja ini untuk saya lebih teruk dari mengisi borang di Abu Gharib. Keputusan dari darjah satu, SPR, LCE, SPM, hingga ke tahun akhir di universiti semuanya perlu ditulis kembali. Kemudian isikan pula sukan apa yang dicampuri, persatuan apa, hobi apa dan seribu satu soalan yang wajib diisi. Hanya data tentang warna seluar dalam sahaja yang tidak diminta.
Mari kita menjadi manusia jujur – berapa ramaikah si Mamat yang mendapat kerja kerana cekap mengisi borang. Bukankah calun-calun ini akan juga dipanggil untuk ditemubual jadi apa perlunya gambar dan fakta-fakta remeh ini. Kenapa kita – orang dewasa – suka menyeksa anak-anak muda ini walhal kita sendiri tahu peluang mendapat perkerjaan lebih cerah bukan bukan melalui mengisi borang tetapi hasil dari temubual. Ramai juga mendapat peluang kerja bukan kerana borang tetapi kerana jaringan-jaringan pribadi.
Minggu lepas saya diwajibkan mengisi borang. Saya tidak banyak pilihan kerana saya diwajibkan membuka akaun di bank. Saya belum memiliki akaun bank kerana – pertama saya malas hendak mengisi borang. Kedua – saya tidak memerlukan bank akaun kerana saya tidak memiliki duit untuk disimpan. Lainlah kesnya jika saya telah mendapat permit AP, pasti saya akan bergegas ke bank untuk mengisi semua borang yang perlu diisi. Bank akaun ini dibuka bukan kerana saya memiliki duit tetapi untuk membuktikan bahawa saya adalah rakyat Malaysia kerana memiliki bank akaun. Ini salah satu tanda yang saya “patriotik” terutama dalam bulan Ogos ini.
Sebenarnya, saya merasa terseksa semasa mengisi borang bank ini. Saya perlu mengisi pelbagai butir diri termasuk agama saya. Saya hairan apa perlunya diketahui agama pelanggan dengan akaun bank ini. Apakah jika telah diketahui jenis agama saya maka bererti duit yang saya masukkan ke bank ini semuanya duit halal dan bukan duit rasuah? Apa akan terjadi jika saya mengatakan bahawa saya pengikut Ayah Pin atau belum memiliki agama? Semua ini adalah soal-soalan cepu emas yang masih belum terjawab.
Memang banyak betul ruang yang perlu saya isi. Nasib saya agak baik kerana saya telah dibantu olih seorang pegawai bank yang baik hati setelah melihat saya terkia-kial dengan pen. Kalau tidak mungkin saya perlu terpaksa bermalam di bank ini kerana tidak kecukupan masa untuk mengisi sebuah borang.
Tempat akhir yang wajib saya isi ialah ruang – Apa Nama Yang Ingin Dipanggil. Di ruang ini ada tertera – Tuan, Inche, Puan, Datuk, Datin, Tan Sri, Datuk Seri, Datuk Paduka , Tun dan seribu satu jenis pangkat yang wujud di Malaysia. Bila terlihat ruang ini, dengan cepat saya tersenyum dan berfikir inilah peluang saya untuk menjadi Datuk Seri. Lalu saya menandakan Datuk Seri untuk tambahan panggilan nama saya. Apabila bank ini menghantar surat kepada saya nanti maka bank ini akan menulis Datuk Seri dipermulaan nama saya.
Ha ha ha , baru sekarang saya sedar bahawa di Malaysia ini bukan sahaja Sultan dan Agung yang memberikan darjah kebesaran – bank pun bolih memberikan kita title Datuk atau Datuk Seri. Sekarang semuanya jelas kenapa di negara kita ini terlalu ramai Datuk, Datin, Tan Seri dan Tun. Ini kerana ramai pelanggan bank ini yang telah diberi derajah kebesaran. Saya juga merasa bagitu bangga kerana saya kini bertaraf Datuk Seri. Inilah kali pertama saya merasa berbaloi mengisi borang. Saya telah menjadi Datuk Seri sekarang dan saya masih lagi menunggu surat pertama dari bank ini.
END
hahah…really fun and put a pretty big smile reading Isham’s writting……..one thing is most of the borang will definitely being sold to third or forth parties whom may capitalised in all those infos that we have written in our borang…itu pasallah kekadang we’ll getting those silly phonecalls or those marketing newsletters!!!some bastards have been depriving the privacy of us!!….so next time kalau isi borang yang tak berkenaan just ask those people to koyakkan borang that u have wrote!!
ahahha….saye banyak kali isi borang tahun ni.isi borang memang neyusahkan apatah lagi bila ditanya soalan2 killer terutama bab pengalaman bekerja.jika ruang itu dikosongkan maka dgn slamber mereka berkata “maaf cik kami perlu org berpengalaman” dan bile fakta diisi di ruang itu maka bertubi2 soalan dikemukakan…bangsat!
bersetuju!! ini lah sebabnya negara kita selalu ketinggalan…kerana kebanyakan masa yang ada dihabiskan untuk mengisi borang…
bukan tidak setuju tetapi sekadar memberi pandangan. jika semua orang memberi cd untuk apply something, banyaklah kerja jadinya. kita perlukan ‘sistematik’ atau ‘terancang’ dan jika sekadar untuk merekod data penting peribadi rasanya bukanlah sesuatu masalah besar. harap semua yang membaca telah menukar IC baru…