Hishamuddin Rais: Bebal Minyak
BEBAL MINYAK
oleh Hishammudin Rais
Just before war broke out in 1914, British and German companies had negotiated joint participation in the newly-founded Turkish Petroleum Company that held prospecting rights in Mesopotamia. The war ended the Anglo-German oil partnership and it exposed the territories of the German-allied Ottoman Empire to direct British attack.
As war continued, oil seemed ever more important and shortages ever more menacing to the imperial planners. Sir Maurice Hankey, powerful Secretary of the British War Cabinet, wrote to Foreign Secretary Arthur Balfour during the war’s final stage, to argue that oil had become absolutely vital to Britain and that oil resources in Mesopotamia would be crucial in the future. “Control of these oil supplies becomes a first-class war aim”, Hankey said enthusiastically, as British troops closed in on Baghdad.
‚Äì Dipetik dari buku Hadiah Pulitzer tulisan Daniel Yergin – The Prize: The Epic Quest for Oil, Money and Power (New York 1991).
Setelah taufan Katrina berlalu kini warga dunia telah diberi tahu satu lagi taufan bernama Rita akan melanggar kawasan persisiran Laut Teduh di Amerika Syarikat. Kedatangan taufan Katrina telah memusnahkan bukan sahaja kota New Orleans tetapi beberapa buah pelantar minyak di Telok Mexico. Katrina telah melonjakkan harga bahan bakar minyak mentah dunia hingga mencecah 71 dollar satu tong.
Taufan Rita yang sedang bergolak di Telok Mexico sedang bergumpal dan bertiup menuju ke Texas. Kemungkinan Rita melanggar musnah 18 buah loji penapis minyak di Texas adalah satu pekara yang paling mencemaskan bukan hanya rakyat Amerika tetapi ekonomi dunia. 18 buah loji ini mengeluarkan 4 juta tong minyak sehari atau suku dari pada jumlah minyak mentah yang telah ditapis di Amerika Syarikat.
Semasa saya menyediakan tulisan ini harga minyak mentah telah mula mencecah 67.80 dollar satu tong. Kemungkinan harga ini akan naik lagi tidak dapat dipertikaikan. Persoalannya yang wajib kita sama-sama renungkan ialah hingga ke tahap mana bahan bakar petrol ini akan naik.
Saya merasakan di negara kita ini kesedaran tentang minyak dan arus politik ekonomi minyak amat minima. Saya masih belum melihat berlakunya perbincangkan akademik atau wacana ilmiah dari para pemikir tamadun (jika mereka wujud) tentang peranan minyak dan budaya konsumer yang kita alami hari ini. Parti-parti politik dari yang berkuasa hingga ke parti yang bermimpi-mimpi hendak berkuasa masih gagal memahami implikasi politik minyak. Badan-bandan Ngo kelihatan tidak bermaya untuk memahami apa itu politik minyak. Saya tidak mengaharapkan universiti kerana universiti-universiti di negara ini telah lama mandul ilmu. Akhirnya apa yang wujud hanyalah budaya bebal minyak.
Malah masih ramai yang berpendapat bahawa harga minyak melonjak naik kerana wujudnya spekualsi dari syarikat-syarikat gergasi minyak yang memasung pengeluaran dan pengedaran minyak. Mengikut hujah pandangan garis ini para spekulasi ini sedang bersekongkol dengan media untuk menakut-nakutkan pengguna agar harga minyak terus dapat dinaikkan.
Saya tidak menafikan bahawa dalam suasana kelam kabut dan tidak menentu ini, keuntungan maksima memang sedang diraih dan meloroh masuk ke dalam kantung syarikat-syarikat gergasi minyak. Exxon, Chevron, Mobil, British Petrolium, Shell, Gulf dan Texaco adalah gergasi-gergasi yang juga dikenali sebagai Seven Sisters. Syarikat-syarikat inilah yang memiliki dan menguasai cari gali dan pemasaran minyak dalam dunia ini. Pertamina dan Petronas hanyalah sebesar tahi lalat Azean Irdawaty berbanding dengan Seven Sisters.
Biar saya ulang sebut beberapa fakta sejarah agar kita dapat sama-sama dapat merasakan taufan yang telah dibawa olih bahan bakar minyak ini. Perang dunia pertama berlatar belakangkan bahan bakar minyak. Perang dunia ke dua juga adalah perebutan minyak diantara kuasa imperial British yang telah menawan, menaklok dan memiliki telaga-telaga minyak di Timur Tengah dengan kuasa tentera German yang tidak memiliki minyak. Serangan dan penaklokan tentera German ke atas Mesir ( jauh dari pentas perang Eropah (bertujuan untuk menguasai telaga-telaga minyak di Timur Tengah. Tentera Mussolini yang menakloki Libya juga bertujuan untuk menjarah telaga minyak yang telah dimiliki olih kuasa imperial British.
Pentabiran Muhammad Mussadegh (1951-53) di Iran telah disingkirkan olih kuasa Anglo-Amerika kerana Perdana Menteri Iran ini telah memilik negarakan telaga-telaga minyak negaranya. Penggantinya ialah Ahmad Reza Pahlevi yang telah dinobatkan olih kuasa Anglo-Amerika untuk memastikan Seven Sisters dapat sekali lagi beroperasi tanpa halangan di Iran.
Malah jika rajin mengkaji sejarah negara kita sendiri maka kita akan bertemu bagaimana pada tahun 1962 rancangan Brunai untuk menjadi kerabat Malaysia telah dihalang olih kepentingan Shell. Tiba-tiba pada tahun 1967 Sultan Omar Ali Saifuddin diberitakan “tidak sehat” dan digantikan dengan Sultan Hassannul Bolkiah yang ketika itu masih lagi muda. Tidak dapat tidak sandiwara ini adalah sandiwara Shell.
Perang Iran dan Iraq bermula apabila kepentingan syarikat minyak Seven Sisters tergugat olih pentabiran Ayatollah Khomenei. Perang ini berlanjutan dan berjangkit ke Kuwait wilayah yang dianggap olih warga Iraq sebagai sebahagian dari tanah air mereka.
Dua tahun dahulu kuasa imperial Anglo-Amerika dengan segala kekuatan bala tenteranya telah menyerang dan menklok Iraq. Hari ini warga dunia dari ceruk mana pun telah mengetahui bahawa tujuan serangan ini ialah untuk menguasi dan memiliki telaga-teaga minyak Iraq yang telah dimilik negarakan olih kerajaan Parti Sosialis Baath di Iraq semenjak tahun 1974. Perang di Iraq yang sedang dipentaskan hari ini adalah bukti seperti siang lagi bersuluh tentang peranan bahan bakar minyak petrol.
Saya telah menulis dan cuba menerangkan kepada umum terutama kepada ramai penganut-penganut mazhab bebal minyak bahawa bahan bakar minyak petrol ini telah semakin susut. Saya dapati kebebalan yang maha sangat ini sedang melanda budaya fikir warga negara ini. Sadikit sebanyak saya dapat memahami kenapa bagitu liat sekali kesedaran ini meresap. Dan bagitu susah sikap bebal minyak ini pecah. Dari sudut ilmu falsafah pekara yang amat susah untuk diterima ialah kebenaran terutama apabila kebenaran itu akan mengancam pandangan dunia yang sedang dipegang.
Untuk ini sekali lagi saya akan cuba menerangkan apa yang dipanggil teori Peak Oil atau yang telah saya sunatkan untuk menjadi teori Puncak Minyak. Teori ini dikeluarkan olih M King Hubbert seorang pakar kajibumi (geophysicist) Amerika. Dia telah menulis dan menyampaikan teorinya kepada American Petroleum Institute pada tahun 1956. Mengikut teori ini, Hubbert telah meramalkan pengeluaran minyak di Amerika Syarikat akan sampai ke puncak diantara tahun 1965 – 1970. Apabila pengeluaran minyak ini telah sampai ke puncak maka ianya akan menurun dan akhirnya minyak ini akan habis.
Hubbert memunculkan teori ini berdasarkan pengamatan data-data tahap kesusutan sesebuah telaga minyak. Dia menolak pandangan pakar kajibumi yang menganggap bahawa telaga minyak adalah satu tasik minyak dibawah tanah yang hanya perlu ditemui dan disedut minyaknya keluar. Seperti menyedut air soya dalam kotak. Menurut Hubbert telaga minyak ialah batu batan yang mengandungi minyak yang wajib mendapat tekanan. Kawasan disekeliling batu batan minyak ini wajib mendapat tekanan yang teratur rapi terutama di sekitar telaga. Tanpa tekanan ini tidak mungkin minyak akan dapat ditimba keluar.
Kuasa tekanan untuk mengelurakan minyak ini akan dilakukan dengan memancutkan air, gas atau apa sahaja. Telaga minyak akan dianggap susut apabila tenaga untuk mewujudkan tekanan ini sama sahaja kosnya dengan jumlah minyak yang dikeluarkan dari telaga ini. Mengeluarkan minyak dari telaga seperti ini akan dianggap tidak berbaloi walau pun masih banyak lagi minyak yang belum dikeluarkan dari telaga ini. Bila ini terjadi maka telaga ini telah melintasi Puncak Minyak.
Ketika Hubbert mengajukan teorinya pada tahun 1956 itu, dia telah dianggap sasau dan tidak waras dari segi ilmiah dan akademik. Hari ini terbukti teori Puncak Minyak yang diajukan olih Hubbert tepat ke sasarannya. Amerika Syarikat telah sampai ke puncak pada tahun 1971 seperti yang telah diramalkan olih Hubbert. Puncak minyak telah melintasi Russia pada tahun 1987, Brunai 1979, Libya 1970, Iran 1974 dan Indonesia pada tahun 1997. Puncak penemuan minyak dalam dunia ini ialah pada tahun 1964. Berdasarkan teori ini dan dengan data-data terbaru, pengeluaran minyak sedunia akan sampai ke puncak tidak lama lagi. Pengkaji yang optimis pula telah berani memberikan tarikh 2020 sebagai puncak minyak sedunia. Tetapi ada pula pengakaji yang lebih pisimis yang mengatakan bahawa dunia telah melintasi puncak minyak.
Memang betul apa yang diajukan olih Hubbert hanyalah satu teori. Dan sebagai satu teori ianya bolih disanggah dan diperlekehkan. Tetapi hakikatnya pada hari ini semakin jelas kelihatan bahawa pengeluaran minyak dalam dunia ini tidak berupaya untuk menampung permintaan. Permintaan yang meninggi dan pengeluaran yang mengecut telah melonjakkan harga komoditi ini. Ini memperkuatkan lagi teori Hubbert ini.
Teori Puncak Minyak ini telah mendapat sokongan dari Matt Simmons, Pengerusi Simmons and Company International, sebuah bank perlaburan cari gali minyak. Matt Simmons juga adalah seorang penasihat kepada – 2001 Energy Task Force (dibawah jabatan Naib Presiden Dick Cheney. Matt Simmons ini orang minyak bukan orang biasa ertinya dia mengetahui semua selok belok dan hal-hal bersangkutan dengan bahan bakar minyak petrol. Matt Simmons berpendapat bahawa keadaan pasaran minyak semakin kelam kabut kerana 90% dari pengeluaran minyak dari Saudi Arabia hanya datang dari 5 buah telaga yang telah beroperasi lebih dari 50 tahun. Saudia Arabia adalah pengeluar minyak terbesar di dunia. Selama dua dekad ini tidak wujud data-data terperinci tentang pengeluaran dan cari gali minyak dari Saudi Arabia. Semuanya dirashiakan olih kerajaan Saud. Ini meremangkan bulu tengkok sesiapa sahaja yang menjalankan kajian ilmiah tentang minyak petrol.
Kita harus sama-sama menerima hakikat bahawa tamadun yang sedang kita alami ini ialah tamadun minyak. Panggillah ianya apa sahaja – tamadun moden, pasca moden, late capitalism, pasca Marxism atau pra tamadun Islamic – hakikatnya kita sedang bergelumang dalam tamadun konsumer yang dijana olih minyak petrol yang senang didapati dan murah.
Semua yang wujud disekeliling kita hari ini ada bersangkutan dengan bahan bakar minyak petrol. Kita diterangi, dipanasi dan diangut ke hulu ke hilir olih minyak. Kita makan dan kita minum minyak petrol. Makanan yang dihidangkan dimeja makan kita adalah minyak. Tepong, beras, sayuran, daging atau ayam yang dimpot memerlukan pengangkutan. Pengangkutan bermakna minyak. Gandum yang menghasilkan tepung memerlukan baja. Baja ertinya minyak petrol. Ikan yang dicari dilautan wajib ditangkap dengan kapal nelayan. Kapal nelayan bermakan bahan bakar minyak. Ayam yang kita bawa masuk dari Siam wajib dibawa dengan lori. Lori ini memerlukan minyak petrol. Kain baju yang kita pakai pun dari minyak. Hakikatnya dalam tamadun konsumer hari ini adalah tamadun minyak petrol.
Kerana bahan bakar ini bagitu penting maka saya meminta kita memberi perhatian serapi mungkin terhadap gerak politik minyak yang sedang berlaku disekeliling kita. Ini bertujuan agar kita tidak terus menjadi bebal minyak dan tiba-tiba melopong ternganga apabila Kancil kita tidak berupaya lagi bergerak.
Perhatikan dengan rapi ( hari ini tentera laut negara China telah berubah menjadi apa yang dipanggil Blue Navy. Peralihan ini bermakna tentera laut China bukan lagi hanya berligar di kawasan perairan persisiran China tetapi memiliki keupayaan untuk berlayar jauh. Ini dilakukan untuk mengawal dan menjaga keselamatan kapal-kapal pembawa minyak yang akan masuk ke pelabuhan China.
Perhatikan dengan rapi perang sudara di Darfur Sudan. Latar belakang perang ini ialah perebutan blok atau kawasan-kawasan minyak yang telah diagih-agihkan kepada syarikat-syarikat cari gali minyak termasuk Petronas dari Malaysia.
Perhatikan dengan rapi apa yang sedang bergolak di Lembah Niger, Nigeria. Jangan lupa tentang seniman dan penulis Ken Saro-Wiwa yang telah di hukum bunuh kerana berjuang menentang syarikat Shell yang memusnahkan wilayah Ogoni kawasan kaumnya pada tahun 1995. Perang pemisah yang sedang berlaku sekarang semuanya berasaskan perebutan blok atau kawasan-kawasan yang buminya dianggap memiliki minyak.
Perhatikan dengan rapi tentang pencerobohan kapal selam China ke dalam perairan Jepun awal tahun ini. Ini juga bersangkutan dengan minyak. China sedang menduga sistem pertahanan laut Jepun.
Perhatikan dengan rapi perebutan kawasan perairan diantara Indonesia dengan Malaysia yang baru berlalu tidak lama dahulu. Ini juga berlatarkan perebutan blok minyak.
Di negara kita ini saya perhatikan penganut mahzab bebal minyak ini semakin bebal. Saya ingin memeranjatkan mereka dan memberitahu dalam masa yang amat singkat Malaysia tidak akan lagi memiliki minyak untuk di jual keluar. Malaysia akan melintasi puncak minyak atau telah pun memasuk zaman puncak minyak.
Sikap bebal minyak saya perhatikan semakin menjadi-jadi. Satu petanda yang amat jelas tentang bebal minyak ini ialah garis ekonomi kerajaan kita yang bagitu ghairah dengan industri kereta dan motorsikal. Perbincangan yang dilakukan di perlimen dari pihak kerajaan dan dari pihak yang bermimpi hendak menjadi kerajaan mengenai industri ini hanya berupaya ke tahap permit AP. Otak ahli-ahli parlimen kita tidak berupaya untuk berhujah dan menilai lebih jauh :-
– Apakah industri kereta ini satu bentuk industri lama yang telah ditinggalkan zaman.
– Apakah industri ini sengaja ditinggalkan kepada dunia ketiga kerana ianya bersifat “kotor”
– Apa pandangan para YB tentang masa depan industri ini yang dijangkakan hanya akan dimiliki olih hanya lima buah syarikat motor gergasi dan tidak termasuk Proton atau kedai membaiki motor di Kampung Kerinchi.
– Apakah para YB tidak menyedari bahawa banyak syarikat kereta dalam dunia ini sedang menuju ke gaung kemuflisan termasuk Proton.
Hari ini kereta dan motorsikal ini telah menjadi pembunuh bersiri yang paling rajin. Dalam masa yang sama industri yang bersangkut rapat dengan bahan bakar petrol ini sedang membawa musibah pencemaran alam sekitar. Pembakaran petrol dari injin kereta telah bertanggung jawab menaikkan suhu kepanasan dunia yang kini melahirkan perubahan cuaca. Cuaca dunia yang berubah ini pula melahirkan Katrina dan Rita yang memusnahkan diri kita sendiri. Hanya yang si Bebal sahaja tidak dapat mencampur dua sama dua.
Saya cukup yakin sesiapa yang bebal minyak akan terperanjat tidak lama lagi akan apabila dunia berhadapan dengan Puncak Minyak. Hingga ke hari ini lebih dari 25 billion tong minyak telah dikenal pasti. Dalam masa yang sama hanya 8 billion tong minyak baru yang telah ditemui. Hari ini dunia menggunakan 84.3 juta tong minyak sehari ertinya 30 billion tong untuk setahun. Pengeluaran dan permintaan jika selari maka tidak berlaku kelam kabut seperti hari ini. Tetapi ekonomi dunia dan keadaan politik dunia tidak dalam keadaan ceteris paribus. Keadaan berubah – permintaan dari China dan India telah memberi tekanan kepada pengeluaran yang sedia sempit.
Akhir bulan ini atau bulan hadapan kerajaan Indonesia akan melupuskan subsidi bahan bakar minyak untuk rakyat Indonesia. Pentabiran Presiden Susilo telah bersiap sedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan. Keretakan regime Suharto dahulu bemula apabila Suharto cuba menaikkan harga bahan bakar ini. Kali ini Susilo pula akan mencuba melakukan pekara yang sama dalam suasana pasca reformasi. Saya berharap semua penganut-penganut bebal minyak akan mengikuti apa yang akan berlaku di Indonesia dan bukan hanya bersembang kosong tentang AP.
END
1 Response