Hishamuddin Rais: Apa Makna Penswastaan…
Penswastaan ialah satu dasar ekonomi yang dianjur oleh kaum pemodal kapitalis pada tahun 80’an dahulu. Ini adalah dasar ekonomi yang mula-mula dianjurkan oleh Ronald Reagan dan Margaret Thatcher. Ini adalah dasar ekonomi kapitalis fahaman kanan yang ekstrim.
Sebelum dasar penswataan di perkenalkan banyak negara dalam dunia ini masih memiliki harta-harta dan syarikat-syarikat awam. Banyak syarikat-syarikat yang berjaya ini dimiliki dan dikendalikan oleh kerajaan. Syarikat awam ertinya syarikat yang dimiliki oleh orang ramai.
Kaum pemodal meleleh air lior apabila melihat syarikat air, syarikat api, pejabat pos, syarikat talipon, syarikat kapal terbang, sekolah, hospital dan seribu satu macam syarikat yang dimiliki oleh rakyat. Kaum pemodal tidak dapat menahan nafsu duitan mereka untuk merompak syarikat-syarikat ini.
Syarikat-syarikat milik kerajaan bermula dengan cita-cita untuk memberi khidmat kepada orang ramai. Syarikat-syarikat in diusahakan bukan atas dasar mencari untung maksima. Dalam masa yang sama syarikat-syarikat ini juga berjalan dengan pengendalian yang baik dan profesional. Untung bukan slogan syarikat-syarikat ini. Rugi juga bukan moto syarikat ini.
Khidmat untuk orang ramai ialah shahadah untuk semua syarikat-syarikat milik kerajaan. Syarikat-syarikat ini berimankan – khidmat terbaik untuk kesejahteraan ramai. Syarikat milik orang ramai didirikan untuk memberi khidmat kepada orang ramai.
Tiba-tiba Mahathir Muhamad melancar skim cepat kaya pada tahun 80an. Syarikat-syarikat Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, MAS, Pembeklan Air, Pejabat Pos, Hospital, Taman Negara, Jalan Raya, Balai Raya, Dewan Orang Ramai, Rumah Rehat – semua ini adalah contoh-contoh syarikat dan harta orang yang ditelah diagih-agihkan oleh Mahathir Muhamad kepada kaum kerabat dan kroni-kroninya.
Inilah skim cepat kaya Mahathir Muhamad yang dijadikan dasar gerombolan United Malays National Organisation. Di tahun-tahun itu, ketika Mahathir ditahta, kita ada mendengar berita Mamat Basikal Buruk jadi towkay gedung-gedung perniagaan. Kita mendengar Mat Driber Lori jadi pemilik empangan terbesar. Kita mendengar Mat Sekolah Tak Tamat menjadi tuan punya syarikat penerbangan. Kita mendengar cerita Mat Tak Pandai Cakap Inggeris menjadi pemilik loji air.
Semua harta-harta dan syarikat yang dimiliki orang ramai telah diambil alih untuk di jadikan milik pribadi. Semuanya dirompak untuk diagihkan kepada kroni. Cara rompakan ini cukup senang: Para kroni mengajukan cadangan-cadangan dengan kertas kerja kepada badan Unit Perancangan Ekonomi – EPU. Bunyinya cukup lunak tetapi hakikatnya amat berlainan. Badan perancangan ini juga dirasuah untuk meluluskan rompakan ini. Para birokrat di badan Perancangan ini juga mendapat habuan untuk meluluskan rompakan ini. Mereka bersubahat untuk sama-sama merompak.
Hasilnya di zaman Mahathir Muhamad banyak lanun dan perompak menjadi kaya raya.
read more: here