Gerakan mahasiswa: Cabaran & Harapan (Siri 1 & 2)
asal: Ummah OnLine
Sebuah siri diskusi diantara para aktivis pelajar yang agak panjang berjela-jela tapi penuh dengan pelbagai pandangan serta kupasan yang menarik tentang situasi serta warna-warni pergerakkan pelajar yang sememangnya terbatas dinegara kita ini.
Gerakan mahasiswa: Cabaran & Harapan (Siri 1 & 2)
oleh UmmahOnline Team
02:30pm 04 Julai 2005
Berasaskan dari semangat jamak perspektif, ForumNet ini dicetuskan untuk menghimpunkan ragam cerapan dalam melihat sesuatu perkara bagi dinilai sendiri oleh para pembaca. ForumNet kedua yang bertema Gerakan Mahasiswa: Cabaran dan Harapan ini telah menghadirkan banyak pertanyaan menarik dari para pembaca, dan kami akan menyiarkannya secara bersiri.
Selain daripada itu, bagi memeriahkan lagi usaha ini, para pembaca sangat-sangatlah digalakkan menulis artikel atau surat kepada pihak Ummahonline.com sekiranya mereka tidak bersetuju atau tidak berpuas hati dengan idea-idea yang disuarakan oleh para panelis di sini dengan mengemukakan hujah-hujah yang ilmiah, rasional dan kritis berdasarkan teori-teori agama dan sains sosial Barat.
Akhir, Ummahonline.com ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan buat para panelis yang sedia berkorban masa dan idea, serta tidak dilupakan kepada mereka yang mengirimkan pertanyaan dan para pembaca Ummahonline.com yang setia menanti jawapan panelis. Moga-moga program ini dapat diteruskan dengan lebih sempurna lagi pada masa akan datang dalam mengungkapkan tema-tema yang berbeza dan pastinya menarik!
Para panelis:
• Noor Amin Ahmad
Naib Yang Dipertua MPPUPM (menang atas tiket Aspirasi) tetapi berbicara dalam ForumNet II ini atas nama peribadi.
• Nik Nazmi Nik Ahmad
Penuntut King’s College, London. Pernah terlibat di National Union of Students UK, dan bekas editor & pengasas SuaraAnum.com
• Azwiralbukhairi Ab Aziz
Kini sebagai Setiausaha Agung PKPIM. Tulisannya banyak mengupas isu-isu keislaman, kemahasiswaan dan kesejagatan.
• Helman Sanuddin
Mantan Setiausaha Agung MPPUiTM 1999/2000. Salah seorang daripada mangsa ISA7.
• Ali Bukhari Amir
Aktivis gerakan mahasiswa USM. Sebelum ini pernah menjadi editor majalah Kampus.
SOALAN PERTAMA: Boleh anda berkongsi pengalaman/ penglibatan anda dalam gerakan mahasiswa. Dari pengalaman anda, apakah cabaran terbesar yang dihadapi oleh gerakan mahasiswa untuk bergelar sebagai jurubicara rakyat? – Johaan Jumaidi, IPTS Kuala Lumpur
AMIN: Pertamanya gerakan mahasiswa perlu didefinisikan. Pada saya semua mahasiswa ‘bergerak’. Cuma yang membezakan pergerakan itu adalah ‘area of concern’ dan ‘area of influence’. Ada ‘push and pull factor’. Untuk soalan Johaan ini saya cuba jawab dalam konteks pengalaman dan penglibatan dalam kepimpinan kampus juga yang berkait rapat dengan elemen politik luar kampus.
Ringkasnya, saya mula menjejakkan kaki di UPM sebagai pelajar berdaftar dalam jurusan Diploma Perhutanan pada 7 Jun 2000. Sebelum melanjutkan pengajian, saya terdedah kepada suasana politik melalui penglibatan ibu dan bapa. Tempias kena pada saya. Keyakinan saya untuk kekal perihatin kepada isu politik kerana saya berpendapat ia adalah ‘alat’ yang paling berupaya untuk menggerakkan perubahan. Maksud saya politik seperti pintu yang menentukan ruang nafas aspek yang pelbagai untuk menggerakkan perubahan kerana politik mempunyai elemen kuasa. Namun di sebalik itu saya cukup percaya bahawa kebaikan itu akan kekal menang pada kayu ukur Allah s.w.t. meski politik disalahgunakan.
Di kampus saya banyak terlibat dengan pelbagai bentuk pertubuhan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Mungkin konsep jemaah yang saya percaya tidak sama dengan banyak kalangan rakan yang terlibat dalam pergerakan yang memakai label Islam. Justeru saya tidak membenarkan diri saya diikat oleh mana juga pertubuhan buat masa ini. Ada pro dan kon sikap yang saya ambil ini.
2 tahun pertama pengajian Diploma saya lebih aktif bersama jemaah Tabligh. Di kolej dan fakulti pengajian juga saya memegang jawatan EXCO dan Bendahari. Di peringkat Ijazah kini, saya pernah menjawat Setiausaha Agung, Timbalan Presiden dan Presiden dalam beberapa kelab dan persatuan. Tetapi jawatan bukan suatu yang penting buat saya. Sistem yang menjadikan ia penting. Untuk saya idea yang perlu digerakkan. Sudah tentu dalam hal ini saya punya pengalaman berjaya dan tidak sedikit yang gagal.
Di luar kampus saya pernah aktif bersama UBU (yang juga bekas aktivis GMLN). Perlu saya tekankan di sini bahawa keaktifan bersama mana-mana Pertubuhan tidak harus menjadikan kita bersetuju 100% dengan kaedah yang dipakai.
Saya cukup gembira mengenali ramai aktivis di UBU yang nyata bergerak meskipun 99% pendirian dan pandangan saya agak bercanggah. Semangat keterbukaan itu yang saya sanjungi. Selain UBU, saya sering mengikuti pelbagai program yang dianjurkan pelbagai pihak.
Dari sudut pemikiran Islam, saya kira kecenderungan saya ialah kepada pemikiran ramai tokoh-tokoh dalam lingkaran ABIM. Buat masa ini saya tidak pula mahu memilih untuk aktif bersama ABIM dan PKPIM meski saya menghormati kedua pertubuhan itu.
Di kampus saya pernah dipelawa aktif bersama PMI. Namun syarat bahawa saya tidak dibenar menghadiri program atau diskusi anjuran pertubuhan lain tanpa kebenaran menyebabkan saya menolak pelawaan tersebut.
Cabaran kepada gerakan mahasiswa sebenarnya cukup banyak. Selalu
saya sebut pada ramai rakan di pelbagai tempat dan jenis gerakan bahawa cabaran dihadap kepada kita bukan untuk mematikan langkah perjuangan sebaliknya memanggil kejujuran, keberanian dan kebijaksanaan kita untuk menghadapinya.
Mungkin lebih tepat saya katakan di sini ialah cabaran keilmuan sebagai cabaran terbesar kepada gerakan mahasiswa. Selaku penghuni gedung ilmu, adalah wajar mahasiswa menggerakkan persoalan ini. Begitu juga dengan cabaran untuk mengangkat martabat insan. Saya maksudkan ialah hak-hak insan atas kapasiti individu dan masyarakat yang perlu dipelihara dan ditegakkan.
Ya, s aya sangat percaya pada dinamisme yang mensepadukan ilmu dan insan ini. Rentetan dari kombinasi inilah, maka akhirnya ia akan menwarnai pencerahan kepada seluruh sistem kehidupan pada dewasa ini, insha’allah.
Hal ini saya katakan kerana saya telah melihat trend individualistik sudah menular dan mencengkam sehingga semangat hidup bermasyarakat dan bersepakat tidak dihayati lagi. Memang benar kita boleh mendakwa bahawa wujud kerjasama dan pergaulan pelbagai kaum dan sesama kaum. Tetapi kita harus berani mengakui bahawa kerjasama dan pergaulan ini tidak didasari oleh kefahaman yang betul-betul kukuh. Ia akan mudah dileburkan misalnya apabila ada tokoh (?) yang menyimbah api perkauman.
Saya kira apa yang pernah dipercayai oleh sdr. Anwar Ibrahim seperti yang ditulis dalam buku Gelombang Kebangkitan Asia – to be is to act and to know sudah cukup untuk menjadi dasar usaha berganda mahasiswa untuk kembali memainkan peranan di peringkat yang lebih tinggi dan tidak berlegar di sekitar pagar kampus.
Cabaran pada hari ini dalam konteks besar sebenarnya tidak jauh berbeza dengan cabaran yang ada pada mahasiswa dulu cuma realitinya semakin kompleks dan kaedah menanganinya juga kian pelbagai.
Selama ini gerakan mahasiswa lebih bersifat responsif. Hal ini kita perlu akui kerana di kampus kita hanya ada 3-5 tahun sahaja. Untuk sebuah gerakan dapat lebih maju, saya percaya ia perlu bersifat ‘mission oriented’. Rekod pergerakan kabur untuk pewaris. Justeru sangat jarang kita mendengar aktivis pelajar dapat memajukan hal-hal selain politik seperti alam sekitar dan lain-lain.
NIK NAZMI :Pengalaman saya dalam gerakan mahasiswa di Malaysia agak terhad. Saya pernah menjadi Exco Unit Pendidikan Politik IKD (UPP-IKD) antara 2001 – 2002.
Kemudian saya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom, dalam bidang undang-undang di King’s College London. Saya menjadi Setiausaha Agung Kesatuan Penuntut Undang-Undang Malaysia di UK (KPUM) dan Exco Majlis Tertinggi Pelajar Malaysia UK (UKEC).
Saya turut menyertai Labour Students di King’s College dan dipilih mewakili universiti saya di Persidangan National Union of Students (NUS) pada tahun ini. Di peringkat NUS saya turut serta dengan perwakilan pelajar-pelajar Muslim di UK menerusi FOSIS (Federation of Students Islamic Societies UK & Eire).
Cabaran terbesar saya fikir ada dua:
Pertama, yang merupakan cabaran yang terbesar ialah sikap “tak kisah”. Sikap ini menular bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di kalangan mahasiswa UK. Tuntutan akademik tak wajar menjadi alasan untuk kita “tak kisah”. Bila timbul isu hiburan, misalnya, kita selalu “kisah”. Lihat bagaimana mahasiswa tergila-gila dengan Akademi Fantasia. Dalam isu ini juga pimpinan mahasiswa seharusnya lebih proaktif untuk memastikan mereka terus relevan. Idealisme semata-mata tak mencukupi; ia harus disertai dengan memahami jiwa anak muda.
Kedua, sebagai rakyat Malaysia cabaran pertama ialah menghadapi tekanan apabila dilihat sebagai “anti-establishment” lantas menerima pelbagai ugutan, amaran dan lain-lain lagi. Cabaran ini banyak menghalang mahasiswa Malaysia untuk aktif sama ada di Malaysia atau di luar negara; tetapi sedikit-sebanyak dapat dihadapi dengan menanganinya secara matang dan berhemah. Kita juga berharap pihak pentadbiran dan kerajaan juga akan bersikap lebih telus dan terbuka.
Mungkin antara sebab antara sebab anak muda tergila-gilakan AF ialah kerana mengundi calon-calon AF lebih telus dan terbuka daripada mengundi di pilihanraya kampus.
AZWIRAL BUKHARI : Pertama sekali, jawapan yang pandangan yang saya berikan mungkin tidak begitu tepat dan tidak mengambarkan realiti sebenar. Dan sudah pasti pandangan saya agak berkait rapat dengan pengalaman peribadi dan PKPIM sebagai sebuah persatuan pelajar.
Pengalaman bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh (STAR, Ipoh) dan terlibat dengan pasukan bahas banyak mendedahkan saya kepada tulisan dan sejarah mahasiswa tahun 70an. Bulan Julai dan Ogos 1998 mungkin keterlibatan pertama saya sebagai ahli PKPIM dan sebagaimana maklum PKPIM terlibat langsung dalam isu pemecatan mantan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.
Namun begitu detik awal penyertaan dengan gerakan pelajar banyak dipengaruhi dengan pembacaan dan rujukan sejarah pelajar dan saya amat berminat dengan program PKPIM ketika yang banyak program diskusi buku, diperkenalkan dengan buku Asia Renaissance, buku-buku Muhammad Iqbal, Ismail Faruqi, Syed Muhammad Naguib al-attas, Syed Hossien Nasr, tidak kurang juga dikenalkan dengan Emanuel Kant, Taha Husain atau dikenalkan dengan multi aliran baik dari pasca mordenisme hinggalah aliran tradisional agama.
Walaupun peringkat awal, secara peribadi tidak begitu memahami wacana pemikiran dan beberapa idea yang berlaku ketika itu, saya dan bersama-sama beberapa rakan dari bekas pelajar SBP seperti Sekolah Alam Shah dan Kolej Melayu yang telah kami kenal sejak belajar di sekolah menengah lagi banyak membantu memudahkan perbincangan yang agak baru ini. Peluang mendekati pelbagai tokoh agama dan inteltual ketika itu banyak membantu kami menelusuri pelbagai tema perbincangan ketika itu.
Budaya membaca dan penekanan kepada membentuk kerangka perbincangan dan pandangan yang objektif tentang sesuatu perkara ini antara pengalaman yang sangat saya hargai di dalam gerakan pelajar ini. Tulisan Syed Abul Hassan Al Nadwi ataupun idea-idea perubahan Malek Bennabi banyak menjadi mauduk perbincangan disamping beberapa pengalaman barat antara yang didedahkan ketika kisah surat Thomas Paine dan beberapa tokoh hinggalah ke isu globalisasi oleh Thomas Friedman dan Joseph Stigliz.
Pengalaman bersama persatuan pelajar banyak memberi peluang kepada saya menyertai bentuk program kefasilitatoran, khidmat sosial, antarabangsa, advokasi dan agama yang banyak membantu diri membina tassawur dan pandangan hidup sebagai seorang pelajar biasa yang berasal dari kampung. Tidak kurang juga dengan pengalaman berdozen rakan-rakan yang ditahan dilokap ada yang diambil tindakan dan dibuang dari universiti.
Namun begitu dalam soal ini, kami telah sematkan bahawa apabila sudah memilih meluah rasa dijalan raya atau sebagainya dengan penuh sedar kita perlu sedar tentang implikasi dan kesannya pada undang-undang. Sememangnya ramai antara rakan di dalam persatuan telah diambil tindakan tetapi akhirnya berjaya menyambung pelajaran ditempat yang sama atau di tempat yang lain.
Peluang berpartisipasi dalam pelbagai lapisan entiti dalam masyarakat yang pelbagai peringkat juga pengalaman yang berharga. Disamping terlibat didalam entiti gerakan mahasiswa, kami juga perlu mengerakkan program peringkat belia yang pastinya melibatkan peringkat umur yang sedikit lebih tua dari mahasiswa.
Tidak ketinggalan juga dalam mengambil bahagian yang menyokong gerakan advokasi penentangan tindakan hegemoni barat baik yang dimulakan oleh parti pembangkang seperti PAS dan DAP ataupun NGO seperti JUST. Kesediaan membantu beberapa agensi kerajaan dalam beberapa program peringkat belia dan pelajar sekolah sebahagian daripada tanggungjawab persatuan kepada beberapa komitmen sosial yang lain. Dan ruang bersama dengan organisasi seperti WAMY, IFFSO, PEPIAT, MBM dan RISEAP juga antara pengalaman yang baik untuk saya hargai.
Namun, kepelbagaian komitmen dan tanggungjawab hubungan organisasi agak berbeza mengikut peringkat umur dan fokus boleh menjadi kesan baik atau kurang baik kepada PKPIM. Kepelbagaian komitmen dan tanggungjawab kepada rakan-rakan organisasi baik parti politik, rakan gerakan mahasiswa, rakan belia seperti Majlis Belia Hindu, Pengakap dan Puteri Islam, Jabatan Kerajaan dengan program pembangunan Insan.
Walaubagaimanapun. Partisipasi yang agak luas sebegini memiliki kecenderungan untuk menjauhkan PKPIM daripada asal awal penubuhannya sebagai persatuan pelajar peringkat universiti dan sekolah dengan tujuan yang khusus. Tetapi ia juga boleh menjadi kelebihan kepada PKPIM salah satu usaha penetratif dalam pelbagai peringkat dan komponen masyarakat dan tidak semestinya meletakkan seluruh masa dan tenaga terlibat langsung dalam isu mahasiswa semata-mata. Membuka luas dimensi penglibatan seperti ini juga sedikit sebanyak memperkayakan pengalaman dan pengetahuan dalam usia yang muda ini.
Cabaran terbesar gerakan pelajar pada pandangan saya, berkait rapat dengan budaya ilmu, komitmen dan sikap kita kepada ilmu. Apabila sikap dan budaya ilmu seperti ciri-ciri cintakan buku dan diskusi serta rapat dan dekat dengan tokoh ilmuwan, intelektual dan ulama mampu membina kerangka pemikiran yang objektif dan sikap yang betul kepada persekitaran sekeliling.
Tanpa menafikan kengkangan peraturan dan kesempitan ruang dalam kampus untuk menyatakan pandangan tetapi saya lihat cabaran budaya ilmu lebih besar kerana ianya akan memberi nilai tambah dan kekuatan tersendiri dalam gerakan pelajar. Melalui pandangan yang telah terbina dengan budaya ilmu yang subur, akhirnya ia akan mempengaruhi tindakan, keputusan serta kecenderungan kita di dalam banyak perkara.
Oleh itu, setiap tindak tanduk pelajar akan banyak dipengaruhi oleh sandaran ilmu yang merujuk kepada tema kebenaran dan keadilan dan bukannya mengikut telunjuk sesiapa terutama sekali yang sangat terkait dengan elemen pentas perebutan kuasa. Apatah lagi apabila ianya berkait rapat dengan gerakan pelajar yang sudah pasti merujuk kepada organisasi dan institusi yang miliki liabiliti yang pastinya menuntut kepada hikmah dan bertanggungjawab kepada kepada ahli.
HELMAN: Ketika mula – mula masuk ITM (Sekarang UiTM) pada tahun 1998, saya benar – benar belum memahami apakah peranan besar Mahasiswa terhadap masyarakat. Masih teringat lagi, ketika baru sebulan mengaji di semester satu saya diminta untuk bersama teman lain memimpin ‘kempen Memboikot Program Induksi’ yang dikendalikan oleh Persatuan Fakulti Pengajian Maklumat yang diterajui oleh pelajar Senior.
Alasannya amat mudah, mahasiswa bukanlah seperti budak sekolah yang boleh diperbodohkan dan dibuli. Arahan untuk mengantung Name Tag sebesar kertas A4 setiap kali pergi kuliah selama seminggu adalah satu arahan yang sukar diterima akal dan tidak menunjukan imej seorang mahasiswa. Keengganan pelajar senior untuk bertolak ansur memaksa pelajar junior memboikot program Induksi. Kenangan itu sebenarnya telah menyedarkan saya, bahawa ketika itu kami bukan lagi budak ‚Äì budak kecil. Kami sebagai mahasiswa harus bangkit untuk belajar menjadi lebih dewasa dan saling bantu – membantu.
Ketika disemester 2, saya dicadangkan oleh Classmate untuk bertanding dalam Pilihanraya JPPUiTM. Alhamdulillah, Allah bagi peluang untuk saya menjawat jawatan Setiausaha Agung JPPUiTM yang ketika itu diketuai oleh Sdr. Khairul Rizal Arshad.
Sepanjang perkenalan bersama – sama dengan teman – teman JPP saya berpeluang belajar menghadapi banyak perkara seperti urusan – urusan rasmi, protokol program, surat, hubungan luar dan dalam kampus serta melakukan pelbagai program.
Saya berkesempatan menemui teman – teman mahasiswa dari kampus lain dan berkongsi isu serta maklumat. Idealisme gerakan mahasiswa dicanai bersama dan pada ketika itu Mahasiswa berani keluar untuk berdemo bagi membantah dasar – dasar kerajaan yang bertentangan dengan kehendak masyarakat, seperti membenarkan Ahli sukan Israel memasuki negara.
Kami juga berpeluang untuk menemui pimpinan tertinggi Negara seperti Tun Mahathir dan YB Najib bagi menyatakan pandangan mahasiswa. Kami juga berkesempatan untuk membuat referendum membantah pembinaan kompleks Gereja Terbesar di Malaysia yang ketika itu dicadangkan pembinaannya di dalam kawasan Bandaraya Shah Alam yang dihuni hampir 80% umat Islam.
Saya akui bahawa, suasana dan cabaran dahulu sedikit berbeza dengan sekarang. Mahasiswa masa kini ditekan oleh Universiti yang kini banyak bermain politik dari menguruskan kebajikan mahasiswa. Pentadbiran Universiti dilihat tidak bebas dan mereka juga cuba memasukkan mahasiswa dalam sangkar mereka. Mereka bermain politik dan mahasiswalah bahan pertaruhan mereka.
Walaubagaimana pun, dari dahulu hingga kini saya melihat bahawa cabaran terbesar Mahasiswa untuk menjadi jurubicara rakyat adalah diri sendiri. Selagi kita tidak merubah persepsi kita terhadap masyarakat, maka selagi itulah kita akan menjadi kumpulan bisu dan pekak. Mahasiswa harus menerima hakikat bahawa mereka juga sebahagian ahli masyarakat, masalah dalam masyarakat adalah masalah mereka jua. Jika ada kebersamaan sebegini, pastinya mahasiswa boleh mengunakan akal yang diberikan Allah untuk keluar berbakti pada masyarakat.
Mentaliti mahasiswa yang membuat garis pemisah dalam pikiran mereka terhadap tanggungjawab sosial perlulah dipadamkan agar tiada lagi yang menghalang mereka untuk keluar.
Mahasiswa perlu peka terhadap isu semasa kerana itulah cabaran harian mereka. Mahasiswa juga harus belajar menjadi dewasa dan matang. Cabaran yang melemahkan mahasiswa masa kini lebih dilihat pada tekanan AUKU yang mana kebanyakan mahasiswa sendiri tidak memahami apakah yang terkandung dalam Akta itu secara terperinci. Justeru itu halangan kecil sebegini harus dihadapi dengan membanyakkan bacaan dan perkongsian idea. Pemikiran Mahasiswa perlu bersifat multi-dimentional, fleksibel dan realistik. Akar idealisme perlu dikembangkan dengan menyesuaikannya dengan realiti semasa.
Kebanyakkan mahasiswa hari ini terlalu idealistik dalam membawa apa jua isu dan tidak mendalami jalan penyelesaian terhadap sesuatu perkara. Mereka terkurung dikampus sendiri. Perhubungan mahasiswa inter-campus juga terlalu pendek dan ianya seharusnya dibuka kepada sebuah networking yang lebih luas dengan mewujudkan kesinambungan perjuangan yang lebih utuh bersama rakan mahasiswa dari dalam dan luar Negara.
Secara ringkasnya, selesaikan dulu persepsi mahasiswa terhadap dunia yang dilihat, bukalah mata, ketahuilah bahawa dunia ini luas, banyak lagi yang kita belum ketahui. Belajarlah mengenali dunia, dan berusahalah untuk membantu orang lain seikhlas hati. Ingatlah, jauh dihadapan kita telah tersedia sebuah tempat bernama kejayaan… kejayaan untuk mereka yang berani untuk menghadapi segala kesukaran hidup. Hidup umpama roda, jadi gunakan peluang ketika kita diatas untuk memberikan cahaya kepada orang yang dibawah.
ALI BUKHAIRI : Cerita ini tidaklah menarik seperti panelis lain. Pada 1996–97 ketika masuk USM mungkin boleh ditakrifkan keterlibatan itu. Tapi, saya anggap keterlibatan itu bermula sejak zaman sekolah. Selepas tahun 1996-1997 sehinggalah 2001, saya menempuh suatu zaman yang saya namakan ‘zaman-zaman kegelapan’ (dark ages).
Seperti pelajar lain, saya mengikuti program oleh senior. Akhirnya, saya jadi ahli PKPIM. Lagipun, latarbelakang keluarga memang Abim. Ketika itu jarang menulis tapi ghairah bercakap mengenai idea. Di matrik, saya cuba gerakkan penulisan dalam kalangan kawan-kawan badan dakwah. Tetapi, tidak ramai menunjukkan minat.
Saya ramai kawan-kawan yang gemar berbincang tentang pelbagai topik. Tasauf, politik, teologi, zionis, dan lain-lain. Kadang-kadang, kalau kena rakan yang satu kepala, memanglah berjam-jam habiskan masa berbincang mengenai topik-topik yang diminati. Kemudian, kami terpisah satu persatu. Hilang entah ke mana.
Ketika itulah saya ghairah menulis mengenai idea, pandangan dan cadangan, tapi tidak di media aliran perdana, kerana tidak yakin dengan idea kita yang boleh menembusi media. Apatah lagi mempengaruhi pandangan umum. Tetapi, salah satu hal menyebabkan saya menulis, iaitulah Pengarah BTN.
Ketika itu saya suka ‘berbalas pantun’ dengan Datuk Dr. Nordin Kardi sebagai pengacara ‘Bicara Siswa’. Dia menyambut baik pandangan saya dan mengesorkan agar menulis secara berterusan dan jangan berhenti sambil bercerita tentang pengalamannya yang mendapat kiriman balas daripada Perdana Menteri.
Saya cuba menulis. Tidak lama kemudian, ada yang terbit di Dewan Masyarakat, Mei 2001. Ia berisi saranan saya agar Kementerian Belia dan Sukan diubah nama kepada Kementerian Belia & Pembangunan. Sejak itu, keyakinan mula timbul. Saya meneruskan hal ini dan, saya fikir beliau memantau tulisan saya.
Ini kerana, beliau mengirim emel menyatakan pandangan saya mengenai 31 Mei – Hari Pelajar telah terbit di Massa. (Massa kini telah ditutup). Idea ini saya majukan dalam persatuan.Tetapi, tidak berkembang. Saya fikir, itu emel terakhir beliau kerana barangkali dia sibuk. Saya hilang lagi seorang rakan debat.
Pada Disember 2000 ke Januari 2001, (kalau tak silap) tulisan saya yang bertajuk ‘Mahasiswa Anti-Establishment’ tersiar dalam Dewan Siswa. Gaya bahasa agak nakal di dalamnya. Di akhir tulisan itu, saya mengesorkan ‘Sistem Parlimen Pelajar’. Namun saya tidak mengulas lanjut mengenai pelaksanaannya. Tetapi, idea Parlimen Pelajar tidak juga berkembang, mungkin kerana tidak ramai mahasiswa membacanya.
Saya berasa gembira kerana pada April 2001, Konvensten Mahasiswa Nasional diadakan di USM dan Naib Canselor, Prof. Zulkifli Abdul Razak dalam ucapannya telah mengusulkan supaya ‘Parlimen Mahasiswa’ dibentuk untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa, berlatih menyampaikan idea-idea untuk pembangunan negara. Ketika itulah mahasiswa rancak membahaskannya kerana liputan mengenai Parlimen Mahasiswa disiar besar-besaran dalam Utusan Malaysia sehinggalah pada Konvensyen MPP IPTA 2002 di Genting Highland, saya mendengar bahawa idea itu dibantah melalui konvensyen itu.
Resah dengan idea-idea tidak berkembang, maka melalui perbincangan bersama sahabat, Garap (Gerakan Pelajar Raya Persekutuan) tertubuh. Ia sebenarnya cenderung kepada gerakan pemikiran seperti Ikhwan as-Safa, golongan cendekiawan, penulis yang tidak dikenali siapakah identiti mereka. Semua ini berlaku dalam era terawangan apabila saya tidak dapat tumpukan pengajian. Jiwa saya bukannya arkitek, tetapi arkitek kepada pembangunan idea. Dalam masa itu, saya berulang kali memohon pertukaran kursus.
Selepas itu hingga 2002, universiti meluluskan permohonan memasuki pengajian Komunikasi dan bermula ‘era pencerahan’. Di tahun ketiga, saya diberi ruang memimpin Berita Kampus (BK). Memang ia bermasalah kerana lazimnya akhbar pertama diterbitkan kurang berita. Namun, masalah terbesar ialah saat BK, melalui lidah pengarangnya, telah mengkritik cara penggunaan wang universiti yang berlebihan terhadap program hiburan. Sedangkan, wang universiti sepatutnya diperuntukkan kepada program keilmuan.
Di samping itu, BK mengkritik dasar baru Hep ‚Äì Majlis Penggawa yang melantik kepimpinan desasiswa melalui temuduga. Ertinya, pilihan raya desasiswa (asrama – kolej) dimansuhkan. Apa ertinya Datuk Razali Ismail (Duta Myanmar dan Pro Canselor, USM) berhempas pulas memperjuang nasib Aung San Suu Kyi (Barisan Pro-Demokrasi) yang menentang pemerintahan autokratik junta tentera, tapi dalam masa yang sama, universiti bergerak ke arah menamatkan riwayat demokrasi. Kita tiada keberanian moral.
Kemudian, BK melalui lidah pengarangnya membangkitkan semula wacana lama; ‘Parlimen Mahasiswa’ (atau ‘Parlimen Pelajar’ dalam istilah saya). Hal ini kerana, debat mengenainya sudah tidak lagi kedengaran sejak konvensyen Genting Highland itu telah ‘membunuhnya’. Dengan ketiga-tiga isu itulah bermulanya konflik BK – HEP.
Dalam masa yang sama, saya cuba menjanakan idea Sepkom (Sekretariat Pelajar Kewartawanan Muslim). Namun, ada pro – kontra. Seorang pensyarah beraliran Marxist, tidak jadi membatalkan satu tutorial kerana ingin berdebat mengenainya.
“Sepatutnya, saya dah batalkan tutorial ini, tetapi bila dapat tahu mengenai idea ni, maka tutorial ini tidak jadi saya batalkan semata-mata nak berdebat dengan awak,” katanya. Malangnya, saya tidak hadir kerana saya diberitahu tutorial itu batal. Ada lagi pihak tertentu yang tidak senang, maka ia terhenti seketika. Di samping itu, kita terpaksa mengakui hakikat pahit, bahawa kita dikelilingi insan yang tidak ghairah dengan idea.
Dua tiga keluaran BK berikutnya, Minah Kerek telah mengkritik program Aman Damai Idol (Adi) di dalam ruangan pojoknya. Hal itu mendapat reaksi hangat dari ramai pihak. Lada Burung, seorang ahli jawatankuasa Adi misalnya, telah menulis surat kepada BK. Katanya, Adi itu aktiviti sah, bukan haram serta mendapat kelulusan Hep.BK siarkan surat itu sepenuhnya agar mereka berpuas hati.
Saya mahu menjawab surat itu, tapi pihak atasan BK tidak meluluskannya; khuatir dengan masa depan BK yang mungkin terancam. Namun, sejauhmanakah kita mahu tutup semua suara. Akibatnya, meletup juga ‘Demokrasi Universiti Sudah Mati’ di media luar.
Kebetulan, ketika itu ada seorang pensyarah menyebut perihal anti-intelektual lalu merujuk kepada kegelisahan pemikir Barat terhadap fenomena ini di universiti USA. Lalu kesempatan itu diambil untuk menulis ke Harakah dan Harakahdaily. Akhirnya, tragedi drama episod bersiri ini menjadi yang terhangat di pasaran Idealis Mahasiswa.
Ketika dihadapkan ke Jawatankuasa Siasatan, antara hal yang menyebabkan saya berasa puas hati ialah ketika ditanya oleh salah seorang panel penyiasat,“Kamu sedarkah, bahawa tindakan menulis mengenai Adi ini telah menyebabkan buruk nama universiti?”
Alangkah bodohnya soalan ini, saya berkata, “Tidak, siapa yang menggerakkan Adi inilah yang sebenarnya telah memburukkan imej universiti. Pada pendapat saya, kita perlu takrifkan siapakah sebenarnya yang mencemar imej universiti.” Panelis itu tunduk tidak menjawab. Bagaimana dia mahu menjawab. Dia tiada keberanian moral kerana idea melancarkan Adi itu adalah cetusan ideanya sendiri. Itu kali pertama saya rasa puas hati.
Bercakap mengenai cabaran terbesar gerakan pelajar ialah pertamanya berpunca daripada ketakutan terhadap bayang-bayang mereka sendiri. Majoritinya akan mendakwa bahawa Auku itulah yang menyekat mereka. Walhal Auku itu adalah selemah-lemah akta jika dibandingkan dengan perundangan lain. Pada faham saya,Auku ialah undang-undang yang tidak masuk akal dan tidak berdaulat. Suatu undang-undang yang tidak didebatkan secara menyeluruh terlebih dahulu sebelum dikanunkan, adalah tertolak.
Sebelum undang-undang Melayu mengenai ‘ketaatan’ sekalian hamba Melayu itu terhadap raja-raja dikuatkuasakan, maka debat antara Sang Sapurba (Raja) dan Demang Lebar Daun (Rakyat) dimulakan terlebih dahulu. Raja berjanji untuk memerintah dengan ‘adil’ dan membantu rakyatnya. Maka, dengan sebab itu, titah perintah raja menjadi akta lalu di’dekree’kan dan digazetkan menjadi ‘undang-undang’ di zaman silam.
Kemudian, sebelum raja-raja memasuki balairong seri, rakyat bangun menyembah dengan laungan, “Daulat Tuanku!”. Maknanya, selepas mendengar permasalahan rakyat, titah perintah raja sebagai respon terhadap segala permasalahan negara yang dibangkitkan menjadi undang-undang negara pula. Apakah Auku pernah didebatkan kepada mahasiswa sebelum dikanunkan dan dikuatkuasakan kepada sekalian mahasiswa?
Orang yang takut kepada Auku, (semoga saya tersilap) bererti telah ‘bertuhankan’ kepada insan yang lemah. Dalam konteks mahasiswa Islam, puncanya berakar dari hilang ketakutan kepada Allah. Yang tidak berpuasa, menunaikan solat serta melanggar perintah Allah s.w.t yang lain seperti yang terkandung dalam ‘akta–perlembagaan’ al-Qur’an, tapi merasakan hal itu perkara biasa saja, memanglah ramai.
Apabila ketakutan kepada ‚Äòakta dan perlembagaan‚Äô Allah mula pudar, maka Allah akan menggantikan ketakutan kepadaNya kepada ketakutan terhadap akta – perlembagaan universiti. Demikianlah caranya untuk mengembalikan kekuatan kita. Iaitu, kembali taat, bertaubat dan patuh kepada akta perlembagaan Tuhan, maka perlembagaan dan akta manusia akan dipandang kecil sahaja. Hal ini ada kaitannya dengan iman kita.
Saya kebetulan sempat bertemu dengan pelajar Indonesia beberapa bulan lalu. Ada kalangan mereka yang bercerita bahawa menulis dengan nada kritikal di akhbar itu sudah lumrah. Demonstrasi dianggap sebagai suatu yang biasa.
“Bukankah semua itu risiko yang mesti ditempuh? Mas Ali, sekatan yang sebenar bukannya Auku, tapi dinding ‘ketakutan’ yang menebal dalam jiwa,” kata mereka ketika beraksi membantah isu Baitulmaqdis dua bulan lalu bersama Partai Keadilan Sejahtera.
Ringkasnya, pada pandangan saya, selain daripada demonstrasi, yang lebih utama ialah pelajar sendiri perlu juga menumpukan kepada bidang pemikiran serta idea dalam mendepani cabaran semasa. Menulis untuk melahirkan pandangan ke atas isu-isu tertentu adalah keutamaan mereka masa kini.
SOALAN KEDUA: Secara jujur, apa komentar anda terhadap gerakan mahasiswa Malaysia hari ini? Membanggakan atau memalukan? – Johaan Jumaidi, IPTS Kuala Lumpur
AMIN: Tidak ada yang perlu dibanggakan atau dimalukan. Saya percaya itu bukan tujuan pergerakan mahasiswa. Namun yang penting ialah pergerakan mahasiswa perlu menginsafi kepentingan orang muda (terutama mereka yang terdidik) untuk terus bersama membina tamadun ummah yang diredhai Allah s.w.t. Pergerakan mahasiswa juga tidak harus memeluk tubuh dan mengambil sikap ‘wait and see’ dan berpuas hati dengan apa yang ada.
Saya percaya ada pasang surut dalam gerakan mahasiswa. Bukan kemenangan dalam Pilihan Raya Kampus atau kejayaan menghimpunkan 100 000 mahasiswa untuk tujuan demonstrasi yang jadi ukuran tetapi sejauh mana idea yang baik digerakkan ke seluruh sektor.
NIK NAZMI : [Soalan ini beliau tiada komen]
AZWIRAL BUKHAIRI : Gerakan mahasiswa seharusnya berkait rapat dengan sesebuah kumpulan dan organisasi. Atau kita juga boleh meletakkan inisiatif peringkat individu yang mengambil bahagian aktif menulis dan menyatakan pandangan dalam pelbagai isu sebagai sebahagian daripada gerakan mahasiswa. Tetapi peranan individu dalam kerangka dan inisiatif yang berbeza dan tidak ada sebarang tanggungjawab kepada mana-mana organisasi, namun ianya turut menyumbang dengan baik.
Mungkin ada benar kata Sdr. Johaan Jumaidi. Tetapi bagi saya, komen saya tentang isu ini, gerakan mahasiswa hari ini ada tidak membanggakan atau memalukan. Bagi saya tidak memberansangkan dan kurang daya tarik bagi mengajak mahasiswa bersama gerakan pelajar (mungkin termasuk PKPIM sendiri). Gerakan mahasiswa boleh menyumbangkan dan melakukan lebih baik daripada apa yang ada sekarang.
Namun begitu saya mengakui, setelah berada di tahun akhir bersama persatuan pelajar seperti PKPIM, walaupun pada pengamatan saya PKPIM miliki pakej atau modal membentuk dan menggerakkan gerakan mahasiswa, tetapi saya rasa sumbangan saya masih kurang dan boleh ditingkatkan lagi. Untuk bersikap lebih adil, melihat kepada perkembangan atau iklim universiti yang tidak subur untuk perkembangan gerakan mahasiswa menambahkan lagi parah kepada perkembangan idealisme mahasiswa.
Namun begitu, ada juga sumbangan yang signifikan oleh rakan-rakan yang berjuang menentang ISA. Perjuangan bahasa kebangsaan dan pelbagai lagi yang boleh kita berikan kredit, tetapi sebagai mana yang kita maklum tidak diketahui oleh ramai pihak. Persepsi dan sikap kita dalam banyak isu dan hal pun banyak ditentukan dan diwarnai dengan maklumat dan sandaran informasi yang keluar dari kaca TV, akhbar ataupun media seperti laman sawang didalam dunia siber.
Persepsi orang ramai terhadap mahasiswa atau gerakan mahasiswa banyak dibentuk oleh gambaran yang ada di dalam media kita. Apakah jaminan maklumat yang disampaikan hari ini yang banyak mewarnai persepsi kita tentang orang lain adalah benar atau betul. Jikalau kita sendiri tidak terlibat langsung atau mendekati sendiri keadaan yang berlaku.
Namun begitu, ini bukanlah alasan. Kelemahan perlu diakui, langkah proaktif perlu diambil. Bersedia belajar dari rakan-rakan HMI, KAMMI dan PII dari Indonesia, Bangladeshi Chattra Shibir, atau Jamaat Talaba Pakistan atau rakan yang pernah saya kunjungi baik di Leiden, Belanda atau FOSIS sendiri di UK atau rakan MSA di Amerika atau gerakan Fadlulah Golen di Turki dengan mengambil kebaikan dan contoh yang boleh di sesuaikan dengan faktor sosial, budaya dan politik Malaysia. Semuanya perlukan pengamatan halus dan kajian dan bukannya boleh dibuat-buat.
HELMAN: Gaya pemikiran kebanyakan mahasiswa hari ini tidaklah sematang golongan mahasiswa di abad yang lalu. Mahasiswa hari ini telah banyak ditekankan dengan program akademik yang mendesak mereka menumpukan kepada pengajian. Sistem semester yang diamalkan tidak membuka ruang kepada mahasiswa bagi memahami persekitaran masyarakat diluar pagar universiti mereka. Waktu cuti dibazirkan dengan bersantai dikampung halaman atau melakukan aktiviti dalam kelompok tertentu sahaja.
Mereka sibuk mengejar sijil – sijil Diploma, Ijazah, Master dan PhD yang hakikatnya kini semakin kehilangan nilai tambah ekoran sikap mereka yang tidak mahu mengambil kisah terhadap apa yang berlaku dalam masyarakat diluar kampus. Retorika ilmiah yang mereka pelajari tidak sama dengan realiti sebenar, kenyataan inilah yang menyebabkan mahasiswa hari ini gagal memasarkan diri mereka didalam masyarakat.
Masyarakat sukar menerima mahasiswa yang angkuh, menguncikan diri mereka dibalik gahnya pintu gerbang kampus universiti. Justeru itu, bila mahasiswa keluar untuk hidup dengan masyarakat, mereka seperti rusa masuk kampung yang tidak tahu membiasakan diri.
Masa lapang mahasiswa masa kini lebih banyak dihabis dihadapan TV bagi menonton pelbagai rancangan hiburan dan gossip. Ruang internet yang ada pula dibazirkan dengan chit chat kosong dengan menjadikan budaya couple melalui alam cyber sebagai agenda utama. Teknologi SMS dan telefon bimbit menguasai masa mahasiswa dan mereka lebih banyak menghabiskan duit pinjaman untuk itu.
Keadaan – keadaan ini menyebabkan gerakkan mahasiswa terpinggir dari masyarakat dan dilihat kurang bermaya. Gerakan mahasiswa semakin hambar. Keyakinan masyarakat terhadap mahasiswa kian pudar dan ikon kepimpinan mahasiswa tidak lagi kelihatan dipentas masyarakat sebagai golongan pembela warga rakyat.
Oleh itu, mahasiswa harus keluar dari zon selesa ini untuk menyahut cabaran. Jika tidak, jangan harap masyarakat akan menghargai mereka. Mahasiswa hari ini patut malu kerana sepanjang tempoh pengajian mereka universiti, mereka gagal memberikan apa – apa faedah kepada masyarakat khususnya golongan marhaen yang kini kian terdesak ekoran sikap pemimpin yang tidak prihatin pada rakyat.
ALI BUKHARI : “Kamu ingat semua pensyarah yang ada sekarang ini boleh ‘pakai’ ke?” seorang bekas pensyarah sastera bertanya kepada saya di suatu hari. Beliau juga pernah berjuang semasa bergelar mahasiswa bersama Fatimah Sham (anak kepada petani Hamid Tuah) di USM tidak lama dahulu.
Lama saya termenung dan berfikir mengenai persoalan yang dibangkitkan. Pernah saya terdengar mengenai ‘pensyarah kangkung’, iaitu cendekiawan yang tidak menjawab masalah sekitar mereka. Mereka fikir tanggungjawab mereka cuma mengajar mahasiswa. Jadi, tanggungjawab sosial ke atas masyarakat bukan bidang mereka.
“Teruklah Dr., kalau pensyarah yang ada kini, tidak boleh diharap,” balas saya. “Kalau begitu, nak harap pada siapa lagi?”. Hassan Karim pernah dalam satu tulisannya menyebut bahawa antara kelemahan pelajar ialah kekurangan pengalaman dan keilmuan mereka sendiri. Saya fikir, dalam hal ini, guru memainkan peranan penting.
Selalu kita diperingatkan oleh guru-guru. Janganlah malu bertanya, malu bertanya sesat jalan. Tetapi, keadaan terbalik. Kini, pelajar sesat bertanya. Akibatnya mereka malu berjalan pula. Itulah yang berlaku. Apa yang maksudkan dengan ‘sesat’ dalam pertanyaan itu, ialah pelajar tidak tahu siapakah yang patut dirujuk. Mereka keliru. TNC kata begini, Auku kata begitu. Pensyarah kata di sini, Auku kata di situ. Jadi bagaimana pergerakan dan perjalanan mahu bermula?
Mahasiswa dulu dipimpin di bawah payung keintelektualan Prof Diraja Ungku Aziz, mantan Naib Canselor UM, pelajar juga bernaung di bawah lembayung pemikiran Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Tan Sri Hamzah Sendut dan lain-lain. Kalau dahulu, murid yang baik dipimpin guru yang baik.
Tetapi, keadaan sudah berubah. Sama ada pelajar yang berpotensi, lalu menerima ajaran ‘sesat’, atau pun kedua-duanya, mahasiswa serta mahaguru, sama-sama menderita kemerosotan budi, terancam dan terhimpit dek kemiskinan hikmah, lalu bankrap idea.
Tapi, hal yang tidak boleh kita kompromikan ialah pendirian mahaguru universiti yang memang telah ranum pengalaman masak keilmuannya dan terlatih pula dengan teori penyelidikan, tetapi memendam kepakarannya secara sengaja. Akibatnya, pelajar-pelajar kita akan ‘sesat’ dan penjelajahan ilmu dan kembaraan spiritualnya.
Mahaguru universiti yang pro-kerajaan akan terus dijadikan panelis forum-forum menjelang pilihan raya. Sementara guru yang pro-pembangkang dicacatkan keilmuannya, dicaci cela, dimaki nista. Ringkasnya, memalukan atau membanggakan gerakan pelajar hari adalah bersebabkan. Maka, tidak adil menghukum kebaikan dan keburukan jika tidak meneropong segala faktor dalaman dan luaran.
Berbalik kepada hal di atas, apakah gerakan pelajar Malaysia boleh dibanggakan atau memalukan? Jawapannya, ia tidaklah membanggakan dan tidaklah amat memalukan. Hal ini kerana, suatu perkara yang mesti difahami ialah, mahasiswa ialah golongan yang sentiasa belajar. Sudah tentu mereka melakukan pelbagai kesilapan ketika melalui proses pembelajaran itu. Dan hal itu berlarutan sampai bila-bila.
Selain itu, pelajar informer yang membekalkan segala maklumat gerakan tidaklah begitu kuat berbanding sekarang. Informer dahulu langsung tidak dibantu kerajaan seperti kini yang lengkap dengan bantuan akhbarnya, laman internetnya, kelab serta persatuan tertentu dalam universiti dan dana khusus menjelang pilihan raya kampus.
Selain Mahasiswa Negara, wujud juga suratkhabar dalam universiti yang kritikal. Ada Warta PKPIM termasuklah penerbitan-penerbitan kecil, tapi diedar secara konsisten bertenaga dalam menyalurkan idea dan pandangan mahasiswa dari semasa ke semasa.
Di Indonesia, wacana-wacana mengenai penerbitan mahasiswa ini sudah rancak. Istilah umum yang digunakan ialah ‘pers (press) mahasiswa’. Adakah tahap tulisan serta pemikiran kita sudah sampai ke tahap membangunkan sebuah akhbar sendiri? Saya tidak tahu mengukur sejauh mana rakan-rakan kita menyedari kepentingan media ini. Banyak isu-isu pendidikan yang diambil oleh media aliran perdana, tapi kita boleh mengupasnya dengan lebih mendalam dan mendasar lagi.
Demikian juga dengan penerbitan buku-buku mengenai kemahasiswaan. Hingga kini, buku Mahasiswa Menggugat itulah yang menjadi sandaran utama mahasiswa jikalau mereka melibatkan diri di dalam tulisan mereka. Ringkasnya, semua faktor kekuatan dan kelemahan ini perlu diambil kira. Perpecahan telah pun berlaku dan titik persamaan harus dipertemukan dari sekarang dan selama-lamanya. Semoga prestasi generasi depan lebih membanggakan dari hari ini …
SIRI 2
SOALAN KETIGA: Di manakah perbezaan gerakan mahasiswa negara kita berbanding dengan gerakan mahasiswa antarabangsa yang lain? Sebab dari pengalaman banyak gerakan mahasiswa global seperti di Korea Selatan, Indonesia, UK, Iran dll, mereka semua tampaknya betul-betul mengugat dan mengagumkan kita! Dan, kita pula seolah-olah jauh ketinggalan? – Fayyadh, Mahasiswa Al-Azhar
AMIN: Saya kira lebih adil untuk kita mengatakan bahawa banyak faktor mempengaruhi penonjolan pergerakan mahasiswa tidak kira di mana juga. Faktor sejarah adalah satu aspek penting yang boleh dirujuk.
Soal penonjolan gerakan mahasiswa bagi saya berkait rapat dengan soal penghormatan yang diberikan kepada institusi ilmu yang ada. Mungkin ada pihak akan mempersoalkan sikap ‘angry young man’ yang cukup sinonim dengan sikap ramai aktivis mahasiswa. Namun saya percaya pengalaman akan memberikan suntikan kesederhanaan kepada ramai aktivis. Saya tidak mahu mengatakan yang semua aktivis boleh disederhanakan. Kelompok yang lebih gemar bersorak akan‘tenggelam’ dengan sendirinya apabila bertarung dengan aspek ilmu yang lebih ‘halus’, ‘lembut’ dan penting.
Saya katakan ia berkait rapat dengan penghormatan terhadap institusi ilmu kerana ‘big picture’ kepada penonjolan pergerakan mahasiswa tetap dibayangi oleh sikap ‘lembik’ pensyarah di universiti (harap tidak salah tafsir kerana saya tetap menghormati semua guru saya). Cuba bayangkan apabila pensyarah tidak ada sikap kritis kepada persekitaran, tersedut dengan ‘kedurjanaan pengkhususan’ dan lebih malang lagi mereka turut menjadi tangan yang menghukum mahasiswa yang cenderung perihatin kepada keperluan perubahan.
NIK NAZMI: Seperti yang saya katakan tadi, masalah “tak kisah” atau “tak peduli” ini juga ada di UK. Tetapi mahasiswa di sini mungkin lebih peka dengan isu-isu semasa, walaupun mereka kurang peduli mengenai politik kampus. Gerakan mahasiswa di UK aktif untuk menentang yuran pembelajaran (tuition fees) di sini dan juga di dalam isu perang Iraq.
Perbezaan terpenting walaubagaimanapun terletak pada kekangan. Di UK tiada AUKU, jadi mahasiswa tidak takut bersuara. Namun, paradoks mungkin kerana sudah tiada kekangan maka gerakan mahasiswa kadangkala mungkin “kurang modal” untuk berjuang.
AZWIRAL BUKHARI: Mungkin berbeza dari segi pendedahan dan budaya mahasiswa dan sikap kita di sini tentang ilmu dan perkembangan idea dan pemikiran mungkin kurang. Oleh itu mungkin berbeza perspektif mereka tentang melakukan perubahan bagaimana dan macam mana pendekatannya.
Apakah tujuan gerakan mahasiswa, adakah untuk menggugat atau menjatuhkan sesiapa semata-mata. Bagi saya, tujuan kita di sini ialah melakukan pembaikan dan menyumbangkan kepada peningkatan kualiti umat. Bergantung kepada keadaan, jika keadaan memerlukan, maka pilihlah jalan mana yang terbaik. Atau jika sdr. Fayyadh rasa perlu melakukan gugatan, mungkin di Mesir sangat perlu dengan cengkaman regim di sana memang memerlukan pembaharuan. Tetapi ia masih lagi bergantung kepada individu atau organisasi di sana yang sanggup kehadapan dan tahu apa usaha mereka di sana.
Persoalan di sini, kalau sesiapa rasa perlu untuk mencadangkan sesuatu serupa dengan contoh yang disebutkan di atas, saya secara peribadi mengalu-alukan jika itulah perkara yang terbaik, tetapi adakah sdr. perlu bersedia mengetuainya dan menerima implikasinya. Dan apa yang lebih baik meletakkan diri atau intima’, menggabungkan diri ke dalam mana-mana gerakan mahasiswa di sini dan kita akan melihat apa yang terbaik untuk gerakan mahasiswa.
Apabila kita berada didalam organisasi yang ada ahli dan struktur, perkiraan dan pertimbangan kita akan berlainan jika kita sebagai seorang mahasiswa biasa yang hanya menjadi pemerhati. Saya yakin bahawa ramai antara rakan-rakan gerakan mahasiswa yang lain telah berusaha dan barangkali tidak sama dengan negara lain. Dan itu antara yang terbaik mereka boleh lakukan.
HELMAN: Dekad tahun 70-an di zaman Anwar Ibrahim, mahasiswa berjaya membangkitkan massa dengan memperjuangkan isu – isu rakyat walaupun mereka hanya ditemani oleh golongan petani dan kalangan pemimpin borjois ketika itu.
Dekad 80-an telah memperlihatkan perubahan gaya kepimpinan mahasiswa yang mengurangkan aksi dijalan raya tetapi bermain dipentas diskusi dan permainan politik diplomasi. Walaupun ada gerakkan mahasiswa dijalanan namun ianya tidak sehebat zaman 70-an.
Penghujung era 90-an mahasiswa kembali bangkit dijalan raya bersama rakyat menyokong Anwar Ibrahim atas nama menuntut keadilan mutlak. Tidak dinafikan bahawa gaya kebangkitan mahasiswa di Malaysia kurang panas berbanding dinegara lain seperti di Iran, Korea, India, Nepal dan Indonesia.
Kebangkitan mahasiswa dinegara luar lebih didasari kepada isu menuntut perlaksanaan dan penafsiran semula sistem demokrasi yang diamalkan dengan membawa isu kemelaratan rakyat sebagai wacana hujah mereka. Corak perjuangan mereka juga amat serius dan tidak dibatasi oleh faktor masa dan usia penglibatan mereka. Dengan idea menuntut keadilan dan kebenaran mereka berjaya menumbangkan kerajaan yang zalim dan meraih sokongan rakyat. Walaubagaimana pun, sebagai bukti bahawa mereka tidak meminta apa – apa imbuhan tidak ramai kalangan mereka yang duduk dan mengambil jawatan dalam kerajaan baru yang dibentuk selepas revolusi.
Hakikat ini berbeza dengan Mahasiswa Malaysia yang kurang serius dalam memperjuangkan isu – isu yang telah dibangkitkan. Sistem perjawatan MPP yang hanya berkuasa dalam tempoh setahun (sepenggal) menyebabkan pimpinan mahasiswa tidak sempat mematangkan diri dengan politik kampus dan luar.
Desakkan AUKU dan Akta 174 (UiTM) menyempitkan lagi peluang mahasiswa untuk terlibat dalam politik kampus secara bebas. Kebebasan mahasiswa untuk bersuara, menerbitkan makalah, membuat kenyataan akhbar dan terlibat dalam apa jua organisasi telah dikongkong seperti budak sekolah. Tindakan undemocratic ini telah menjejaskan kualiti yang dimiliki oleh mahasiswa hari ini. Mereka keluar dari kampus dalam keadaan tidak matang, gagal memahami keperluan, tuntutan massa serta desakkan hidup rakyat.
Mereka keluar hanya berbekalkan teori – teori retorika yang mereka pelajari di kelas – kelas akademik yang sempit ruang perbincangannya. Maka tidak hairanlah jika, ada kalangan rakyat mengelarkan bahawa produk mahasiswa yang keluar pada hari ini adalah dari golongan pemimpin kelas ketiga dan tidak berpengalaman untuk memimpin rakyat.
Mereka keluar dari kampus membawa Ijazah atau diploma berserta sijil hutang PTPTN dan akhirnya mereka hanyut dalam dunia pekerjaan yang terasing dari dunia kepimpinan massa. Mereka sibuk untuk membayar hutang. Mereka lupa apa yang mereka pernah perjuangkan ketika dikampus dahulu. Sebab itulah, mahasiswa gagal mengugat, perjuangan mereka hanyalah setakat semester 6 atau semester yang terakhir dikampus.
Perspektif ini perlu diubah. Seandainya kita ingin melihat gerakkan mahasiswa di Malaysia terus subur, maka para alumni gerakkan mahasiswa perlu tampil kehadapan membajai semula semangat juang dan mengukir kebangkitan semula mahasiswa yang menjadi pewaris mereka. Generasi baru perlukan bimbingan dan sokongan dari para alumni dan mereka yang baru bertatih ini tidak seharusnya dipaksakan berjuang secara bersendirian. Perkara inilah yang menjadi imbuhan zaman dalam lipatan sejarah perjuangan mahasiswa diluar Negara. Perjuangan mereka terus disokong oleh para alumni, pensyarah dan warga masyarakat.
Dalam pada itu, harus diingat bahawa gerakkan mahasiswa bukan bertujuan untuk menumbangkan kerajaan. Mahasiswa bukan agen anarki. Mahasiswa hanyalah speaker hati rakyat. Dasar – dasar kerajaan yang baik harus disokong, idea – idea buruk dari pembangkang harus ditegur dan begitulah sebaliknya. Mahasiswa perlu berdiri ditengah – tengah dan memegang belati kebenaran, antara keduanya, jika ada yang tersasar dan menyusahkan rakyat maka belati mahasiswalah yang akan mengajarkan mereka erti sebuah perjuangan.
ALI BUKHAIRI: Saya sendiri hairan dan tidak tahu di mana puncanya. Jika dikatakan mereka tiada perundangan seperti Auku, di Indonesia sendiri apa kurangnya? Berapa ramai pelajar ditangkap, dihumban ke dalam lokap, terbunuh dan mayat mereka hilang entah ke mana. Itu cerita di zaman Suharto tahun 1998.
Kedutaan Amerika di Jakarta terpaksa ditutup buat sementara waktu mengikut laporan media perdana kita tidak lama dahulu. Begitu juga di Korea, kebetulan saya baru pulang dari sana. Pengkalan tentera Amerika dan kedutaannya dikawal rapi. Semuanya itu gara-gara kelompok pendesak dari pelbagai pertubuhan termasuklah pelajar.
Di United Kingdom, Presidennya, Tony Blair pula berpeluh kerana dihujani ribuan pertanyaan daripada mahasiswa mengenai tindakannya menyokong pencerobohan di Iraq. Demikianlah Thaksin Shinnawatra, Perdana Menteri Thailand yang telah dikecam hebat oleh mahasiswa kerana bersikap biadap kepada pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai (Tabal) tidak lama dahulu.
Kadangkala saya fikir, kita tidak tahu dari mana kita patut bermula. Sebenarnya, dari segi semangatnya, mungkin kita kurang. Itu agakan saya sahaja. Jika dari segi ilmu, kadangkala saya fikir, mungkin Indonesia lebih jauh lagi ke depan,agakan saya begitulah. Puncanya kerana, pengalaman saya di Indonesia April lalu, kebanyakan mahasiswa yang aktif dengan pemikiran masih mengikuti tulisan Istac melalui langganan majalah.
“Kami memang melanggan majalah Akademia ini kerana kami memang berdepan dengan Islam Liberal yang bertapak kukuh di sini,” kata seorang aktivis KAMMI. “Jadi, sumber pemikiran kami memang berdasarkan dari majalah ini.”
Ada kebanggaan tercuit dalam hati saya. Rupa-rupanya mereka mengenali al-Attas dan murid-muridnya di Istac. Saya tidak tahu berapa ramai dari kalangan mahasiswa kita yang mengenali Istac. Dalam hati saya terfikir, “Mereka ini di Indonesia, tapi memanglah Istac terkenal di sini.” Lalu saya fahamlah. Hanya jauhari yang mengenal manikam.
Adakah kita jauhari atau manikam. Entahlah. Saya bersetuju bahawa generasi hari ini suka menciplak idea lalu dikumandangkan di dalam muktamar, seminar-seminar. Itu, barangkali betul juga. Mungkin silap. Sekarang, bolehkah kita cari satu perkara yang agak unik, mungkin besar bagi sesetengah orang dan releven pula untuk diketengahkan?
Hal itu kita namakan sebagai penjajahan. Sejak robohnya kota Melaka, penjajah turut hadir ke dalam negara kita untuk menjadikan polisi mereka mengenai ekonomi turut dianuti oleh kebanyakan pemimpin negara. Ambillah satu contoh, Amerika adalah negara penjajah. Mereka juga pengganas, bagaimana kita boleh benarkan pengganas ini sentiasa berada di negara kita? Maksudnya, sebuah pusat kajian mengenai keganasan diwujudkan sedangkan kini, Amerika dan PBB belum memutuskan takrif pengganas.
Kemudian, Perdana Menteri telah menyatakan sikapnya untuk memerangi industri rasuah habis-habisan hingga ke akar umbi. Bolehkah kita sama-sama duduk semeja serta bertukar-tukar fikiran mengenai kaedah-kaedah yang sesuai untuk membanteras rasuah? Lagipun, antara sebab penjajahan berlaku di Melaka dahulu kerana rasuah juga.
Saudara, letih juga kita bercakap mengenai perbezaan antara mahasiswa luar dan dalam negeri. Saya fikir, kalau kita bertindak sekarang, mungkin kita akan meninggalkan bekas dan kesan kepada generasi muda di masa depan. Boleh kita bermula sekarang?
SOALAN KEEMPAT: Antara ungkapan Hishamuddin Rais yang signifikan ialah, ‚Äúhanya anak muda saja yang bisa mendobrak zaman‚Äù. Maksud yang sama turut di ulang oleh Amien Rais yang turut menyifatkan hanya golongan mahasiswa sahaja yang mampu mengerakkan reformasi sesebuah negara. Saya sebenarnya agak curiga dengan idea kedua-dua tokoh ini. Adakah orang tua tidak memang tidak boleh diharapkan untuk memimpin perubahan negara atau zaman? Dan, mestikah segala-galanya tentang perjuangan rakyat haruslah di diterajui oleh anak muda seperti gerakan mahasiswa? – Fakri Zainal Abidin, Serdang
AMIN: Soal pokok ialah soal perubahan. Dalam konteks sejarah memang banyak contoh orang muda yang bergerak melakukan perubahan. Tidak perlu pergi jauh, cukup di rantau ini sahaja.
Dalam pidato Pilihan Raya Kampus yang lalu, aspek ini telah saya pilih secara khusus dengan memberi pelbagai contoh sebelum dan selepas merdeka. Banyak faktor ramai tokoh percaya kepada orang muda (apatah lagi mahasiswa).
Sebagai orang muda, saya juga percaya bahawa saya punya peranan untuk sama terlibat melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Status quo adalah gejala tidak sihat. Kita boleh sifatkan ia sebagai gejala kemandulan minda. Tetapi ia tidak sebahaya terrorisme minda.
Perlu saya sebut di sini bahawa keyakinan kepada orang muda tidak seharusnya sampai kita menafikan sumbangan kelompok orang tua. Soal siapa memimpin perubahan dan semangat zaman tidak semestinya orang muda tetapi sekiranya orang muda mahu memimpin perubahan dan semangat zaman… kita mesti berani bergerak dan membetulkan kesilapan kita.
NIK NAZMI: Bukannya orang tua tidak boleh memimpin perubahan. Orang tua, orang muda, mahasiswa, pekerja – masing-masing ada peranan tersendiri.
Cuma mahasiswa memiliki peranan yang istimewa yang sememangnya tidak dapat dinafikan. Sebab itu Isham dan Amien Rais menyebut tentang keistimewaan anak muda. Mahasiswa punyai kelebihan pendidikan serta idealisme anak muda. Jadi tanggungjawab sosial mereka cukup penting. Ilmu pengetahuan bukan bermakna lulus peperiksaan semata-mata; tetapi jauh lebih signifikan daripada itu.
Sejak zaman dahulu lagi pendedahan dan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh mahasiswa menjadikan mereka agen perubahan yang penting. Saya akui, kadangkala mahasiswa dalam keghairahan mereka tersilap. Tetapi saya rasa mesti ada ruang untuk mahasiswa membuat keputusan sendiri dan bertanggungjawab atas keputusan mereka.
Kalau ada ruang, dan mahasiswa tersilap, saya yakin mereka cukup matang untuk belajar dari kesilapan mereka. Dengan adanya ruang yang cukup, mahasiswa dapat memainkan peranan mereka dengan lebih efektif.
AZWIRAL BUKHAIRI: Tidak semestinya, kalau orang tua pada waktu itu layak dan berada pada keadaan yang terbaik dan mampu melakukan perubahan mengapa kita perlu berebut untuk “mendobrak zaman”.
Apa kita mahu adalah yang terbaik untuk zaman. Siapa yang melakukannya bukan persoalan. Kita bukan parti politik yang pentingkan nama. Yang penting membekas atau tidak.
Namun saya tidak menafikan, generasi muda memiliki ramuan terbaik dalam menggerakkan apa-apa pembaharuan.
HELMAN: Sejarah kebangkitan rakyat yang mempengaruhi politik sesebuah Negara sebenarnya dikuasai oleh tiga golongan; Mahasiswa, Buruh dan tentera. Andaian bahawa mahasiswa bisa mendobrak zaman, melakukan aksi reformasi sememangnya benar dan tidak perlu diragui.
Walaubagaimanapun, sesuatu revolusi atau kebangkitan rakyat itu tidak akan berlaku jika mahasiswa sahaja bangkit. Kebersamaan rakyat dan golongan buruh biasanya menjadi nadi kepada kebangkitan rakyat yang plot perjuangan mereka selalunya didahului oleh kebangkitan mahasiswa.
Sebagai golongan terpelajar yang tidak mempunyai kepentingan peribadi, rakyat kebiasaannya mudah mempercayai semangat juang mahasiswa berbanding parti politik dan rakyat menjadikan mahasiswa sebagai ikon perjuangan massa dalam membangkitkan perjuangan rakyat seperti yang berlaku dalam peristiwa Revolusi Iran, Kebangkitan Taliban dan sebagainya. Justeru itu, peranan mahasiswa tidak boleh dipandang remeh, Mahasiswalah yang menjadi suara yang menyemarakan revolusi perjuangan rakyat.
Golongan tua kebiasaan dianggap tidak melihat kepada skop yang lebih luas dan mereka kebanyakkannya terpengaruh dengan idea dan kenangan – kenangan lama yang hakikatnya tidak menyamai dengan keperluan semasa. Walaubagaimana pun, golongan tua yang beraliran sederhana kadang kala mampu menjadi pencetus kepada kebangkitan mahasiswa. Mereka menjadi inspirasi dan kekuatan mahasiswa. Maka, tidak menjadi isu jika kebangkitan mahasiswa hari ini juga lahir dari ilham cernaan pengalaman generasi tua yang masih sedia menabur saki baki benih perjuangan yang mereka ada.
ALI BUKHARI : Hingga kini saya tidak faham kenapa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir tidak memberi sebarang respon kepada gagasan Islamic Union (IU) tatkala presiden Iran, Khatami menyampaikan ucapan mengenainya (IU) beberapa tahun lalu. IU adalah suatu usul yang cuba dikembangkan oleh Khatami supaya negara-negara Islam bersatu seperti Europe Union (EU) dalam mendepani kemaraan globalis.
Presiden Pas Haji Abdul Hadi Awang telah memberikan responnya bahawa beliau menyetujui cadangan IU tersebut. Tiada siapa yang mengetahuinya dan saya fikir tiadalah laporan yang mendalam mengenai IU itu di dalam akhbar oleh mana-mana wartawan.
Sekarang ini, Tun Dr. Mahathir ghairah bercakap tentang mata wang Dinar Emas. Saya fikir, kalaulah sejak duhulu beliau menyokong gagasan IU, ertinya mata wang itu sudah boleh digunakan. Agakan awal saya begitulah. Ini kerana, EU yang ditubuhkan itu akhirnya dengan segera merumuskan bahawa, mata wang Euro dibentuk untuk berdepan dengan nilai mata wang dollar Amerika yang tidak tetap dan mudah dimanipulasikan.
Sengaja saya bangkitkan cerita lama ini dengan hujah baru, iaitu, para pemimpin Melayu kita dilanda dilema. Dan biar kita namakan dilema itu sebagai ‘Dilema Pemimpin Melayu’. Kalau kita sudah ada Dilema Melayu, mustahil Pemimpin Melayu tiada dilema. Ini kerana, dalam mana-mana negara pun, kelompok penguasa dan rakyat saling wujud dalam harmoni, bantu-membantu dan tidak kurang juga bersengketa konflik.
Apabila mereka berkonflik, maka tercetuslah sesuatu yang diistilahkan dilema atau dalam perkataan Melayu, “Diluah mati emak, ditelan mati bapa”. Kita mahu selesaikan konflik, tetapi tidak mahu ada pihak yang tersisih dan terpinggir. Di antara tanah peneroka dan wang pampasan yang tidak seimbang, manakah yang mahu dinilai? Kadangkala, (dan selalunya begitulah) pemimpin memihak kepada projek pembangunan lalu mengabaikan jeritan petani dan pemilik tanah. Semua itu pantas dilakukan dengan melalui sogokan.
Demikianlah jika tidak mahu selesaikan masalah secara berhati-hati dan waspada. Kalau betul-betul mahu selesaikan konflik, memang pemimpin selalu bergelut di antara dilema; mahu korbankan hak peribadi untuk kepentingan rakyat umum atau korbankanlah kepentingan rakyat umum, lalu selamatkan hak milik sendiri dan kroni.
Said Zahari (bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu) menulis di dalam bukunya mengenai rundingan Baling antara Chin Peng dan Tunku Abdul Rahman. Suatu perkara yang mengejutkan kita dan ia terpendam dalam sejarah kita ialah Tunku Abdul Rahman sendiri tidak mahu rundingan itu berjaya.
Memoir Said Zahari, Meniti Lautan Gelora menyatakan bahawa Perdana Menteri itu mengadakan rundingan dengan niat memutarkan pandangan umum mengenai dirinya agar kelihatan demokratik. Ketika ditanya adakah Tunku berdukacita kerana rundingan itu gagal, Tunku berkata, “Saya sebenarnya, tidak mahu rundingan berjaya.”Sebenarnya ada banyak lagi contoh yang menunjukkan sikap tidak ikhlas pemimpin Melayu.
Dari awal, saya bangkitkan gagasan I.U dengan pendirian bekas perdana menteri. Kekadang, timbul di benak saya bahawa antara sikap buruk pemimpin kita ialah mereka suka jika cadangan mereka itu disokong orang. Mereka ini mahu mendahului. Boleh jadi, jika mereka menyokong orang lain, maka kelihatanlah kekurangan mereka. Itulah Dilema Pemimpin Melayu. Banyak dasar-dasar mereka yang silap. Tapi tak mungkin dibetulkan.
Anda tentu tertanya, kenapa? Ini kerana, jika mereka menukar dasar kerana pihak pembangkang yang mendesaknya, akan kelihatanlah mereka yang salah selama ini. Mana boleh. Pemimpin tidak boleh buat silap. Mereka akan sentiasa betul. ‘The Might is Right’
Guru-guru wartawan selalu mengingatkan bahawa, dalam penulisan berita hujah dan pendapat anda mestilah dikombinasikan dengan fakta. Banyak orang rebah kerana mereka terlalu beremosi,seorang guru wartawan berkata,“Antara pertempuran emosi dan fakta, maka faktalah yang menang”. Rupa-rupanya, dalam politik, hal itu tidak berlaku.
Syahadan, Kongres Pendidikan Melayu menjadi sandarannya. Banyaklah panelis yang terdiri dari kalangan tokoh akademik dan cendekiawan Melayu membentang fakta serta data mengenai kejatuhan prestasi akademik pelajar Melayu. Terutamanya di dalam matapelajaran Sains dan Matematik. Hal ini menjadi bukti kukuh, bahawa kepenggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar Sains dan Matematik adalah salah.
Tapi, apa kata pemimpin politik? Kata seorang pemimpin tertinggi Pemuda Umno “Kita tidak boleh menukar dengan tergesa-gesa, kerana ini akan menunjukkan kelemahan kerajaan”. Adakah kerana tidak mahu menunjukkan pentadbiran kita lemah, maka soal pendidikan Melayu diabaikan? Dan banyak lagilah ucapan-ucapan yang tidak masuk akal yang berselerak di dada akhbar.
Namun, dalam diam-diam, seorang ahli Umno sempat berbisik ke telinga, “Yang sebenarnya, mereka tidak mahu menjatuhkan aib Perdana Menteri terdahulu. Kalau tidak, pihak pembangkang akan jadikan hal ini isu-isu dalam ceramah”. Entah betul, entahkan tidak katanya itu. Tetapi, oleh kerana dia ahli Umno dan rapat pula dengan orang atasan, maka saya nukilkan juga hal itu di sini.
Termasuklah akhbar mainstream sendiri tidak mempunyai pendirian yang kukuh mengenai hal ini. Demikianlah, apabila fakta bertembung emosi, maka emosi kerajaanlah yang menang. Ternyata, hukum hakam kewartawanan dan kebijakan ahli akademik telah termansuh dengan sendirinya bila berdepan dengan keangkuhan penguasa.
Oleh itu, dengan fakta-fakta di atas, maka bagaimanakah kita boleh mempercayai pemimpin yang tua angkuh boleh mendobrak zaman? Ini kerana, mereka itu tebal dengan keangkuhan. Jika begini, memang umat akan bergantung harap kepada generasi muda.
Kesimpulannya, pemimpin kita khususnya Melayu telah terjebak dalam sindrom yang dinamakan ‘Dilema Pemimpin Melayu’. Orang yang di dalam dilema, menghadapi kesukaran memimpin anak bangsanya. Maka, apakah yang kita harapkan lagi perubahan di tangan orang-orang tua yang terbelenggu dalam dilema?
Nota: nantikan siri ketiga pada 17 Julai 2005